Ange Postecoglou Cipta Rekod Baharu Premier League

Ange Postecoglou mencipta rekod baharu untuk jumlah mata terkumpul tertinggi pernah diraih oleh seorang pengurus selepas sembilan perlawanan di Premier League (23 mata) selepas Tottenham Horspur merekodkan kemenangan 2-0 ke atas Fulham pada awal pagi tadi.

Pengurus Tottenham itu memintas rekod terdahulu 22 mata yang pernah diraih oleh Mike Walker dan Guud Hiddink untuk jumlah perlawanan yang sama ketika kedua-dua pengurus mengendalikan Norwich City (1992-93) dan Chelsea (2008-09).

Gol jaringan Song Heung-min dan James Maddison di Stadium Tottenham Hotspur cukup untuk memberikan kemenangan selesa Spurs ke atas Fulham dan membenarkan skuad kendalian Postecoglou memiliki kelebihan dua mata di kedudukan teratas Premier League.

Ditanya mengenai pencapaiannya itu, Postecoglou berkata: “Lihat, kredit harus diberikan kepada semua pihak. Ia amat memberansangkan untuk melihat pencapaian sebegini di awal musim. Daripada segi prestasi, kami sangat konsisten.

“Kami harus bekerja keras pada malam ini, pada babak pertama kami melaluinya dengan baik. Kami harus bersabar untuk mencari jalan menjaringkan gol pertama dan saya berpendapat Fulham bermain dengan begitu tersusun terutama ketika bertahan.”

Walaupun demikian Postecoglou kurang berpuas hati dengan penampilan pasukannya di babak kedua perlawanan. Mujurlah Fulham terlepas deretan peluang untuk kembali bersaing dalam perlawanan itu.

“Saya berpendapat pressing yang kami lakukan amat baik sepanjang perlawanan. Tetapi ketika memiliki penguasaan babak kedua itu adalah 45 minit yang paling teruk kami lalui setakat ini.

“Kami harus memastikan mampu mengekalkan disiplin dalam cara kami menghadapi perlawanan. Akhirnya Vic [Guglielmo Vicario] melakukan beberapa aksi menyelamat yang sangat baik untuk kekal tidak dibolosi. Dalam konteks itu, kami seharusnya mengawal perlawanan dengan lebih baik.”

Di sebalik kekecewaan Postecoglou, inilah kutipan mata terbanyak pernah diraih Spurs untuk berada di kedudukan teratas sejak 15 Disember 2020 (kedudukan teratas selepas 12 perlawanan di bawah kendalian Jose Mourinho).

Postecoglou menyertai Tottenham daripada Celtic pada musim panas lalu dan sehingga kini belum melalui kekalahan di dalam aksi liga.

Jurulatih berasal daripada Australia itu sehingga kini berjaya memberikan nafas baharu kepada kelab London itu yang menamatkan saingan musim lalu di kedudukan kelapan dan gagal layak ke pertandingan Eropah buat kali pertama sejak 2009.

Prestasi dan permulaan Tottenham pada musim ini juga adalah yang terbaik pernah mereka lakukan sejak musim 1960-61 apabila kelab itu merekodkan 11 kemenangan berturut-turut sebelum muncul juara.

BACA:  Postecoglou Anggap Permintaan Klopp Minta Replay Sebagai Gila