Arne Slot Kecewa dengan Darwin Nunez: “Bukan Sikap yang Saya Mahu Lihat”

Pengurus Liverpool, Arne Slot mengakui bahawa beliau kecewa dengan “sikap” Darwin Nunez selepas penyerang itu terlepas peluang besar untuk menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Aston Villa pada Rabu lalu.

Nunez melepaskan rembatan tinggi melepasi palang gol dari jarak dekat walaupun gawang sudah terbuka, gagal memberikan kelebihan kepada pasukannya ketika perlawanan sedang terikat 2-2.

Slot bukan sahaja kecewa dengan kegagalan itu tetapi turut berasa kecewa dengan prestasi pemain antarabangsa Uruguay tersebut selepas insiden berkenaan.

“Saya boleh menerima setiap kegagalan terutamanya daripada seorang pemain yang telah menjaringkan 2 gol penting menentang Brentford dan Villa sebelum ini,” kata Slot dalam sidang media pra-perlawanan menentang Manchester City.

“Saya lebih suka jika dia menjaringkan gol tetapi seperti perkataannya ia adalah ‘peluang’. Ia bukan jaminan 100 peratus bola akan masuk kerana pemain boleh terlepas peluang dan itu saya boleh terima.

“Apa yang sukar untuk saya terima adalah reaksinya selepas itu – dan dengan ‘reaksi’, maksud saya, saya rasa kegagalan itu terlalu mengganggu fikirannya. Dia tidak menjadi Darwin yang biasa, yang bekerja keras untuk membantu pasukan. Dia terlalu kecewa dengan peluang yang terlepas dan mungkin, kita tidak akan tahu, itulah sebabnya dia sedikit lambat untuk peluang seterusnya.”

Dalam tempoh 22 minit di atas padang, Nunez hanya melakukan 10 sentuhan bola dan gagal memberikan impak di bahagian serangan. Ia menyebabkan Liverpool kehilangan momentum dan Villa menguasai perlawanan di saat-saat akhir. Slot mengesahkan bahawa beliau akan berbincang dengan penyerang tersebut.

“Saya sentiasa percaya bahawa adalah lebih baik mempunyai mentaliti seperti Wataru Endo,” kata Slot. “Sepanjang musim, dia sentiasa bersedia apabila diperlukan. Itu sangat sukar kerana tidak ramai pemain yang boleh melakukannya.

“Bagi saya, ia bukan soal peluang yang dia terlepas tetapi lebih kepada 20 minit selepas itu yang saya ingin bincangkan dengannya.

“Perkara paling penting adalah anda boleh terlepas peluang tetapi anda tidak boleh mengurangkan usaha anda. Sebagai penyerang utama, adalah perkara biasa untuk kadang-kadang gagal menjaringkan gol yang sepatutnya mudah. Tetapi adalah tidak boleh diterima untuk mengurangkan kadar kerja anda selepas itu dan itu sesuatu yang akan saya bincangkan dengannya.”

Selepas perlawanan, Nunez berkongsi mesej di media sosial yang menekankan sikap tidak mudah berputus asa.

“Tiga minggu lepas saya bukan yang terbaik tiga dan sekarang saya juga bukan yang terburuk. Jika saya jatuh, saya akan bangkit. Anda tidak akan melihat saya menyerah. Saya akan memberikan segalanya sehingga hari terakhir saya di Liverpool. Resilience!”

Cabaran di Etihad Menanti Liverpool

Liverpool akan menghadapi satu lagi perlawanan sukar apabila mereka akan bertandang ke Etihad Stadium untuk menentang Manchester City.

Walaupun musim ini buruk untuk pasukan Pep Guardiola, Slot menjangkakan perlawanan yang sukar terutamanya dengan kembalinya beberapa pemain utama City daripada kecederaan serta kehadiran pemain baharu yang dibeli pada jendela perpindahan Januari.

“Apa yang saya selalu jangkakan daripada City sejak Pep berada di sana – mereka adalah pasukan yang hebat dan bermain dengan cukup baik,” kata Slot.

“Mungkin dalam 7 atau 8 tahun Pep berada di sana, hanya ada 1 atau dua 2 di mana mereka tidak berada di tahap terbaik, mungkin juga disebabkan kecederaan. Tetapi pemain-pemain yang cedera telah kembali, mereka juga menandatangani tiga atau empat pemain baru.

“Jika anda pergi ke Etihad, anda harus bersedia untuk berdepan kesukaran dan bekerja keras kerana mereka sangat bagus dalam penguasaan bola. Tetapi mereka juga akan menghadapi pasukan yang kuat – Liverpool yang tidak kalah dalam 22 perlawanan.”

Slot akan kehilangan khidmat pertahanan Joe Gomez yang telah menjalani pembedahan hamstring selepas kecederaan dalam perlawanan FA Cup menentang Plymouth Argyle. Rakan sepasukannya, Conor Bradley juga berkemungkinan besar terlepas perlawanan selepas mengalami kecederaan ketika menentang Aston Villa.

Cody Gakpo mungkin kembali menjalani latihan, memberikan peluang kepadanya untuk disenaraikan dalam skuad menentang City. Slot juga menjelaskan bahawa beliau mengeluarkan Diogo Jota dan Trent Alexander-Arnold lebih awal dalam perlawanan sebelum ini untuk menguruskan minit permainan mereka selepas baru pulih daripada kecederaan.

“Gakpo? Kita akan lihat. Saya berharap, tetapi saya tidak pasti 100%. Dia belum lagi berlatih dengan pasukan, mungkin hari ini dia akan mencuba sedikit, tetapi ia masih belum pasti,” kata Slot.

“Bagi Bradley, dia masih belum datang ke pusat latihan, jadi kami tidak tahu keadaannya. Saya akan sangat terkejut jika dia boleh bermain Ahad ini atau Rabu depan.

“Joe Gomez telah menjalani pembedahan pada hamstring, jadi dia akan berehat untuk tempoh yang lama. Mungkin dia hanya akan kembali sebelum musim berakhir.”

“Jota dan Trent tidak cedera, tetapi mereka baru pulih daripada kecederaan. Itulah sebabnya mereka tidak bermain 90 minit dalam 5 perlawanan berturut-turut dalam masa 15 hari kerana itu adalah risiko besar.”

Kadangkala Kebenaran Itu Menyakitkan

Arne Slot jelas tidak berminat untuk memberi sokongan moral kepada Darwin Nunez ketika bercakap kepada media menjelang perlawanan menentang Manchester City pada Ahad ini.

Pengendali dari Belanda itu memberikan penilaian yang tegas terhadap prestasi Nunez dalam keputusan seri 2-2 di Villa Park, termasuk peluang keemasan yang disia-siakan.

Slot boleh sahaja mempertahankan pemainnya daripada kritikan. Dia boleh menegaskan betapa pentingnya Nunez dalam usaha Liverpool memburu kejuaraan liga dan menyatakan keyakinan bahawa dia akan bangkit di Etihad.

Namun, dengan mengkritik tahap kerja Nunez secara terbuka, Slot hanya mengukuhkan kepercayaan bahawa musim ketiga penyerang Uruguay itu di Liverpool mungkin menjadi yang terakhir.

Slot memang berterus terang tetapi dia ada asas kukuh. Selepas masuk menggantikan Diogo Jota pada minit ke-66, Nunez hanya melakukan 10 sentuhan, melengkapkan 2 hantaran, memenangi 1 daripada 5 pertarungan bola dan kehilangan penguasaan 5 kali.

Daripada bangkit untuk menebus kesilapan, Nunez kelihatan patah semangat dan seolah-olah bersimpati dengan dirinya sendiri.

Dia mungkin tidak suka dengan komen Slot, tetapi kadangkala kebenaran itu menyakitkan. Dia perlu menerimanya dan memberikan respons positif, jika tidak, dia hanya akan kekal sebagai pemain pinggiran dalam perjuangan Liverpool memburu kejuaraan.

BACA:  Jurgen Klopp Cipta Rekod Baharu Liverpool Di Eropah