Bahagian 1: Nico Gonzalez Sertai Manchester City – Kecewa atau Keuntungan untuk Barcelona?
Nico Gonzalez berpindah ke Manchester City dari Porto dan ia menjadi satu berita yang membawa perasaan bercampur-baur kepada penyokong Barcelona.
Barcelona menerima sekitar €21 juta daripada perpindahan ini, satu keuntungan yang tidak dijangka dalam situasi kewangan kelab yang sukar. Jumlah ini merangkumi klausa jualan yang telah dirunding sebelum ini, bayaran tambahan daripada Porto serta €8.5 juta yang Porto bayar untuk mendapatkan Nico pada tahun 2023.
Namun di pihak lain, peminat Barca sedih melihat seorang pemain lulusan La Masia kini berpeluang berkembang di bawah bimbingan Pep Guardiola di City. Nico sebelum ini dianggap sebagai salah satu bakat terbaik yang dihasilkan oleh akademi itu sejak sedekad terakhir. Nico juga pernah dilihat sebagai pengganti Sergio Busquets. Walaupun dia berjaya menembusi pasukan utama pada usia 19 tahun, dia akhirnya memilih untuk meninggalkan kelab selepas peluangnya agak terhad.
Jadi, mengapa Barcelona membiarkan Nico pergi? Dan adakah perpindahannya ke City mencerminkan strategi baharu kelab terhadap pemain akademi yang tidak mendapat tempat dalam skuad utama?
Bahagian 2: Perjalanan Awal Nico di Barcelona
Nico menyertai akademi Barcelona pada tahun 2013 dari kelab Montaneros di Galicia, Sepanyol. Ketika berusia 11 tahun, dia merupakan sebahagian daripada generasi berbakat La Masia. Pemain lain dalam generasinya termasuk Ansu Fati dan Eric Garcia serta Takefusa Kubo (kini di Real Sociedad) dan Arnau Tenas (penjaga gol PSG).
Walaupun setahun lebih muda daripada mereka, Barcelona percaya Nico sudah cukup matang untuk bersaing dengan kumpulan umur yang lebih tinggi. Kehadirannya di akademi mendapat perhatian ramai, salah satu faktor lain kerana bapanya Fran Gonzalez.
Fran merupakan legenda bola sepak Sepanyol dan pemain paling berpengaruh dalam sejarah Deportivo La Coruna. Dia mengetuai pasukan yang dikenali sebagai “Super Depor” dan pernah membantu mereka mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara pada tahun 2004.
Namun, Nico bukan sekadar menumpang nama bapanya. Dia menunjukkan bakatnya sebagai pemain defensive midfielder dan attacking midfielder, dikenali kerana teknik serta kebijaksanaan taktikalnya.
Semasa di La Masia, banyak kelab Eropah cuba memikatnya dengan tawaran lumayan dan laluan lebih cepat ke pasukan utama. Ia termasuk Manchester City. Tetapi Nico memilih untuk kekal di Barcelona.
Bahagian 3: Naik Turun Karier Nico di Barcelona
Pada usia 17 tahun, Nico dinaikkan ke Barcelona Atletic, pasukan simpanan kelab yang beraksi di liga bawahan Sepanyol. Jurulatih di La Masia mula berbincang tentang peranan terbaik untuknya.
Franc Artiga, bekas jurulatih La Masia berkata Nico sering dilihat sebagai pewaris Busquets. Namun dia menegaskan setiap pemain mempunyai keunikan sendiri dan tidak boleh dibandingkan secara terus dengan legenda kelab.
Pada musim 2021-22, Barcelona di bawah kendalian Ronald Koeman mengalami krisis kecederaan. Ia menyebabkan Nico dan Gavi dinaikkan ke pasukan utama. Nico membuat debut La Liga pada usia 19 tahun dan mendapat kepercayaan Koeman.
Namun, apabila Koeman dipecat dan digantikan oleh Xavi, kedudukan Nico mula goyah. Walaupun pada awalnya dia mendapat peluang, masa permainannya semakin berkurangan kerana Xavi lebih memilih Pedri, Gavi dan Frenkie de Jong di bahagian tengah.
Pada musim berikutnya (2022-23), Barcelona meminjamkan Nico ke Valencia untuk memberinya lebih banyak peluang bermain. Tetapi keadaannya tidak berjalan lancar. Valencia bergelut dengan masalah pengurusan dan hampir tersingkir dari La Liga, manakala Nico pula mengalami kecederaan kaki yang telah menjejaskan musimnya.
Apabila kembali ke Barcelona pada 2023, Busquets telah meninggalkan kelab. Namun, Xavi masih tidak melihat Nico sebagai pemain defensive midfielder yang diinginkan. Sebaliknya, Barcelona menandatangani Oriol Romeu dari Girona.
Tidak mahu dipinjamkan lagi, Nico memilih untuk berpindah secara tetap ke Porto. Barcelona memastikan mereka masih boleh mendapat keuntungan dengan memasukkan klausa jualan dalam perjanjian itu.
Bahagian 4: Perkembangan di Porto dan Perpindahan ke Manchester City
Perjalanan Nico di Porto tidak bermula dengan baik. Dia mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan sistem jurulatih Sergio Conceicao dan mengalami kecederaan lagi. Porto bahkan mempertimbangkan untuk menjualnya pada Januari tahun lalu.
Girona, yang dimiliki oleh City Football Group berminat untuk mendapatkan Nico. Tetapi ketika Porto mengalami masalah kecederaan di bahagian tengah, dia mendapat peluang bermain dan akhirnya membuktikan kemampuannya.
Nico membuat 68 penampilan bersama Porto dan akhirnya menarik perhatian Manchester City. Perpindahan ini juga mempunyai kaitan unik dengan bapanya. Fran pernah bekerja dengan City selama 2 tahun sebagai jurulatih akademi selepas bermain bersama Txiki Begiristain dan Pep Guardiola untuk Sepanyol.
Bekas jurulatih La Masia, Artiga berpendapat perpindahan ini memberi peluang terbaik kepada Nico untuk mencapai potensinya.
Bahagian 5: Barcelona dan Polisi Baharu Terhadap Pemain Akademi
Barcelona terkejut apabila mengetahui perbincangan perpindahan Nico ke City berjalan pantas pada akhir jendela perpindahan. Walaupun mereka menerima wang daripada perpindahan ini, jumlahnya kurang daripada jangkaan mereka.
Pada asalnya, mereka mempunyai klausa pembelian balik €30 juta tetapi Porto menggunakan klausa lain yang membolehkan mereka membayar Barcelona €3 juta untuk menghapuskan klausa tersebut. Akibatnya, Barcelona hanya memperoleh sekitar €21 juta, bukannya €30 juta yang sepatutnya.
Namun, pegawai kelab tetap berpuas hati kerana Barcelona jarang mendapat keuntungan besar daripada penjualan pemain La Masia.
Sejak menjadi pengarah sukan pada 2023, Deco membenarkan pemain akademi yang tidak mendapat tempat dalam pasukan utama untuk meninggalkan kelab tetapi dengan syarat ada klausa jualan dan pembelian semula.
Sebagai contoh, Chadi Riad yang dijual ke Crystal Palace, masih mempunyai klausa jualan 50% dalam kontraknya. Begitu juga dengan Oscar Mingueza (Celta Vigo) dan Mika Marmol (Las Palmas).
Walaupun Nico tidak mencapai kejayaan di Barcelona seperti yang diimpikan, perpindahannya ke City mungkin memberi manfaat kepada semua pihak. Siapa tahu, mungkin dalam beberapa tahun lagi, Barcelona akan mahu membawanya kembali – jika mereka mampu membayar harganya.