Ramsey Bingung Dengan Tindakan Arsenal Tarik Balik Tawaran Lanjutan Kontrak

Pemain antarabangsa Wales, Aaron Ramsey berkata beliau masih menunggu jawapan daripada Arsenal mengenai tindakan kelab tersebut menarik balik tawaran kontrak yang pernah ditawarkan kepadanya sebelum ini.

Kontrak Ramsey bersama Arsenal akan tamat pada penghujung musim ini dan beliau berpeluang untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana kelab luar England yang berminat untuk mendapatkan beliau secara percuma pada penghujung musim ini sebaik sahaja masuk tahun 2019.

Ramsey bingung dan tidak tahu mengapa Arsenal menarik balik tawaran kontrak

Namun begitu, Ramsey masih lagi berharap mampu mencapai persetujuan dengan Arsenal mengenai lanjutan kontrak walaupun perbincangan telah diberhentikan kerana kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan.

Untuk rekod, Ramsey menyertai Arsenal pada tahun 2008 dari Cardiff City dan telah bermain di Emirates selama 10 tahun. Beliau dilaporkan telahmenolak tawaran daripada Manchester United untuk bekerjasama dengan Arsene Wenger.

Walau bagaimanapun, impian Ramsey untuk terus berbakti dengan Arsenal mungkin tidak kesampaian kerana Arsenal telah menarik kembali tawaran kontrak yang pernah mereka letakkan di atas meja sebelum ini.

Ramsey yang bingung dengan tindakan tersebut masih tidak mengetahui punca Arsenal berbuat demikian dan berharap akan ada pihak yang memberi penjelasan kepadanya dalam masa terdekat ini.

Ramsey tidak menolak kemungkinan berpindah ke luar negara tetapi tidak akan sekali-kali menyertai Tottenham Hotspurs

“Saya berharap akan ada orang datang berjumpa saya dan memberitahu punca sebenar mereka menarik kembali tawaran kontrak.”

“Saya akan terima jika Arsenal ada sebab mereka sendiri. Saya mungkin akan mengetahui sebabnya apabila tiba waktu yang tepat, tetapi buat masa sekarang saya masih lagi tidak tahu.”

“Buat masa sekarang, tiada sebarang tawaran untuk saya di atas meja, jadi tiada kontrak untuk saya pertimbangkan. Kita semua tahu tawaran kontrak yang pernah Arsenal tawarkan telah ditarik balik.”

“Saya sendiri tidak tahu mengapa ia terjadi kerana beberapa minggu sebelum ini, kami telah bersetuju dengan semua perkara dan saya bersedia untuk menurunkan tanda tangan.”

Ramsey dinamakan sebagai kapten pasukan ketika Arsenal mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Sporting CP dalam aksi Europa League awal pagi tadi. Namun begitu, beliau hanya dinamakan di bangku simpanan dalam beberapa perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris Arsenal.

“Saya rasa semua pemain yang berada di bangku simpanan akan berasa kecewa kerana tidak dapat bermain. Tetapi saya merupakan sebahagian daripada pasukan dan saya mahu pasukan mencatatkan keputusan yang bagus.”

Pernah menjadi anak ikan Wenger suatu ketika dahulu

“Kami semua mahu mencapai objektif yang sama. Saya akan terus bermain mengikut cara saya selama ini. Saya akan berikan yang terbaik kepada pasukan untuk membantu pasukan.”

“Tiada perkara lain dalam kepala saya setiap kali berada di atas padang selain ‘bergembira’ ketika bermain bola sepak.”

BACA:  Lihat Aksi Dungu Penyokong Arsenal Bergocoh Sesama Sendiri Ketika Ditewaskan Man Utd