Arsenal Menandatangani Wonderkids Paling Muda Yang Dianggap Jelmaan Messi

Arsenal baru sahaja berjaya untuk mendapatkan wonderkids yang dianggap jelmaan Messi dengan pemain muda itu pada ketika ini berusia empat tahun.

Ya, tadika kemas dan tadika perpaduan pun susah nak terima budak empat tahun, tapi Arsenal meletakkan sepenuh kepercayaan pada pemain muda itu, dan memberinya gelaran sebagai ‘Little Messi’.

Zayn Ali Salman merupakan pemain paling muda yang pernah Arsenal tandatangani, selepas The Gunners terpukau melihat aksi hebatnya.

Aksi yang Zayn Ali Salman tunjukkan jelas tidak membuktikan usianya empat tahun dan kerana itulah Arsenal tidak menunggu lama untuk mendapatkan wonderkid itu.

Kanak-kanak hebat itu telah sering mencipta sensasi di internet selepas banyak video beliau menunjukkan kehebatannya tular di media sosial.

Kebanyakan video menunjukkan bagaimana Zayn tenang mengayam-ayamkan pemain-pemain yang usia mereka dua kali ganda lebih tua darinya.

Austin Schofield merupakan jurulatih di First Touch Football Academy, yang mana Ia tempat di mana Arsenal mendapatkan pemain-pemain muda berbakat.

Beliau bercakap tentang kehebatan Zayn dan potensi yang dimiliki oleh wonderkids itu secara lebih terperinci.

“Kita meletakkan dia beraksi bersama pemain di usia sekitar empat, lima, enam tahun dan dia walau berusia empat tahun, tapi menunjukkan dirinya serba serbi lebih bagus dari yang lain.”

Jelas beliau mengikut artikel yang ditulis oleh JOE.co.uk.

“Dia lebih pantas berbanding pemain lain dan mempunyai keinginan yang lebih tinggi untuk bergerak dan memena bola. Cara bagaimana dia menendang bola, cara dia menghantar bola jauh lebih berkualiti berbanding pemain lain. Jadi, kita memang sentiasa pantau perkembangan dia.”

“Saya bercakap dengan ayah dia dan dia mahu cuba turunkan dia untuk bermain dengan pemain yang lebih berusia. Jadi saya pun fikir, ‘kenapa tidak? Boleh juga tengok macam mana aksi dia.”

Pencari bakat Arsenal, Stephen Deans menyokong kenyataan tersebut dan meluahkan rasa tidak percaya beliau melihat pemain yang sangat muda, boleh menunjukkan aksi yang sangat matang seperti Zayn.

“Budak ini telah melakukan sesuatu yang dia tak sepatutnya lakukan.”

Jelasnya seperti yang ditulis oleh Boss Hunting dan JOE.co.uk.

“Cara bagaimana dia merembat bola, ia nampak sangat tepat untuk seorang pemain di usia dia. Jadi saya hubungi kawan saya dan dia cuma kata, ‘Tengok, dia empat tahun’. Saya kemudian kata, ‘Tak mungkin, dia bukan empat tahun. Dia tak patut duduk di nursery. Saya perlu bercakap dengan Ibu Bapa dia.”

“Dan dari sana, sekarang kita sudah ada di sini. Kita bawa dia untuk sertai beberapa sesi latihan bersama kami dan dia mengikut latihan yang sama dengan yang lain, jadi dia bukan sekadar ikut. Dia melakukan itu secara konsisten.”

Zayn Ali Salman turut sedang mencipta nama sendiri, selepas ibu dan bapa beliau memainkan peranan untuk itu, dengan akaun Instagram miliknya sudah mempunyai 7,000 pengikut.

Baru berusia empat tahun, beliau sudah dapat ‘job paid review’ dengan mempromosikan pakaian kanak-kanak serta beberapa produk lain.

Beliau turut pernah bergambar bersama bekas pertahanan Arsenal, Per Mertesacker dan legenda Olimpik, Sir Mo Farah.

Semoga saja pemain muda itu tidak tertekan kerana diletakkan harapan yang terlalu tinggi oleh kelab, dan kini tentunya para penyokong turut mempunyai pemikiran yang sama.

Arsenal sebelum ini sememangnya sering menyatakan yang mereka mahu menumpukan kepada penandatanganan pemain muda, dengan ia merupakan rancangan masa hadapan kelab.

Agak mengejutkan juga untuk melihat mereka menandatangani pemain yang betul-betul muda, bahkan belum cukup umur lagi untuk didaftarkan bersama akademi kelab.

Zayn Ali Salman dijangka akan menggegar dunia bola sepak di masa hadapan, namun para peminat setidak-tidaknya perlu menunggu lebih kurang sedekad lebih lagi untuk melihat beliau beraksi bersama skuad utama.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Wenger Tidak Menyesal Berpindah Ke Emirates Walaupun Trofi Berkurang