Pengurus Arsenal, Arsene Wenger jelas kecewa dengan keputusan pengadil perlawanan, Mike Dean memberikan penalti pada minit-minit terakhir permainan kepada West Brom, dan berkata keputusan tersebut sukar untuk diterima.
Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri 1-1. Sebelum insiden penuh kontroversi itu, Arsenal berjaya menjaringkan gol pendahuluan pada minit 83 apabila sepakan percuma Alexis Sanchez terkena benteng sebelum mengenai James McLean yang tertampan bola ke gawang sendiri.
Disaat Arsenal sudah berkira-kira untuk membawa pulang 3 mata berharga dari tempat lawan, pengadil perlawanan Mike Dean menghadiahkan penalti pada minit terakhir perlawanan selepas bola terkena tangan Calum Chambers dalam kotak penalti.
Ulang tayang menunjukkan tangan Chambers berada dalam kedudukan natural dan keputusan tersebut sangat sukar diterima pemain dan peminat Arsenal. Jay Rodriguez mengambil sepakan penalti tersebut dan berjaya menjaringkan gol penyamaan, menewaskan Petr Cech yang masih lagi dapat menyelamatkan sebarang penalti semenjak bergelar pemain Arsenal.
Wenger yang kecewa dan marah dengan keputusan penalti tersebut bertindak menunggu Mike Dean di terowong stadium bagi meminta penjelasan beliau. Pengurus berasal dari Perancis ini dipetik berkata kepada pemberita selepas perlawanan seperti berikut:
“Saya sangat kecewa melihat insiden tersebut tetapi apa yang mampu saya lakukan? Kamu boleh terus bercakap mengenainya tetapi ia tidak akan mengubah apa-apa.”
“Saya ingin ingatkan sekali lagi yang saya berjuang bersama David Dean [bekas naib pengerusi FA England] beberapa tahun sebelum ini untuk menjadikan pengadil sebagai profesional, tetapi malangnya tahap mereka tidak berubah.”
Apabila ditanya lebih lanjut adakah keputusan Mike Dean itu 100% salah, Wenger berkata keputusan itu tidak tepat dimatanya, dan sukar untuk diterima.
“Pada pendapat saya, ia keputusan yang salah. Sangat sukar untuk diterima. Keputusan untuk memberikan penalti mestilah lebih dari kesalahan itu dan ia bukan kali pertama berlaku.”
“Tapi lebih baik jika kita tidak bercakap mengenainya. Jauh dalam hati, kami tahu apa yang telah berlaku dan kami harus belajar untuk menerimanya.”
Apabila diminta mengulas sama ada pengenalan Video Assistant Referee (VAR) dapat membantu pengadilan di England, Wenger berkata sudah tiba masanya teknologi tersebut digunakan.
“Sudah sampai masanya. Saya tidak tahu mengapa liga yang mahu menjadi terbaik di dunia menunggu begitu lama untuk menggunakan teknologi ini. Liga utama lain sudahpon menggunakannya.”