Athletic Bilbao – Kelab Untuk Anak Jati Basque

Athletic Bilbao merupakan sebuah kelab bola sepak yang bermain di La Liga – siapa yang tak tahu fakta ini sila terjun dari puncak bangunan 27 tingkat tanpa sebarang peralatan keselamatan mahupun payung terjun.

Kelab ini berpusat di Bilbao, ibu negeri kepada Biscay, sebuah wilayah yang terletak di dalam Komuniti Autonomi Negara Basque.

Peta Negara Basque di Sepanyol.

Komuniti autonomi ini terletak di Utara Sepanyol dan bersempadan dengan Perancis.

Kalau di Malaysia, aras pentadbiran dikira mengikut susunan berikut ; negara-negeri-daerah/jajahan/residensi – mukim – kampung, manakala di Sepanyol, aras pentadbiran adalah mengikut susunan berikut ; negara – komuniti autonomi – wilayah – bandar/daerah.

Faham dah susunan pentadbiran di Sepanyol? Kalau tak faham lagi sila Google. Jangan banyak tanya.

Iñigo Urkullu Rentería – Presiden Negara Basque

Pada tahun 1898, sekumpulan buruh kapal British telah menubuhkan sebuah kelab sukan, Athletic Club, dan pada masa yang sama, sekumpulan pelajar yang telah mebimba ilmu di universiti di England telah menubuhkan kelab bola sepak. Bilbao FC.

Kedua-dua kelab ini bergabung sementara pada tahun 1903 untuk membentuk pasukan Bizcaya semata-mata untuk menyertai Copa Del Rey di mana mereka berjaya muncul juara pada tahun tersebut, menewaskan Barcelona.

Pada tahun yang sama juga, kedua-dua kelab ini bergabung secara tetap dan menggunakan nama Athletic Club.

Panjang juga cerita nya.

Polisi Pemain

Apa yang membuatkan kelab Bilbao ini istimewa, sejak 1912, hanya pemain yang berbangsa Basque dibenarkan bermain untuk kelab ini. Polisi ini semestinya tiada hitam putih, namun masih lagi dikekalkan sehingga hari ini, meskipun polisi ini sedikit dilonggarkan.

Pada awalnya, kelab ini hanya mengambil pemain-pemain yang lahir di Negara Basque, namun dilonggarkan syaratnya kepada pemain yang mempunyai ibu atau bapa berdarah Basque meskipun tidak dilahirkan di sana.

Polisi ini kemudiannya dilonggarkan kepada pemain yang mempunyai salah seorang daripada datuk atau neneknya berdarah Basque.

Sebuah lagi kelab yang mengamalkan polisi ini ialah Real Sociedad – kelab yang bertapak juga di Negara Basque. Namun polisi Sociedad terhenti pada tahun 1989 apabila mereka menurunkan pemain Ireland, John Aldridge.

Sebuah lagi kelab yang bertapak di Negara Basque ialah Osasuna, namun mereka tidak mengamalkan dasar pintu tertutup ini.

Pemain dari Biscay

Selalunya, Athletic Bilbao akan mengambil pemain-pemain muda dari Biscay, manakala Sociedad dan Osasuna masing-masing mendapatkan pemain dari wilayah Gipuzkoa dan Navarre.

Namun, pada hari ini Athletic Bilbao lebih banyak mencari pemain di keseluruhan Negar Basque dan peluang mereka untuk mendapatkan pemain terbaik Basque bertambah mudah selepas Sociedad mengamalkan dasar pintu terbuka.

Pemain Berkulit Gelap dan Pemain Asing

Polisi yang tidak bertulis ini dikecam teruk kerana sebelum tahun 2011, Bibao tidak pernah mempunyai pemain berkulit gelap dan langkah ini seolah-olah dilihat sebagai satu langkah yang regresif dan mempunyai semangat perkauman yang melampau.

Jonas Ramalho muncul pemain berkulit gelap pertama bermain untuk kelab ini pada 2011. Meskipun bapanya seorang rakyat Angola, Ramalho layak memandangkan ibunya berdarah Basque.

Pada tahun 2015, Inaki Williams muncul penjaring berkulit hitam pertama buat Bilbao.

Williams tidak berdarah Basque memandangkan kedua-dua ibu bapanya merupakan imigran dari Afrika, namun dia layak mewakili Bilbao kerana dilahirkan Negara Basque.

Lizarazu diapit Djorkaeff dan Zidane, menjulang Piala Dunia pada 1998.

Selain di Sepanyol, Perancis juga mempunyai satu wilayah Basque yang dipanggil Negara Basque Utara Perancis, dan Bixente Lizarazu, pemain Perancis, merupakan pemain berdarah Basque dari wilayah ini bermain untuk kelab Bilbao, manakala Aymeric Laporte, juga merupakan Basque Perancis, telah menyertai akademi Bilbao sejak remaja.

Antara pemain kelas dunia yang berdarah Basque Perancis ialah Antoine Griezmann.

Pemain Antarabangsa

Selain pemain dari Basque Perancis, Bilbao juga mempunyai pemain yang berdarah Basque, tetapi keluarganya telah berhijrah ke luar Sepanyol dan Perancis, dan selalunya mereka tinggal di Amerika Selatan. Contohnya Fernando Amorebieta – dilahirkan di Venezuela dan kedua ibu bapanya merupakan keturunan Basque.

Diego Forlan pernah dikaitkan dengan kelab ini dan dia mempunyai nenek berdarah Basque, sekaligus melayakkannya untuk bermain bersama kelab ini.

Robeto Rios

Disebabkan polisi ini juga, Athletic Bibao tidak berbelanja besar untuk membeli pemain. Rekod termahal pembelian pemain oleh kelab ini ada £10.2 juta ketika membawa Roberto Rios dari Real Betis pada musim 1997-98.

Pasukan Kebangsaan Basque

Meskipun tidak diiktiraf oleh FIFA, Negara Basque mempunyai pasukan kebangsaannya seperti Catalonia, dan mereka sekadar mengadakan perlawanan persahabatan menentang negara-negara lain.

Perlawanan pertama pasukan ini ialah pada tahun 1971, di mana Basque bertemu Catalonia, dan perlawanan mutakhir mereka adalah pada 30 Disember 2016, di mana mereka menewaskan Tunisia.

Pemain Kelas Dunia Berdarah Basque

Kalau nak kira, pemain yang berdarah Basque ini ramai juga yang dikenali. Antaranya adalah seperti di bawah :

Antoine Griezmann – Atletico Madrid

Javi Martinez – Bayern Munich

Indro Putro – Atletico Kelante

Iker Muniain – Athletic Bilbao

Aritz Aduriz – Athletic Bilbao

Fernando Llorente – Swansea

Xabi Alonso – Bayern Munich

Xabi Alonso – antara pemain Basque yang terkenal

Manakala antara bekas pemain bola sepak berdarah Basque adalah seperti berikut :

Gaizka Mandieta – bekas pemain Valencia, Middlesbrough

Mikel Arteta – bekas pemain Everton, Arsenal

Txiki Beguiristain – Pengarah Bola Sepak Manchester City, bekas pemain Barcelona, Sociedad

Diego Forlan – bekas pemain Villareal, Atletico Madrid

Didier Deschamps – bekas kapten Perancis

Andoni Zubizarreta – bekas penjaga gol Barcelona

Bolehkah polisi ini diamalkan di Malaysia?

Secara jujurnya, polisi ini sangatlah tidak sihat dan tak mungkin berlaku di kalangan pasukan bola sepak di Malaysia. Kau bayangkan kalau Melaka mengamalkan dasar seperti ini, maka kemungkinan besar Melaka akan turun bermain di Piala FAM kembali seperti dulu-dulu.

Bila keadaan ini berlaku, maka para penyokong Melaka akan kembali fokus bermain boling. Lahabau betul.

Fakri Saarani (Iniesta Malaysia) – pemain berdarah Kelantan yang melakukan debut professional dengan Perak.

Kalau ada pasukan yang nak amalkan polisi ini di Malaysia, hanya dua pasukan yang mampu – Kedah dan Kelantan. Kedah selalu menghasilkan pemain muda yang berkualiti, manakala Kelantan pula rakyatnya boleh dikatakan berada di setiap inci di pelusuk negara.

Jadi, tiada masalah bagi mereka untuk membentuk pasukan ala-ala Athletic Bilbao ini.

BACA:  [VIDEO] Skill Sepakan 'Outside Of The Boot' Dungu Maguire Jadi Punca MU Dibolosi Athletic Bilbao