Arne Slot: Mohamed Salah Perlu Menang Trofi untuk Dapatkan Ballon d’Or

Harapan Ballon d’Or Mohamed Salah Bergantung kepada Kejuaraan Liverpool, Kata Arne Slot

Menurut Arne Slot, Peluang Mohamed Salah untuk memenangi Ballon d’Or bergantung pada kejayaan Liverpool meraih trofi musim ini.

Bintang Mesir itu, yang akan tamat kontrak pada penghujung musim, telah mencatat 41 sumbangan gol secara langsung (25 gol, 16 bantuan jaringan) untuk Liverpool musim ini. Dia kini berada di ambang menamatkan salah satu kempen paling cemerlang dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

Slot memuji etika kerja dan profesionalisme pemain berusia 32 tahun itu sebagai faktor utama di sebalik musim luar biasanya. Dia turut menyatakan bahawa komitmen Salah dalam bertahan juga sama penting dengan sumbangan serangannya.

Namun, untuk mendapat pengiktirafan penuh dan berpeluang memenangi Ballon d’Or, Salah perlu membantu Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris atau Liga Juara-Juara musim ini.

“Ia satu perkara yang baik apabila Mo disebut dalam perbincangan ini kerana ia bermakna dia bermain dengan baik dan pasukan juga berada di landasan yang betul.”

“Tetapi untuk kekal dalam perbincangan ini, dia perlu mengekalkan prestasi seperti yang telah ditunjukkannya sepanjang tujuh atau lapan bulan ini,” kata Slot sebelum perlawanan Liverpool menentang Newcastle United pada hari ini.

“Secara umumnya, untuk seseorang memenangi Ballon d’Or, dia perlu memenangi sesuatu bersama pasukan. Ini adalah cabaran besar untuknya dan juga untuk kami.”

“Saya suka cara dia menyahut cabaran ini, bukan hanya dengan menjaringkan gol atau mencipta bantuan gol tetapi juga dengan memastikan pasukan menang.”

“Kerja kerasnya dalam bertahan ketika menentang Manchester City sangat luar biasa. Jika kami sebagai pasukan mahu memenangi sesuatu, peluangnya untuk meraih anugerah individu seperti Ballon d’Or akan menjadi lebih cerah.”

Salah yang merupakan penjaring terbanyak Liverpool, telah ditawarkan kontrak baharu dan sedang dalam rundingan tetapi masih tiada perkembangan terbaharu mengenai masa depannya.

Ketika ditanya sama ada prestasi cemerlangnya memberi kesan kepada rundingan kontrak, Slot berkata.

“Ada dua sudut pandangan. Anda boleh kata, semakin baik dia bermain, semakin mahal dia akan jadi. Jika prestasinya menurun, mungkin kami akan berfikir dua kali untuk melanjutkan kontraknya.”

“Tetapi bagi semua pihak, yang terbaik adalah dia terus mengekalkan prestasi seperti sekarang.”

“Jika anda mahu bermain di kelab ini, anda perlu berada pada tahapnya kerana jika tidak, anda hampir tidak berguna untuk Liverpool. Kami hanya memerlukan pemain yang berada di tahap terbaik mereka.”

BACA:  FA Dedahkan Apa Yang Slot Cakap Kat Pengadil Ketika Dia Mengamuk Lawan Everton