Emi Martinez Dedah Yang Beliau Tidak Pernah Berminat Sertai Arsenal

Penjaga gol Aston Villa, Emiliano Martinez telah mencetuskan sensasi dengan mendakwa yang beliau sebenarnya tak pernah berminat untuk sertai bekas kelabnya, Arsenal.

Beliau turut menegaskan yang keputusannya menyertai Gunners sebelum ini hanyalah untuk kebaikan keluarganya.

Pemain kebangsaan Argentina yang kini kembali ke Amerika Selatan untuk tugasan antarabangsa itu, telah mendedahkan tentang kisah 10 tahun kariernya di Emirates.

Martinez tiba di Emirates pada tahun 2010 dari Independiente, beliau ketika itu baru berusia 17 tahun dan sudah terpaksa berpisah dengan keluarganya.

Beliau kemudiannya perlu menunggu sehingga dekad kedua untuk beraksi sebagai penjaga gol utama di peringkat kelab.

Beliau dengan segera mendapat tempat sebagai penjaga gol utama Aston Villa selepas melengkapkan perpindahannya pada tahun 2020 yang lalu.

Perjalanan karier Martinez sebelum menjadi penjaga gol utama dan antara yang terbaik dalam saingan Premier League sangat berliku.

Beliau sebelum ini pernah dipinjamkan ke Oxford, Sheffield Wednesday, Rotherham, Wolves, Getafe dan Reading ketika kariernya di Emirates.

Walau bagaimanapun, kisah perjalanan beliau mungkin sedikit berbeza, jika bukan kerana keinginan Martinez untuk bantu menyara keluarganya bertahun-tahun dahulu.

Menurut penjelasan beliau sendiri, beliau lebih memilih untuk kekal di Argentina dalam tempoh yang lebih lama.

Beliau mahu terus kembangkan kariernya sebagai penjaga gol dan memperbaiki segala kekurangan yang ada.

“Arsenal datang mencari saya dan Pepe Santoro (jurulatih Independiente) beritahu saya yang kesempatan hanya akan datang sekali dalam seumur hidup.”

Jelas pemain kebangsaan Argentina itu kepada media Sepanyol El Pais.

“Keluarga saya dan ejen saya ada fikiran yang sama. Jadi keputusan itu lebih untuk mereka berbanding semua hal yang lain.”

“Saya tak mahu pergi. Saya tak menyesal tentang itu, tapi saya mahu bermain bersama Independiente. Buat seketika, saya fikir: ‘ jika saya kekal, dalam tempoh dua tahun saya akan melakukan debut.’ Keluarga saya agak kurang dari segi kewangan. Saya lakukan itu lebih untuk membantu keluarga berbanding sukan.”

Sedekad selepas Martinez beraksi bersama Arsenal, beliau telah ditandatangani oleh Aston Villa dengan yuran perpindahan bernilai £20 juta.

Ia seolah-olah kerja keras, usaha dan kesabaran pemain berusia 29 tahun itu membuahkan hasil, jika beliau kekal di Arsenal yang kini berada di tangga tercorot liga, Martinez mungkin akan jadi pilihan kedua dibelakang Bernd Leno.

Pada musim 2020/21, Martinez merupakan antara pemain terpenting Aston Villa dengan beliau beraksi dalam semua 38 perlawanan dalam saingan Premier League.

Beliau juga menjadi nadi penting yang membantu skuad kebangsaan Argentina menjuarai saingan Copa America pada tahun ini.

Sumber: SB

BACA:  Penyokong Arsenal Mahu Arteta Kembali Jadi Pemain Selepas Lihat Video Latihan