Atletico Madrid: Dari ‘Anjing Perang’ ke Taktikal Berhemah!

Atletico Madrid lawan Real Madrid: Dari ‘Anjing Perang’ ke Taktikal yang Berhemah!

Pada perlawanan pertama pusingan 16 pasukan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) antara Atletico Madrid dan Real Madrid, ramai menjangkakan Atletico akan turun dengan gaya permainan lama mereka iaitu bertahan mati-matian dan mengharapkan serangan balas kilat. Namun apa yang berlaku di Santiago Bernabeu sebenarnya agak mengejutkan. Walaupun Atletico tewas 2-1 terapi mereka berjaya menguasai permainan dalam banyak fasa dan hampir kelihatan seperti pasukan yang lebih dominan!

Dulu Bertahan, Sekarang Bergaya?

Sebelum ini ketika di era keemasan Diego Simeone, Atletico dikenali sebagai ‘Anjing Perang’ – garang, keras dan bersedia bertahan hingga ke titisan peluh terakhir. Nama-nama seperti Diego Godin, Gabi dan Diego Costa cukup sinonim dengan gaya Atletico yang lebih mementingkan disiplin bertahan daripada penguasaan bola.

Tetapi pada perlawanan ini, Atletico mengubah pendekatannya. Mereka lebih banyak mengawal permainan, dengan Rodrigo De Paul, Julian Alvarez dan Antoine Griezmann memainkan peranan penting di bahagian tengah. Malah, menjelang akhir separuh masa pertama Atletico berjaya merekodkan 54% penguasaan bola, sesuatu yang jarang berlaku bagi pasukan yang dahulunya lebih selesa menunggu serangan lawan.

Lebih menarik, penyokong Real Madrid di Bernabeu mula bersiul dan merungut apabila Atletico berani-berani menyimpan bola hampir 60 saat tanpa dirampas! Sudah tentu lah ini bukan Atletico yang biasa semua orang lihat sejak satu dekad lalu.

Simeone Masih Tak Boleh Duduk Diam

Walaupun pasukannya bermain dengan lebih tenang dan tersusun, Simeone tetap ‘mengamuk’ di tepi padang seperti biasa. Dia melompat, berteriak dan seolah-olah menendang bola secara maya setiap kali pemainnya membuat hantaran atau percubaan ke arah gol.

Namun, perubahan gaya ini ada harga yang perlu dibayar. Atletico mungkin lebih berani menyerang dan mereka juga kurang ketahanan untuk bertahan seperti dulu. Gol penyamaan Alvarez yang menakjubkan memberi harapan buat Atletico tetapi Real Madrid berjaya mengambil kesempatan ke atas kelemahan pertahanan mereka untuk menjaringkan gol kemenangan. Tiada lagi aksi ‘berani mati’ dari pemain seperti Godin atau Gabi untuk menghalang percubaan lawan.

Dulu Kasar, Sekarang Berhemah?

Dahulu, jika Atletico bertemu Real Madrid dalam perlawanan kalah mati Liga Juara-Juara pasti ada kad kuning dan insiden tegang. Tapi kali ini, hanya 2 kad kuning diberikan, itu pun kepada pemain Real Madrid! Ini menunjukkan betapa Atletico telah berubah daripada pasukan yang terkenal dengan permainan fizikal kepada pasukan yang lebih mengutamakan kawalan permainan.

Namun, tidak semuanya buruk. Atletico masih mempunyai semangat juang tinggi. Mereka telah membuktikan bahawa mereka mampu bermain secara lebih moden dan taktikal sambil mengekalkan sedikit DNA lama mereka yang penuh dengan disiplin.

Harapan di Metropolitano

Walaupun pulang dengan kekalahan, Atletico tidak boleh putus asa. Mereka masih mempunyai peluang untuk bangkit di Estadio Metropolitano minggu depan. Penyokong Atletico yang terkenal dengan sorakan lantang pasti akan memberikan tekanan kepada Real Madrid.

Cuma, persoalannya adakah Atletico akan terus dengan pendekatan baru mereka atau mereka akan kembali menjadi ‘Anjing Perang’ untuk bertahan mati-matian? Yang pasti Real Madrid tidak boleh terlalu selesa. Jika Atletico berjaya menggabungkan kedua-dua gaya – serangan kreatif dan pertahanan kental – mereka mungkin akhirnya mampu menyingkirkan musuh setempat mereka di pentas Eropah.

Real Madrid, bersedialah!

BACA:  Real Madrid Catat Kehadiran Penonton Paling Rendah Dalam Aksi Pembukaan La Liga