Untuk Mengejar Bintang Brazil, Man City Terpaksa Menjual Bernardo Kepada Barca

Manchester City dilaporkan telah menawarkan Bernardo Silva kepada Barcelona dengan yuran perpindahan bernilai £67 juta, dalam usaha mereka mahu mendapatkan dana tambahan bagi membeli bintang Brazil.

The Citizens sangat berminat mahu mendapatkan Lucas Paqueta dari Lyon dan untuk menandatangani pemain tersebut mereka perlu mendapatkan dana tambahan.

Bernardo Silva merupakan antara pemain City yang paling menyerlah pada musim lalu dengan beliau turut dianggap sebagai nadi utama skuad yang membantu The Citizens menjuarai saingan Premier League.

Bintang Portugal itu hangat dikaitkan dengan bakal melengkapkan perpindahan meninggalkan Etihad pada jendela perpindahan musim panas ini.

Selain Barcelona, Paris Saint Germain sendiri turut sangat berminat mahu mendapatkan pemain midfield itu pada musim panas ini.

Laporan sebelum ini telah mendedahkan yang pengurus Man City, Pep Guardiola tidak sanggup melepaskan Bernardo Silva pada jendela perpindahan musim panas ini.

Hal itu berkemungkinan kerana Man City pada ketika ini sudah kehilangan Raheem Sterling, Gabriel Jesus, dan Oleksandr Zinchenko pada musim panas ini dan kerana itu mereka tak sanggup kehilangan pemain lain.

Walau bagaimanapun, Juara saingan Premier League itu kini dikatakan sudah mengubah pendirian mereka, dengan mereka dikatakan sedang mempertimbangkan untuk menjual bintang Portugal itu.

Namun begitu, Manchester City dikatakan hanya akan melepaskan Bernardo Silva seandainya tawaran yang mereka terima setimpal dengan apa yang mereka harapkan.

Media penerbitan, L’Equipe mendakwa yang City sendiri turut sudah menawarkan Silva kepada Barcelona, dengan mereka meletakkan tanda harga bernilai £67 juta untuk bintang Portugal itu.

Laporan sama turut mendakwa yang Man City kini sedang sangat berminat untuk mendapatkan khidmat bintang Lyon, Paqueta.

Pemain kebangsaan Brazil itu berjaya menjaringkan 20 gol dari 70 penampilan untuk Lyon sejak dari awal beliau menyertai kelab dari AC Milan pada tahun 2020 yang lalu.

Paqueta juga turut sudah membuat 33 penampilan untuk skuad kebangsaan Brazil dan turut berjaya menjaringkan tujuh gol sepanjang tempoh tersebut.

Arsenal dan Newcastle United turut dikaitkan dengan pemain attacking midfielder itu dengan Lyon meletakkan tanda harga bernilai £68 juta untuk Paqueta.

City berkemungkinan akan memulakan usaha mereka untuk mendapatkan pemain kebangsaan Brazil itu pada musim panas ini seandainya Barca bersetuju untuk membeli Silva.

Sehingga kini masih tidak jelas sama ada Barcelona akan mampu atau tidak untuk membayar yuran perpindahan yang diminta oleh Manchester City untuk melepaskan Bernardo Silva.

Masalah kewangan jelas sekali akan menyukarkan Barcelona untuk mendapatkan khidmat Bernardo Silva apa lagi selepas melihat mereka menandatangani Franck Kessie dan Andreas Christensen pada awal jendela perpindahan dibuka.

Ditambah pula dengan mereka pada ketika ini mengeluarkan dana yang besar untuk membeli Robert Lewandowski, Raphinha dan Jules Kounde, maka sepertinya sukar untuk Barca mengeluarkan dana tambahan lagi untuk mendapatkan Silva.

Barcelona hanya berjaya menandatangani pemain-pemain tersebut selepas menjual 15 peratus dari hak penyiaran TV mereka kepada syarikat global Sixth Street dengan dana bernilai £268.5 juta.

Walau bagaimanapun, seandainya Barcelona mahu mendapatkan Bernardo Silva, mereka sepertinya perlu menjual Frenkie de Jong.

Manchester United masih kekal sebagai kelab yang sangat berminat mahu mendapatkan khidmat pemain kebangsaan Belanda itu.

Skuad setan merah itu bahkan turut sanggup mengeluarkan dana bernilai £63 juta untuk mendapatkan De Jong dari Barcelona.

Walaupun kedua-dua pihak sudah menyatakan persetujuan masing-masing untuk menamatkan rundingan tersebut, namun malangnya De Jong sendiri pula menolak untuk meninggalkan Nou Camp dan pergi ke Old Trafford.

Sehingga hari ini, masih tidak jelas tentang masa depan De Jong dan sepertinya beliau tidak mungkin akan berpindah ke Old Trafford dan akan terus kekal bersama Barcelona pada musim baharu nanti.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Klopp Samakan Liverpool Dengan 'Rocky Balboa', Akui Pasukannya Masih Lagi Underdog