Belum Buat Keputusan, Maguire Mungkin Tolak Tawaran Sertai West Ham

West Ham sebenarnya masih menunggu kata putus daripada Harry Maguire sama ada pemain pertahanan itu sanggup meninggalkan Manchester United selepas persetujuan dicapai oleh kedua-dua kelab melibatkan yuran perpindahan £30 juta.

Maguire adalah antara pemain yang disasarkan oleh David Moyes untuk memperkuatkan West Ham. Namun menurut Daily Mail terma peribadi belum dibincangkan dengan pemain itu sehinggalah Maguire menyatakan persetujuan untuk berhijrah ke kelab London itu.

Masih mempunyai baki kontrak sehingga 2025, Maguire sebenarnya masih boleh memilih untuk kekal di Old Trafford sehingga 2025, selain pilihan tambahan kontrak setahun sekiranya ingin berbuat demikian.

West Ham bagaimanapun berharap Maguire memilih untuk menyertai mereka dan melihat kelebihan yang ada sekiranya meninggalkan Man Utd.

Ini termasuklah memberi jaminan kepada pemain pertahanan England itu minit perlawanan yang mencukupi menjelang kejohanan Euro 2024 pada musim panas akan datang.

Malah Moyes turut dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menjadikan Maguire kapten pasukan yang baharu untuk menggantikan Declan Rice yang berhijrah ke Arsenal.

Sidang media pra perlawanan pertama Moyes menjelang sepak mula musim baharu Premier League dijangka akan dihiasi dengan soalan berkaitan Maguire, selain daripada ketibaan James Ward-Prowse.

Status Lucas Paqueta bersama The Hammers turut akan menarik perhatian media selepas pemain itu dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City.

Sehingga artikel ini ditulis, Maguire masih lagi membisu mengenai perkembangan berkaitan masa depannya di Old Trafford.

Satu perkara yang pasti Maguire dijangka akan menerima pemotongan gaji sekiranya memilih untuk menyertai West Ham.

United pula dilaporkan sanggup membayar pampasan untuk menanggung kerugian yang bakal ditanggung Maguire asalkan pemain itu berambus meninggalkan Old Trafford pada musim panas ini.

Jendela perpindahan kali ini dilihat sebagai masa terbaik untuk United menjual Maguire. Ini kerana pemain itu kini sudah berusia 30 tahun dan akan terus susut nilai selepas ini – yang memaksa Ten Hag memeram pemain itu sehingga 2026 sekiranya klausa tambahan kontrak diaktifkan pemain itu.

BACA:  Manchester United Terciduk Lagi Dan Laluan Ke Champions League Makin Sukar