Ketua jurulatih Liverpool, Arne Slot menegaskan bahawa beliau “tidak boleh terima” jika Darwin Nunez tidak menunjukkan usaha yang mencukupi, sekali lagi mengkritik penyerang itu dalam tempoh beberapa hari sahaja.
Slot sebelum ini mendedahkan bahawa beliau tidak berpuas hati dengan “sikap” penyerang Uruguay itu selepas terlepas peluang besar dalam keputusan seri Liga Perdana menentang Aston Villa minggu lalu.
Nunez kemudiannya langsung tidak diturunkan dalam kemenangan Liverpool ke atas Manchester City pada Ahad dan hanya diberikan 3 minit permainan ketika menewaskan Newcastle malam tadi.
Ketika ditanya mengenai kenyataannya sebelum perlawanan menentang Newcastle United pada Rabu, Slot sekali lagi menegaskan bahawa pemain berusia 25 tahun itu perlu terus “berjuang untuk pasukan” walaupun dia tidak menjaringkan gol.
“Saya sudah membantunya dengan mengatakan bahawa sesiapa sahaja boleh terlepas peluang. Saya bukan hanya bersikap keras terhadapnya,” kata Slot.
“Tetapi buat kali kedua berturut-turut, saya tidak gembira dengan usaha yang ditunjukkannya, baik ketika menentang Wolves mahupun Villa.”
“Saya sentiasa cuba bersikap jujur dengan pemain saya, begitu juga dengan anda semua (media). Saya juga cuba melindungi pemain saya, jadi saya tidak mengatakan bahawa dia langsung tidak bekerja keras.”
“Saya kenal dia dengan baik. Saya tahu bagaimana dia berlari 100 meter untuk menjaringkan gol ketika menentang Villa di Anfield. Saya tahu bagaimana dia masuk sebagai pemain gantian menentang City di Anfield dan menekan dengan agresif sehingga berjaya merampas bola dan kami menjaringkan gol.”
“Tetapi saya tak boleh terima jika seseorang pemain tidak memberikan segalanya. Itu jelas. Saya boleh terima sekali tetapi jika dua kali berturut-turut, itu sudah keterlaluan. Sebab itulah saya menegurnya.”
“Bukan bermakna saya tiba-tiba marah dengannya. Saya tidak kisah jika dia terlepas peluang, walaupun saya lebih suka dia menjaringkannya dan saya tahu dia akhirnya akan menjaringkan gol.”
“Tetapi jika anda terlepas peluang, anda perlu terus berjuang untuk pasukan. Saya bukan kata dia langsung tidak melakukannya, tetapi itu bukan Darwin yang biasa kita lihat – yang dicintai oleh peminat. Ia kerana, biasanya dia sentiasa bekerja keras.”
Nunez telah menjaringkan 6 gol dalam 35 penampilan dalam semua pertandingan musim ini termasuk 4 dalam Liga Perdana.
Walaupun mengakui bahawa kegagalannya di Villa Park masih membebankan fikirannya, Slot berkata Nunez menunjukkan prestasi “luar biasa” dalam sesi latihan pada hari Isnin dalam usaha untuk mendapatkan kembali tempat dalam kesebelasan utama.
“Dia masih kecewa dengannya,” kata Slot mengenai reaksi Nunez.
“Sebanyak mana saya mahu penyerang utama dilihat sebagai seorang yang bekerja keras dan melakukan apa sahaja untuk pasukan, seorang penyerang sememangnya akan lebih fokus kepada menjaringkan gol.
“Saya boleh terus bercakap tentang usaha, usaha, usaha tetapi dia seperti mana-mana penyerang lain, pasti akan kecewa jika dia terlepas peluang. Dia masih kecewa pada hari berikutnya.
“Tetapi semalam, dia luar biasa dalam sesi latihan terutama dari segi usaha dan kerja keras. Harapnya dia boleh teruskan ini, dan apabila pasukan memerlukannya, dia akan bersedia jika dia terus memberikan sesi latihan seperti semalam.”