Penyerang sensasi dan sangat berbakat Manchester United, Anthony Martial, dilaporkan telah setuju untuk meninggalkan seketika kelab tersebut dan menyertai Sevilla secara pinjaman selepas beberapa minggu perbincangan dilakukan, terutamanya berkenaan gaji.
Martial sebelum ini sememangnya telah menyatakan hasratnya secara terbuka dan juga di belakang tabir bahawa dia mahu berpindah dari kelab Old Trafford tersebut, sama ada secara pinjaman atau kekal.
Kelab La Liga, Sevilla, pula dikatakan telah lama menyimpan perasaan untuk membawa pemain Perancis ini ke Sepanyol tetapi gajinya yang tinggi telah menyebabkan perbincangan terganggu dan menjadi panjang.
Anthony Martial from Manchester United to Sevilla, done deal and here we go! Agreement reached tonight between the two clubs. Player has accepted, Sevilla was his priority. ⚪️🔴 #Sevilla
Sevilla will cover his salary until June. Martial will fly to Spain in the next hours. #MUFC pic.twitter.com/a5U392Es3k
— Fabrizio Romano (@FabrizioRomano) January 24, 2022
Pengurus United, Ralf Rangnick, sebelum ini dengan jelas telah mengatakan bahawa dia sedia melepaskan Martial sekiranya syarat yang diletakkan oleh kelab telah dipenuhi, termasuklah kelab Sepanyol tersebut membayar 100 peratus gaji sepanjang dalam tempoh pinjaman.
Difahamkan, gaji Martial adalah antara yang tertinggi di Old Trafford, sekitar £250,000 seminggu (seperti yang dicatatkan di spotrac.com) dan pada masa yang Sama, Sevilla dilaporkan membayar yuran pinjaman bernilai £6 juta.
“Kami dah lama dah bincang,” ujar Rangnick awal bulan ini.
“Dia dah bagitahu saya yang dia dah ada di United selama tujuh tahun dan sudah tiba masanya untuk dia mencari angin baru, untuk pergi ke tempat lain.
“Saya rasa dari satu sudut, memang mudah la nak faham, saya boleh ikut apa yang dia fikirkan tapi pada masa yang sama, penting juga untuk tengok situasi semasa di kelab.
“Kita ada Covid sekarang ni, kita ada tiga pertandingan yang kita sendiri masih menyimpan hasrat yang tinggi untuk berjaya sebaik mungkin.
“Saya dah habaq kat dia, dengar sini, selagi mana belum ada kelab yang minat kat dia – dan bukan setakat kelab minat pemain, tapi dia pun minat kelab tu – setakat ni yang saya tahu tiada lagi tawaran daripada mana-mana pasukan, dan dia akan kekal di sini,” tambah Rangnick pada bulan lalu.
Martial mula bermain di Manchester pada tahun 2015 ketika pasukan tersebut dikendalikan oleh Louis Van Gaal. Beberapa minggu lalu, dia dituduh tidak mahu disenaraikan dalam pasukan perlawanan menentang Aston Villa yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2, meskipun United telah selesa mendahului dua gol tanpa balas.
Ice cold. No smile. Black gloves. Came from France. No chance from the media. Defenders have families. Dripping in sauce. Sauce on spill. Killer. Winner. Baller. International superstar. Anthony Martial. pic.twitter.com/mzfncL9ZUW
— shuz 🇲🇾 (@UtdShuzzie) January 22, 2022
Walaubagaimanapun Martial menafikan tuduhan tersebut dengan mengatakan bahawa dia tidak akan pernah menghina kelab dan juga penyokong.
Penyerang dalam buangan tersebut kembali ke dalam skuad perlawanan ketika menentang Brentford, meskipun tidak diturunkan, dan kemudian menjadi watak utama dalam kemenangan United ke atas West Ham tempoh hari.
Pada hujung perlawanan, Alex Telles menghantar bola ke depan dari kawasan United, sebelum bola ditanduk sipi-sipi oleh Federicks, dan menyebabkan bola singgah ke kaki Ronaldo.
Dengan tenang Ronaldo mengawal bola ke depan dan sebaik sahaja dua pemain West Ham cuba menerjah bola, Ronaldo sempat membuat hantaran kepada Martial di sebelah kirinya.
Martial kemudiannya bertindak menolak bola kepada Cavani dan menewaskan perangkap ofsaid West Ham, sebelum pemain Uruguay itu menyepak leret ke hadapan gol lawan lalu bola ditolak masuk ke dalam gol oleh Rashford.
Ternyata aksi tersebut merupakan aksi terakhir Martial bersama United pada musim ini dan dia dikhabarkan sudah terbang ke Andalusia untuk melengkapkan perpindahannya ke kelab tersebut.
Jurulatih Sevilla, Julen Lopetegui, dijangka akan menggandingkan Martial dengan pemain di bahagian serangan yang sedia ada seperti Yousseff En-Neshri, Papu Gomez dan menggantikan Rafa Mir yang akan menyertai Wolverhampton Wanderers.
Setakat ini, selepas 22 perlawanan, Sevilla tampil cemerlang dengan berada di tangga kedua di belakang Real Madrid dan mengutip 46 mata, empat mata di belakang pendahulu.
Selain Martial, United dijangkan akan kehilangan seorang lagi pemain picisan – Jesse Lingard, selepas kelab yang baru mendapat pemilik yang kaya, Newcastle United, dikatakan bersetuju untuk membayar yuran pinjaman yang mahal untuk membawa pemain tengah England tersebut ke St James Park, dalam usaha pengurus, Eddie Howe untuk membawa kelab bergelar Magpies tersebut keluar dari zon penyingkiran.
Kontrak Lingard bersama Man United akan tamat pada musim panas nanti dan meskipun dia sudah ditawarkan kontrak baharu, dia telah menolak dengan sopan dan telah merancang untuk menyertai kelab lain pada musim hadapan nanti.
Antara kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain ini adalah Barcelona, Juventus dan juga Borussia Dortmund.
Sumber : Mirror