Arteta “Sangat Marah” Selepas Arsenal Tumpas, Gelaran Liga Makin Pudar
Mikel Arteta mengakui dirinya “sangat marah” selepas Arsenal tewas 1-0 kepada West Ham di laman sendiri, sekali gus menggugat harapan mereka untuk merangkul gelaran Liga Perdana.
Rekod tanpa kalah Arsenal dalam 15 perlawanan liga akhirnya lebur gara-gara gol pada separuh masa pertama oleh Jarrod Bowen. Seolah-olah itu belum cukup pedih, Myles Lewis-Skelly pula dihadiahkan kad merah. Ia adalah kad merah keduanya pada musim ini dan yang kelima untuk Arsenal. Nampaknya, musim ini Arsenal bukan sahaja suka menjaringkan gol tetapi juga mengumpul kad merah sebagai koleksi.
Arteta jelas kecewa dalam sidang media selepas perlawanan. “Sangat kecewa, sudah tentu lah saya sangat marah,” katanya, sambil mungkin menahan diri daripada membaling botol air.
Beliau turut menyalahkan dirinya sendiri. “Hari ini kami tidak mencapai tahap yang sepatutnya dan saya bertanggungjawab sepenuhnya untuk itu, jadi saya sangat, sangat, sangat, sangat, sangat marah.”
Ketika ditanya sama ada kekalahan ini berpunca daripada ketiadaan pilihan pemain yang cukup di bahagian serangan, Arteta dengan tegas menepis dakwaan tersebut. “Saya tolak bulat-bulat kerana saya bercakap tentang standard pemain dan pasukan hari ini termasuk diri saya sendiri,” katanya.
“Ia langsung tidak berada pada tahap yang diperlukan untuk bersaing merebut Liga Perdana. Kami konsisten sebelum ini, ya, tetapi bola sepak bukan tentang apa yang anda lakukan semalam. Hari ini, kami jauh daripada standard yang sepatutnya.”
Dengan keputusan ini, Arsenal kini ketinggalan 8 mata di belakang pendahulu liga dan gagal memanfaatkan keputusan seri 2-2 antara Liverpool dan Aston Villa pada minggu lalu.
“Saya rasa kita perlu beri pujian kepada West Ham atas kemenangan dan permainan mereka,” sambung Arteta. “Tapi pada masa yang sama, banyak perkara dari pihak kami yang tidak kena. Kami gagal mendapatkan momentum dan tidak cukup ancaman untuk menggugat mereka.”
Secara statistik, Arsenal mendominasi perlawanan dengan 20 percubaan berbanding hanya 5 oleh West Ham tetapi Arteta tidak terpedaya dengan angka tersebut. “Walaupun dengan penguasaan bola dan 20 percubaan itu, saya tak pernah rasa kami berada pada tahap sepatutnya.
“Kami tidak cukup mengancam dan lebih buruk lagi, kami banyak hilang bola di tempat-tempat berbahaya yang membolehkan West Ham melancarkan serangan balas. Itu seperti memberi mereka tiket percuma untuk merosakkan malam kami.”
Di sebalik semua berita suram terdapat sedikit berita baik untuk penyokong Arsenal. Arteta mengesahkan kecederaan Ethan Nwaneri tidak terlalu serius. Pemain berusia 17 tahun itu kelihatan tidak selesa selepas digantikan dalam separuh masa kedua tetapi Arteta percaya ia cuma keletihan biasa bukan kerana terlalu penat melihat prestasi pasukan.
Kini, Arsenal perlu segera bangkit kerana mereka bakal berdepan Nottingham Forest pada hari Rabu nanti. Sementara itu, Liverpool akan bertandang ke Manchester City dengan peluang untuk melebarkan jurang kepada 11 mata di puncak liga. Arteta pastinya berharap pasukannya kembali ke landasan sebelum peluang kejuaraan lenyap sepenuhnya.