Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata beliau berasa sedikit lega selepas saga perpindahan Alexis Sanchez berakhir dan telah meninggalkan Arsenal.
Sanchez melengkapkan perpindahannya ke Manchester United Isnin lalu dalam perjanjian pertukaran pemain, dengan Henrikh Mkhitaryan menyertai Arsenal sebagai ganti.

Pengumuman rasmi dari kedua-dua buah kelab berkenaan Sanchez akhirnya mengakhiri berbulan-bulan ketidaktentuan masa depan Sanchez bersama Arsenal.
Musim panas lalu menyaksikan Sanchez hampir menyertai Pep Guardiola di Manchester City tetapi gagal menjadi kenyataan kerana Arsenal gagal menemui pengganti yang sesuai sebelum tirai perpindahan ditutup.
Selepas melihat anak buahnya menewaskan Chelsea untuk menempah tiket ke perlawanan akhir Piala Carabao awal pagi semalam, Wenger berkata sudah tiba masanya semua pihak di Arsenal memandang ke hadapan dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap perkara yang berlaku dalam padang sahaja.
“Kami kehilangan pemain yang sangat hebat. Tetapi apabila ahli pasukan tidak mengetahui apa yang bakal berlaku pada masa hadapan, pemain akan hilang sedikit fokus terhadap perkara paling penting iaitu persembahan di atas padang.”
“Sekarang, kami sudah menyelesaikan isu Sanchez dan semua pemain sudah boleh memberikan fokus yang penuh kepada perkara dalam padang.”

Dalam perlawanan yang berlangsung di Emirates awal pagi semalam, Arsenal bermula agak perlahan dan ketinggalan selepas Eden Hazard menjaringkan gol pembukaan. Tetapi anak buah Wenger bangkit kembali melalui gol sendiri Antonio Rudiger dan pada separuh masa kedua, Granit Xhaka berjaya menjaringkan go kedua Arsenal untuk membawa pasukannya ke Wembley sekali lagi untuk berhadapan dengan Manchester City.
“Pada separuh masa pertama, kami terlebih hormat Chelsea dan kami agak takut untuk mara ke hadapan. Jadi kami agak sengsara pada awal perlawanan.”
“Apa yang bagus adalah kami terikat 1-1 selepas separuh masa pertama berakhir. Kami tahu kami mampu bermain lebih baik pada separuh masa kedua dan itulah yang pasukan ini telah lakukan. Kami berjaya mengawal perlawanan dan mendominasi perlawanan.”

Wenger turut sempat memuji impak yang dibawa oleh pemain pertahanan berpengalaman Arsenal, Nacho Monreal kepada seluruh pasukan. Monreal menunjukkan permainan yang agak baik sejak pulih dari kecederaan dengan menjaringkan gol minggu lepas ketika bertemu Crystal Palace dan memaksa Rudiger untuk menjaringkan gol sendiri pada perlawanan semalam.
“Itu menunjukkan dengan keyakinan yang tinggi selepas pemain menjaringkan gol, mereka mampu menjaringkan gol lagi pada masa hadapan. Kami agak bernasib baik dengan gol pertama kami tetapi ia berlaku tepat pada masanya.”