Hatrik Foden Bantu Cipta Rekod Baharu Premier League

Phil Foden tampil dengan prestasu menakjubkan untuk membantu Manchester City membaham Brentford pada awal pagi tadi.

Dan jaringan hatrik pemain perancang tengah kreatif itu turut membantu mencipta rekod baharu Premier League.

Bintang England itu melengkapkan hatriknya ketika perlawanan berbaki 20 minit untuk kemenangan mudah skuad kendalian Pep Guardiola.

Dan ia adalah jaringan keempat perlawanan ini selepas Neal Maupay terlebih dahulu memberikan Brentford gol pendahuluan.

Empat jaringan tersebut termasuk hatrik Foden bermakna semua 10 perlawanan Minggu Ke-23 Premier League ini menghasilkan 45 gol kesemuanya.

Ia adalah jumlah jaringan tertinggi pernah dihasilkan dalam satu pusingan perlawanan Premier league sejak musim 1995/96.

Rekod tersebut turut dibantu oleh jumlah jaringan besar di beberapa perlawanan lain sepanjang minggu ini termasuk keputusan seri 4-4 di antara Newcastle dan Luton, kejayaan Brighton membelasah Crystal Palace 4-1, kekalahan memalukan Chelsea kepada Wolves dengan jaringan 4-2, dan kemenangan besar 5-0 Aston Villa ke atas Sheffield United.

Tidak terkecuali aksi di Emirates yang dihiasi aksi kelakar Virgil Van Dijk dan Alisson yang memberikan kemenangan 3-1 kepada Arsenal ke atas Liverpool dan kemenangan meyakinkan Manchester United ke atas West Ham dengan jaringan 3-0 di Old Trafford.

Satu-satunya perlawanan dengan jumlah jaringan sedikit di pusingan ini adalah keputusan seri 1-1 di antara Bornemouth dan Nottingham Forest pada Ahad lalu.

Bagi City hatrik Foden membantu mereka merekodkan kemenangan penting dalam misi memburu kejuaraan Premier League.

Pemain berusia 23 tahun itu cukup instrumental dalam memastikan City kini hanya dua mata di belakang Liverpool yang dicanang bakal juara.

Skuad kendalian Guardiola kini telah merekodkan lima kemenangan berturut-turut di dalam aksi liga dan kali terakhir tewas pada Oktober lalu.

City akan bertemu Liverpool pada 10 Mac nanti dan ia sudah pasti akan menjadi satu lagi perlawanan tumpuan, tatkala Arsenal menunggu peluang untuk memintas kedudukan kedua-dua pasukan.

BACA:  Premier League 2020/21: Chelsea 0-2 Liverpool