Barcelona memulakan kempen musim 2021-22 dengan penuh cerita duka. Mana tidaknya, kelab tersebut dibelenggu masalah kewangan yang meruncing sehingga tidak dapat mendaftarkan pemain baharu melainkan pemotongan gai dilakukan terhadap pemain lama.
Malah legenda kelab, Lionel Messi, juga tidak dapat disambung kontraknya lalu menyebabkan pemain ini membawa diri dan menjadi bahan cemuhan di liga Perancis bersama Paris Saint Germain.
Dari segi prestasi di atas padang juga Barcelona gagal membawa senyuman di kalangan para penyokong di mana mereka kerap keciciran mata dan paling penting, mereka tewas kepada musuh tradisi, Real Madrid. Lebih malang lagi pasukan ini telah kehilangan seorang penyerang berbisa, Sergio Aguero, yang terpaksa bersara kerana masalah jantung.
Dengan segala masalah yang berlaku ini, pembesar kelab telah bertindak memecat ketua jurulatih ketika itu, Ronald Koeman dan telah mengambil keputusan untuk melantik pemain tengah yang telah memenangi kesemua piala bersama kelab Catalan tersebut, Xavi Hernandez.
It’s simply incredible how Xavi Hernández has changed Barcelona Football Club in 134 days. It feels completely different, on and off the pitch. 💡 #FCB
Dressing room atmosphere, tactics, signings, relationship with players & board… and then, this Clásico.
134 days. Chapeau. pic.twitter.com/FaT5Dsd6bv
— Fabrizio Romano (@FabrizioRomano) March 20, 2022
Xavi ketika itu merupakan jurulatih bagi kelab di liga sebuah negara Arab dan kepulangannya membawa harapan yang menggunung untuk memulihkan Barcelona, bukan sahaja daripada kalangan pentadbir kelab, malah para penyokong juga.
Pada mulanya Xavi dilihat gagal untuk mengemudi pasukan yang telah menaikkan namanya selama hampir dua dekad ini namun segalanya berubah apabila jendela perpindahan pada bulan Januari dibuka.
Beberapa pemain dibawa masuk seperti Pierre Emerick Aubameyang, Ferran Torres serta kembalinya bek kanan terbaik dunia suatu ketika dahulu, Dani Alves.
Gandingan pemain baharu, pemain lama dan juga pemain muda ini telah berjaya membolehkan Xavi membentuk satu gaya permainan yang berasaskan formasi 4-3-3, dan mempunyai corak iras pasukan bimbingan Pep Guardiola, tetapi tidak sama sepenuhnya.
Sistem permainan ini telah membawa Barcelona melonjak naik ke tangga ketiga liga selepas tampil tidak terkalah dalam 13 perlawanan dan terbaru, mereka telah memalukan seteru utama, Real Madrid di hadapan penyokong sendiri apabila menjaringkan empat gol tanpa balas dalam perlawanan yang dikuasai sepenuhnya oleh La Blaugrana.
Pemain Tengah Kini Berlari Lebih Banyak
Antara perkara yang agak mengejutkan tentang sistem 4-3-3 Xavi ini adalah dia membimbing pemain tengah muda untuk bermain bukan seperti cara dia bermain suatu ketika dahulu.
Ketika beraksi di atas padang, posisi Xavi selalunya ditentukan oleh kedudukan bola dan dia boleh dikatakan menjadi agak sunyi dan bersendiri sekiranya bola meninggalkan kakinya walaupun untuk beberapa saat. Ketika Barcelona memulakan gerakan dari bawah, Xavi akan turun ke kawasan berhampiran dengan para pertahanan bagi mendapatkan bola.
Apabila bola sudah sampai ke kawasan serangan yang dipanggil zon ketiga (attacking third), Xavi juga akan berada di kawasan tersebut. Tugasnya adalah untuk menerima bola di kawasan yang sempit dan membolehkan rakan sepasukannya untuk mara ke ruang yang lebih luas.
Dengan kata lain, Xavi tidak mencipta ruang tetapi dia menemukannya.
Barisan pemain tengah Barcelona pada hari ini adalah sejumlah wonderkid yang mampu untuk bermain seperti Xavi tetapi mereka tidak diajar begitu. Jika zaman Guardiola dulu, pemain tengah akan berkumpul di bahagian tengah padang untuk menerima bola sebaliknya di dalam era Xavi, mereka lebih banyak berada di ruang luar dan atas, ketika menguasai bola sekaligus mengisi sebanyak ruang yang mungkin di zon serangan.
Dalam versi 4-3-3 Xavi ini, dua pemain tengah (central midfielders) akan bertindak bagaikan penyerang tambahan untuk membentuk gandingan lima penyerang di bahagian hadapan. Mereka mencipta ruang mereka sendiri selain bertindak sebagai pengumpan yang baik.
Contohnya bola berada di kaki pertahanan, Xavi akan turun ke bawah dan mengutip bola tetapi anak buahnya kini akan berlari ke zon serangan atau sebelah sayap untuk menarik pemain lawan ke arah mereka. Apabila pihak lawan termakan helah, maka giliran pemain yang lain akan masuk ke ruang yang ditinggalkan sekaligus membawa ancaman ke arah kubu pasukan lawan.
🍿 HT WATCH 🍿
🔵🔴 Xavi's Barcelona Tactics Explained W/ @SofaScoreINT. #ElClasicopic.twitter.com/jGpnPAdmys
— Statman Dave (@StatmanDave) March 19, 2022
Selalunya pergerakan ini berlaku apabila mereka memasuki fasa kedua serangan – selepas berjaya mengeluarkan bola daripada tekanan tinggi (high pressure) dari kalangan penyerang pasukan lawan.
Ketika bola berada di zon pertahanan – katakan bola sedang berada di kaki pertahanan tengah yang mempunyai banyak masa untuk berfikir gerakan berikutnya – pemain tengah yang paling jauh daripada bola akan terus melakukan larian ke ruang yang ditinggalkan oleh penyerang yang turun sedikit (drop deep).
Pada waktu ini pertahanan tersebut mempunyai pilihan sama ada melakukan hantaran jauh kepada pemain yang melakukan larian, atau memberikan bola kepada penyerang yang turun ke bawah.
Jika pemain yang melakukan larian menerima bola, dia mempunyai dua kemungkinan – melakukan cubaan ke arah gol atau menolak bola kepada penyerang yang sudah memasuki ruang yang baik untuk menjaringkan gol.
Contohnya dalam perlawanan menentang Galatasaray. Aubameyang turun sedikit meninggalkan pertahanan tengah lawan dan bola diberikan kepadanya. Pada masa yang sama, Frenkie De Jong telah melakukan larian dari luar ke belakang Auba, yang menerima bola.
Auba kemudiannya menolak bola kepada pemain yang berada di sebelahnya dan kemudian pemain tersebut melakukan hantaran pantas kepada De Jong yang sudah tidak dikawal.
Bek Sisi Yang Bermain Seperti Midfield
Dengan pemain tengah berlari ke atas ketika build up, siapakah yang akan melakukan hantaran?
Pemain pertahanan tengah Barcelona yang bersifat ball playing [mempunyai kawalan bola dan mampu melakukan hantaran dengna baik] dan Sergio Busquets sememangnya mampu melakukan lorongan bola yang memecah belah pertahanan pasukan lawan, tetapi Xavi suatu ketika dahulu, sering memberikan sokongan di sisi Busquets.
Tetapi kini, dua bek sisi veteran – Jordi Alba dan Dani Alves – menjadi watak utama dalam menggerakkan bola dan kedua-dua pemain ini sering memasuki ruang kosong di posisi tengah atau turun ke bawah untuk membentuk sistem tiga pertahanan apabila pasukan lawan melakukan tekanan menerusi dua penyerang.
Gaya ini bukanlah sesuatu yang baru dalam pasukan Barcelona di mana Eric Abidal sering melakukannya ketika era Guardiola, tetapi ini adalah satu falsafah baru buat Alba dan Alves – yang mencipta nama selaku bek sisi yang sering naik ke atas untuk membantu serangan.
A phenomenal performance from Dani Alves. Unbelievable. Today the 38y/o was a perfect example as a inverted fullback to create superiority in the middle and to provide classy passes#FCB #FCBarcelona pic.twitter.com/VBcGiIStlg
— DB (@DatoBHJ) February 6, 2022
Kini, dengan usia yang semakin meningkat, Alba dan Alves tidak lagi mampu untuk mengejar pemain lawan yang pantas tetapi pengalaman yang dimiliki kedua-dua pemain ini sangat berharga untuk diletakkan di bangku simpanan.
Jadi Xavi telah merencana satu sistem di mana dua orang tua ini dimainkan sebagai inside full back di mana mereka mampu membantu pasukan menerusi hantaran dan ketepatan dalam membuat keputusan, sambil mengurangkan jarak yang perlu mereka tutup di ruang bertahan.
Alves sebelum ini mungkin pernah bermain di posisi ala-ala pemain tengah di mana dia pernah bergabung tenaga dengan Leo Messi di ruang separa [half space] dalam melakukan serangan di bahagian padang pasukan lawan.
Kini fungsi Alves adalah lebih kepada jeneral di bahagian tengah di mana dia akan tentukan bilakah bola perlu dimainkan ke bahagian sayap, bila bola perlu dimainkan di kawasan sendiri dan bila hantaran ke dalam kotak penalti perlu dilakukan.
Berbeza pula dengan Alba di mana dia tidak berapa biasa bermain di tengah, tetapi dia memberikan kombinasi permainan bersama Ferran Torres di sebelah kiri padang dan dilihat sangat serasi dalam melakukan hantaran dari ruang separa.
Paling utama dalam bek sisi versi Xavi ini adalah bukan hantaran mereka, tetapi bertahan secara berehat [rest defence] – satu terma di mana pemain berada ketika pasukan mengasaui bola.
Jika bermain seperti bek sisi tradisional, Alba dan Alves mungkin akan terperangkap dengan kepantasan pemain sayap dalam serangan balas, namun kedua-dua pemain ini akan lebih banyak tunggu di bawah dan menghidu dari mana datangnya bahaya lalu mematikan ancaman tersebut dengan efektif.
Situasi 1v1 di Bahagian Sayap
Ketika dipersembahkan kepada media pada hari perlatikannya, Xavi secara terbuka mengatakan; “Kau akan tengok pemain sayap,” janjinya.
“Aku nak main dengan pemain sayap yang buka,” ujarnya lagi.
Akan tetapi, dia menghadapi satu masalah ketika itu – tiada pemain sayap. Ousmane Dembele dan Ansu Fati lebih banyak menghabiskan masa di meja rawatan manakala Memphis Depay pula lebih natural sebagai inside forward. Dengan pilihan terhad, Xavi memilih untuk menaikkan pemain daripada pasukan feeder, Abde Ezzalzouli, yang dilihat mempunyai kemampuan untuk memalukan pertahanan lawan.
Dengan skill yang padu, dia mampu menggelecek pemain lawan tetapi apa yang berlaku selepas itu jarang membuahkan hasil.
This Abde carry lasted 16 seconds, entered Osasuna's penalty area three different times, dribbled four guys, made two fall down, and somehow ended in nothing. pic.twitter.com/1PspdX6Gpe
— John Muller (@johnspacemuller) December 12, 2021
Peluang diberikan kepada Abde ini hanya sementara apabila Xavi bertindak membawa pulang produk akademi La Masia, Adama Traore – pemain yang bagus dalam situasi satu lawan satu meskipun mempunyai masalah dalam membuat keputusan [decision making].
Kemasukan bekas pemain Wolverhampton Wanderers ini telah membuahkan hasil lebih daripada yang dijangka. Ketika bermain menentang pasukan yang menggunakan taktik bertahan dan parking bas seperti mana yang dilakukan Pulau Pinang ketika menentang Johor, Xavi mengambil langkah memperhalusi taktik pasukannya dan berbanding mengeluh tentang corak permainan pasukan lawan, dan di sinilah fungsi Adama Traore dapat dilihat.
Most carries into the opp. penalty area in the #UEL this season:
🥇 Adama Traore (18)
🥈 Moussa Diaby (17)
🥉 Harvey Barnes (16)He’s only played 3 games… 😂⚡️ pic.twitter.com/kDmdjha4zM
— Statman Dave (@StatmanDave) March 17, 2022
Pemain lawan ditarik keluar di sebelah kiri padang menerusi permainan hantaran pendek dan kemudiannya bola dialihkan kepada Traore yang berada di sebelah kanan dan hanya berdepan seorang pemain lawan sahaja.
Ousmane Dembele has been reborn at Barcelona 🤩 pic.twitter.com/4OJzfDE6jq
— GOAL (@goal) March 20, 2022
Traore kemudiannya mampu melakukan gerakan seperti melakukan hantaran ke dalam kotak penalti, atau menggelecek pertahanan lawan. Apabila Dembele sudah bosan berada di meja rawatan dan diturunkan ke padang, taktik ini menjadi lebih efektik dan mampu menghasillkan gol sepertimana yang dapat dilihat ketika Aubameyang menanduk bola di celah-celah dua pertahanan Real Madrid.
Pun begitu, Traore tetap menjadi watak penting dalam menarik pemain lawan keluar dari posisi di bahagian sayap.
Transisi Permainan Yang Lebih Pantas
Satu cabaran utama dalam sistem permainan 4-3-3 seperti yang diamalkan oleh Xavi ini adalah gaya permainan mereka dapat dijangka oleh pihak lawan. Barca mempunyai ramai pemain kreatif seperti Pedri, Busquets dan Dembele tetapi sekarang ini apa yang mereka risaukan adalah mempraktikkan corak serangan seperti mana yang dimahukan oleh jurulatih.
Elemen kejutan Barcelona hadir dari segi transisi permainan di mana mereka dilihat lebih aggresif ketika menguasai atau tanpa bola di bawah kendalian Xavi. Sebahagian daripada detik yang paling mengujakan mereka adalah serangan balas yang sangat pantas yang diketuai oleh Aubameyang atau Traore, dan juga high pressing daripada Busquets.
Eight appearances as starter. Eight goals scored. Joined the club on a free transfer, on Deadline Day. 🇬🇦 #FCB
Xavi on January 31 told him: “I’m sure you can become key player for us, immediately”.
Pierre-Emerick Aubameyang and Barcelona, incredible impact. pic.twitter.com/E0jSVihFuy
— Fabrizio Romano (@FabrizioRomano) March 20, 2022
Bentuk struktur serangan 2-3-5 Xavi sangatlah berkeasn dalam meletakkan pemain di posisi terbaik untuk memenangi bola semula selepas kehilangannya. Yang bahayanya, empat daripada lima pemain pertahanan boleh dikatakan sudah berusia dan tidak mempunyai kelajuan yang padan untuk menyaingi pemain lawan yang pantas.
Walaubagaimanapun, pemain tengah sering memberikan bantuan dengan pantas dan mampu menenangkan keadaan bila mana pemain pertahanan terlepas seorang atau dua pemain lawan.
Apabila mereka memenangi semula bola, kita tahu apa yang akan terjadi.
Corak permainan Barcelona di bawah Xavi ini boleh dikatakan membawa kita kembali ke era di mana kelab Catalan ini menguasai La Liga dan pentas Eropah. Musim ini mereka mungkin akan hanya mampu menjulang Liga Europa namun musim depan, kita mungkin akan saksikan dominasi Barcelona sepertimana yang pernah berlaku suatu ketika dahulu.
Sumber : The Athletic