Arsene Wenger Enggan Mengaku Kalah Dalam Misi Top 4, Arsenal Akan Terus Berjuang

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata beliau tidak akan sekali-kali mengaku kalah dalam misi merangkul kedudukan 4 teratas liga musim ini walaupun selepas melihat pasukannya tewas di tangan Tottenham 1-0 semalam.

Pemain antarabangsa England, Harry Kane muncul wira buat Spurs selepas melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol tunggal perlawanan bagi memberikan kemenangan buat pasukannya dalam North London Derby.

Kekalahan ke-8 musim ini. No problem

Walaupun Arsenal bermain buruk sepanjang perlawanan, Wenger mendakwa Arsenal sepatutnya memenangi perlawanan pada separuh masa pertama tetapi ketumpulan jentera serangan menjadi penghalang.

Wenger menyalahkan anak buahnya yang tidak mengambil peluang sebaiknya dalam ketika melakukan serangan balas termasuk beberapa peluang saat terakhir yang dipersiakan oleh Alexander Lacazette.

“Kami sepatutnya memenangi perlawanan tadi pada separuh masa pertama lagi. Kami terlepas beberapa peluang ketika melakukan serangan balas yang sepatutnya tidak berlaku pada tahap ini.”

“Pada separuh masa kedua pula, kami sepatutnya kalah dengan jaringan lebih dari satu gol. Pada penghujung perlawanan, kami sepatutnya boleh menjadikan kedudukan 1-1. Kami mempunyai beberapa peluang dan beberapa situasi berbahaya yang gagal diterjemahkan kepada peluang menjaringkan gol. Itulah yang saya sangat kesalkan.”

Sayur je semalam

“Dalam perlawanan sebegini, kamu harus mengambil semua peluang yang ada kerana kamu tidak akan mempunyai 10 peluang untuk menjaringkan gol. Jika kamu gagal mengambil peluang tersebut, kamu akan merana pada penghujung perlawanan.”

Kekalahan ini meninggalkan Arsenal di tempat ke-6 Liga Perdana Inggeris, 7 mata di belakang Spurs dan 5 mata di belakang penghuni tempat ke-5 Chelsea yang masih berbaki 1 lagi perlawanan.

Wenger mengakui peluang pasukannya untuk meraih slot automatik ke Liga Juara-Juara musim hadapan semakin malap, tetapi beliau enggan mengangkat bendera putih lagi.

“Ini adalah perlawanan yang kami tidak boleh kalah. Keadaan menjadi lebih sukar sekarang tetapi kami akan terus berjuang selagi peluang dari segi matematik masih ada.”

“Kepentingan perlawanan ini bukan sekadar derby sahaja, tetapi lebih daripada itu. Jadi saya amat kecewa kami kalah dalam keadaan seperti perlawanan tadi.”

Bekas produk akademi Arsenal, Harry Kane membuktikan mengapa Arsenal silap untuk melepaskan beliau

Arsenal masih lagi berpeluang untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan dengan memenangi Europa League musim ini, seperti yang telah dilakukan Manchester United musim lalu.

Arsenal akan menyambung aksi dalam Europa League Khamis ini dengan bertemu pasukan dari Sweden, Ostersund. Walaubagaimanapun, Wenger berkata masih terlalu awal untuk mengalihkan fokus pasukan kepada Europa League kerana beliau percaya Arsenal masih mempunyai peluang dalam saingan liga.

“Bolasepak bukan hanya mengenai menumpukan perhatian terhadap satu perlawanan sahaja dan melupakan 3 perlawanan yang lain. Pendapat saya adalah kami harus berjuang untuk kembali bersaing dalam liga.”

“Secara keseluruhannya, keputusan ini sangat mengecewakan saya kerana keutamaan pasukan ini adalah untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara melalui Liga Perdana Inggeris.”

BACA:  Premier League 2022/23: Arsenal 3-2 Liverpool