Arsenal telah didenda £65,000 selepas reaksi pemain-pemain mereka terhadap pengusiran Myles Lewis-Skelly di Wolverhampton Wanderers.
Pemain pertahanan berusia 18 tahun itu dilayangkan kad merah oleh pengadil, Michael Oliver, pada minit ke-43 perlawanan pada 25 Januari selepas melakukan terjahan keras ke atas pemain Wolves, Matt Doherty.
Sekumpulan pemain Arsenal mengelilingi Oliver untuk membantah keputusannya sebelum ia disemak dan disahkan oleh pegawai video bantuan (VAR), Darren England.
Arsenal kemudiannya menang perlawanan itu dengan keputusan 1-0 melalui gol lewat daripada Riccardo Calafiori.
Kelab itu merayu untuk membatalkan penggantungan 3 perlawanan Lewis-Skelly dan berjaya dalam rayuan tersebut. Namun, mereka tetap dikenakan denda kerana jawatankuasa bebas mendapati kelab gagal mengawal tingkah laku pemain mereka selepas kad merah itu.
Satu kenyataan daripada Persatuan Bola Sepak menyatakan: “Sebuah jawatankuasa pengawalseliaan bebas telah mengenakan denda £65,000 ke atas Arsenal berkaitan dengan perlawanan Liga Perdana menentang Wolverhampton Wanderers pada hari Sabtu, 25 Januari.
“Arsenal didakwa gagal mengawal tingkah laku pemain mereka pada minit ke-43, dan kelab itu mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.”
Arsenal telah mengutip 4 kad merah musim ini, menjadikan mereka pasukan paling banyak mengutip kad itu di Liga Perdana.
Declan Rice dilayangkan kad merah kerana melambatkan permainan ketika menentang Brighton pada Ogos, Leandro Trossard menerima hukuman yang sama ketika berdepan Manchester City pada September dan William Saliba dibuang padang selepas mengasari pemain ketika menentang Bournemouth pada Oktober.