Arsenal masih bergelut untuk menemui sentuhan penyudah dan situasi ini semakin merugikan mereka.
Meskipun berjaya mencipta beberapa peluang, mereka sekali lagi gagal menjaringkan gol, menjadikannya perlawanan kedua berturut-turut tanpa sebarang jaringan. Lebih membimbangkan, ini merupakan kali ke-5 pada musim ini Arsenal gagal mencetak gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Pada babak pertama Riccardo Calafiori mengalami detik-detik mencemaskan. Dia dilayangkan kad kuning, hampir menghadiahkan penalti kepada pihak lawan dan hampir menjaringkan gol apabila percubaannya sekadar menggegarkan palang gol.
Kedua-dua pasukan turut memiliki peluang. Tandukan Mikel Merino berjaya ditepis oleh Matz Sels manakala David Raya menyelamatkan percubaan Chris Wood di gawang Arsenal. The Gunners turut memperoleh beberapa sepakan sudut namun mereka tidak lagi setajam awal musim dalam menjaringkan gol menerusi situasi bola mati.
Sementara itu, Nottingham Forest berhak membawa pulang 1 mata dan kekal dalam persaingan merebut tempat ke Liga Juara-Juara Eropah. Mereka kini menghuni tangga ke-3, 6 mata di belakang Arsenal.
Arsenal
Mampukah Calafiori Menjadi Pilihan Utama di Posisi Bek Kiri?
Pemain pertahanan antarabangsa Itali, Riccardo Calafiori lebih menyerlah sebagai pemain yang cenderung menyerang. Namun, di posisi bek kiri, kelemahannya mula jelas terutama ketika berhadapan dengan pemain sayap yang memiliki kepantasan tinggi.
Dalam perlawanan menentang West Ham sebelum ini, Calafiori tewas dalam situasi 1 lawan 1 dengan Aaron Wan-Bissaka, yang akhirnya menghasilkan gol kemenangan buat pasukan lawan. Dalam aksi menentang Nottingham Forest, dia sekali lagi menghadapi kesukaran apabila dilayangkan kad kuning seawal beberapa minit permainan kerana menarik Callum Hudson-Odoi. Malah, satu lagi insiden melibatkan Hudson-Odoi di dalam kotak penalti hampir mengakibatkan Arsenal dihukum dengan sepakan penalti.
Dari aspek serangan, Calafiori cukup berbahaya. Hanya seminit selepas insiden hampir menyebabkan penalti, dia melakukan gerakan cantik dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan yang sekadar menggegarkan tiang gol.
Pergerakannya di kawasan lawan begitu dinamik. Dia diberikan kebebasan untuk mara ke hadapan, malah kadangkala berada lebih tinggi daripada Declan Rice yang turun membantu di bahagian pertahanan bagi mengisi ruang yang ditinggalkan Calafiori.
Mikel Arteta membuat keputusan untuk mengeluarkan Calafiori pada waktu rehat dan menggantikannya dengan Kieran Tierney. Pada musim ini Arsenal sudah mengumpul 5 kad merah, mereka mungkin tidak mahu mengambil risiko membiarkan Calafiori yang telah menerima kad kuning terus beraksi, lebih-lebih lagi ketika berdepan kepantasan Hudson-Odoi dan Anthony Elanga.
Calafiori, 22 membawa dimensi baru dalam serangan Arsenal tetapi jika dia mahu menjadi pilihan utama di posisi bek kiri, dia perlu memperbaiki aspek pertahanannya agar lebih kukuh dan meyakinkan.
Bahagian Serangan Terus Tumpul
Untuk kali ke-2 dalam tempoh 5 hari, Arsenal gagal menemui jaringan.
Walaupun mereka menguasai permainan, pertahanan kukuh Nottingham Forest menghalang sebarang percubaan berbahaya. Kecuali rembatan Riccardo Calafiori yang terkena tiang, ancaman terbesar dari Arsenal hanya hadir melalui situasi bola mati.
Kegagalan ini tidak mengejutkan memandangkan mereka kehilangan 4 penyerang utama iaitu Bukayo Saka, Gabriel Martinelli, Kai Havertz, dan Gabriel Jesus. Ditambah pula dengan keputusan untuk tidak membawa masuk penyerang baharu pada jendela perpindahan Januari, Mikel Arteta kini berdepan pilihan terhad di bahagian serangan.
Arsenal sekali lagi mempertaruhkan Mikel Merino sebagai penyerang tengah tetapi sumbangan terbaiknya hanya datang daripada situasi bola mati. Ethan Nwaneri dan Leandro Trossard juga gagal memberikan impak dari bahagian sayap. Raheem Sterling yang dimasukkan sebagai pemain gantian turut tidak mampu mengubah keadaan.
Lebih mengejutkan, Arteta sekali lagi tidak mahu memberi peluang kepada Nathan Butler-Oyedeji, satu-satunya penyerang tulen dalam skuad perlawanan.
Ini adalah kali ke-5 dalam saingan Liga Perdana musim ini Arsenal gagal menjaringkan gol, sedangkan Liverpool hanya mengalaminya sekali. Perbezaan ketajaman serangan ini mungkin menjadi faktor penentu dalam perebutan kejuaraan liga.
Nottingham Forest
Perubahan Taktikal Nuno untuk Hudson-Odoi
Nuno Espirito Santo mengekalkan kesebelasan utama ketika menentang Newcastle tetapi dia melakukan satu perubahan taktikal kecil yang memberi impak besar.
Dalam formasi 4-2-3-1, Anthony Elanga dan Callum Hudson-Odoi bertukar posisi. Keputusan ini membawa kesan besar apabila Hudson-Odoi menjadi ancaman utama di bahagian kanan. Kepantasannya menyebabkan Riccardo Calafiori tidak dapat menyaingi pergerakannya sehingga pemain Arsenal itu dilayangkan kad kuning. Forest juga meminta sepakan penalti selepas Hudson-Odoi dijatuhkan di dalam kotak, walaupun pengadil berpendapat sentuhan yang berlaku terlalu lembut untuk diberikan penalti.
Selain menjadi ancaman dalam serangan, Hudson-Odoi turut memainkan peranan penting dalam aspek pertahanan. Ketika Forest kehilangan penguasaan bola, dia kerap turun membantu benteng pertahanan dan berfungsi hampir seperti wing-back di bahagian kanan.
Hudson-Odoi memberi perhatian khusus kepada Leandro Trossard, mengawal pergerakan pemain Belgium itu dengan ketat dan melakukan cabaran penting bagi menghalangnya mencipta peluang.
Walaupun masih berjaya menjalin kerjasama dengan bek kanan, Ola Aina dan pemain nombor 10, Morgan Gibbs-White, Forest sedikit kehilangan kelebihan yang sering dimanfaatkan oleh Hudson-Odoi iaitu kebolehannya cut in dari sebelah kiri dan melepaskan rembatan ke far post menggunakan kaki kanannya.
Gibbs-White Terus Menggerakkan Permainan Forest
Dengan 10 sumbangan gol (5 jaringan dan 5 bantuan gol) dalam 22 penampilan Liga Perdana, peranan Morgan Gibbs-White dalam skuad Nottingham Forest sudah tidak dapat disangkal.
Meskipun tidak memperbaiki statistiknya dalam perlawanan ini, dia tetap menjadi pemain paling berbahaya buat pasukannya. Seawal beberapa minit pertama, Gibbs-White sudah menunjukkan ketajamannya. Dia berulang kali mengancam benteng pertahanan Arsenal.
Dia kerap bergandingan dengan Chris Wood, mencipta 4 peluang gol buat penyerang New Zealand itu. Selain itu, keyakinannya dalam mengawal bola dan kebijaksanaannya memilih hantaran menjadikannya ancaman utama buat Arsenal.
Detik terbaiknya hadir apabila hantaran tepat kepada Wood hampir menghasilkan gol kemenangan namun percubaan itu berjaya diselamatkan oleh David Raya.
Apa Kata Pengurus?
Mikel Arteta
“Saya sangat kecewa kerana tidak menang. Standard permainan hari ini jauh lebih baik berbanding perlawanan sebelumnya. Kami telah mencuba pelbagai cara dan menguasai permainan.
“Dengan jumlah peluang yang kami cipta, apabila kami berjaya membuka ruang, kami kekurangan hantaran akhir yang berkualiti, penyudah yang baik serta lebih banyak percubaan tepat untuk memastikan kemenangan dan menjadi lebih efektif.”
“Kami cuba menyesuaikan diri dengan kualiti pemain yang ada serta mencari cara untuk membantu pasukan mencipta peluang dengan pendekatan berbeza. Mungkin mereka bukan jenis pemain yang tiba di kotak penalti dan mencipta detik magis tetapi kami perlu menyesuaikan diri dan melakukan yang terbaik.
“Kami mempunyai 2 peluang besar menerusi situasi bola mati. Set-piece sangat penting, terutama menentang pasukan yang bertahan dalam blok rendah. Namun kami masih gagal memecahkan kebuntuan itu, jadi kami sangat kecewa. Kini, kami ada beberapa hari untuk membuat analisis sebelum perlawanan menentang PSV dan mencari jalan untuk menewaskan pasukan yang bertahan dengan blok rendah.”
Nuno Espirito Santo
“Kami bermain dengan kompak, solid dan agresif. Perkara paling positif adalah berjaya mencatat clean sheet serta menemui semula identiti pasukan kami.
“Morgan (Gibbs-White) bermain dengan baik. Dia adalah pemain utama dalam menukar pertahanan kepada serangan tetapi Arsenal tidak memberi kami banyak ruang untuk melakukannya.
“Kami benar-benar rindu untuk bermain di City Ground. Sokongan penyokong memberikan kami tenaga tambahan, dan kami berharap ia akan berterusan.”