Arsenal membuat keputusan berani tetapi berisiko apabila tidak membeli penyerang dalam jendela perpindahan Januari. Kini, keputusan itu nampaknya membawa padah.
Pertaruhan yang Gagal
Pada bulan lalu, Arsenal mengambil risiko besar dengan bergantung kepada Kai Havertz sebagai penyerang utama. Mereka berharap pemain Jerman itu dapat mengekalkan kecergasannya sepanjang musim. Pada minggu lepas pengurus pasukan, Mikel Arteta baru sahaja menggelarnya sebagai “kuasa genetik” kerana ketahanan fizikalnya.
Namun, nasib tidak menyebelahi Arsenal. Havertz kini mengalami kecederaan hamstring yang serius dan terpaksa berehat sehingga akhir musim. Lebih memburukkan keadaan, kecederaan ini berlaku hanya beberapa hari selepas Gabriel Martinelli turut mengalami masalah yang sama. Dalam tempoh yang singkat, Arsenal telah kehilangan 2 tonggak utama serangan mereka, sementara Bukayo Saka juga mengalami kecederaan hamstring.
Sebelum ini, Arteta yakin bahawa Havertz cukup kuat untuk menggalas tugas berat di bahagian serangan. Namun, selepas perlawanan menentang Wolverhampton Wanderers dan Newcastle United, jelas kelihatan bahawa Havertz mengalami kepenatan. Dengan pilihan pemain yang semakin berkurangan, beban kerja semakin meningkat, menyebabkan pasukan ini seolah-olah dipaksa bermain hingga ke tahap maksimum.
Keputusan Arsenal Dipersoalkan
Ramai penyokong sudah kecewa apabila Arsenal tidak membeli pemain baharu pada Januari. Kini, perasaan itu bertukar menjadi kemarahan.
Sejak awal musim, naratif utama dalam kalangan peminat ialah Arsenal sekadar mengalami nasib malang. Namun, selepas kehilangan 2 penyerang utama tanpa sebarang pelan alternatif, ramai berasakan ini bukan semata-mata nasib malang tetapi satu kecuaian dalam perancangan kelab.
Sejak musim panas lalu, Arsenal sebenarnya mempunyai peluang untuk memperkukuh bahagian serangannya tetapi memilih untuk melabur dalam pemain/posisi lain seperti Riccardo Calafiori dan Mikel Merino. Dalam tempoh yang sama, mereka menjual penyerang seperti Folarin Balogun, Eddie Nketiah dan Mika Biereth. Penyerang ini tidak digantikandengan pemain baharu. Havertz pula dirancang untuk bermain di bahagian tengah.
Arsenal juga membuat satu perpindahan saat akhir pada musim panas – membawa masuk seorang penyerang secara pinjaman sebagai pengganti Reiss Nelson. Namun, ia juga dilihat sebagai satu pertaruhan yang belum menunjukkan hasil.
Kini, Arsenal berada dalam situasi yang sukar. Satu-satunya berita baik adalah, Saka dijangka kembali bermain sekitar pertengahan Mac selepas pulih daripada pembedahan hamstring. Martinelli juga dijangka kembali dalam tempoh yang sama. Namun, persoalannya: adakah sudah terlambat untuk menyelamatkan musim Arsenal?
Pilihan yang Ada: Pemain Muda dan Percubaan Baharu
Buat masa ini, barisan serangan utama Arsenal terdiri daripada Leandro Trossard, Ethan Nwaneri (17 tahun) dan Sterling. Sebelum ini, Arteta berhati-hati dalam menguruskan minit permainan Nwaneri tetapi kini beliau mungkin tiada pilihan selain memasukkan pemain muda itu ke dalam kesebelasan utama.
Pilihan lain? Tidak banyak. Pemain akademi yang menyertai kem latihan di Dubai termasuk Nathan Butler-Oyedeji (22 tahun), Charles Sagoe Junior (20 tahun), Ismeal Kabia (19 tahun) dan Max Dowman (15 tahun). Namun Dowman tidak layak bermain dalam Liga Perdana Inggeris untuk musim ini.
Arteta mungkin terpaksa mencuba pendekatan kreatif seperti meletakkan Emile Smith Rowe atau Willian sebagai ‘false nine’, atau menggunakan Kieran Tierney sebagai pemain sayap kiri. Arsenal juga boleh menandatangani pemain bebas (free agent), tetapi pilihan yang ada tidak begitu meyakinkan.
Seperti yang diakui Arteta:
“Kita perlu lebih fleksibel dalam serangan. Leo (Trossard), Ethan (Nwaneri), Martinelli, Raheem (Sterling) boleh bermain di posisi itu. Kita akan lihat mengikut keadaan dan lawan.”
Realitinya, masa itu sudah tiba – lebih cepat daripada yang Arsenal jangkakan.