Guardiola Mungkin Turunkan Skuad Lebih Lemah Bagi Pertemuan Menentang Manchester United

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola dilaporkan telah memberitahu para pemainnya yang beliau mungkin akan merehatkan beberapa pemain utama bagi derby Manchester hujung minggu ini.

Bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich ini telah memberitahu beberapa pemain bintangnya yang mereka tidak akan turut serta dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Manchester United hujung minggu ini di stadium Etihad.

Skuad lemah City pon belum tentu MU boleh makan

Sekiranya The Citizens berjaya menumpaskan United dalam perlawanan tersebut, mereka akan dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris musim ini walaupun masih mempunyai 6 baki perlawanan.

Guardiola memilih untuk mengutamakan pertemuan getir menentang Liverpool dalam peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah. Perlawanan pertama bakal berlangsung di Anfield awal pagi Khamis nanti disusuli dengan Manchester derby beberapa hari kemudian.

Guardiola berharap dengan menurunkan skuad yang lebih lemah menentang Manchester United, pemainnya akan lebih cergas untuk menghadapi Liverpool dalam perlawanan timbal balik di gelanggang sendiri pada pertengahan minggu hadapan.

Guardiola mengambil keputusan ini selepas pasukannya mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Everton hujung minggu lalu dan semakin hampir untuk muncul juara liga.

Silva antara calon utama untuk direhatkan menentang Manchester United

Guardiola turut berkata keputusan beliau untuk 10 hari yang akan datang adalah semata-mata untuk memastikan pemainnya berada di tahap yang terbaik bagi dua perlawanan menentang Liverpool.

Dalam sesi latihan pagi Isnin menjelang pertemuan menentang Liverpool Khamis nanti, Guardiola telah menyampaikan mesej tersebut kepada seluruh pasukan dan mahu semua pemain memberikan fokus sepenuhnya sepanjang 180 minit perlawanan menentang Liverpool.

Sumber yang dekat dengan Guardiola memberitahu pengurus berasal dari Wilayah Catalan ini terdesak untuk membawa City melangkah ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara musim ini.

Beliau juga dilaporkan bersedia untuk merehatkan beberapa pemain utama untuk pertemuan menentang United bagi memastikan mereka cergas untuk bermain menentang Liverpool minggu hadapan.

Walaupun demikian, beliau mungkin mengubah keputusannya sekiranya Manchester City mampu membawa pulang bekalan yang selesa dari Anfield, tetapi ia agak sukar untuk berlaku memandangkan prestasi semasa yang ditunjukkan anak buah Jurgen Klopp ketika ini.

Ketika bercakap kepada sidang media selepas pasukannya mencatatkan kemenangan di Goodison Park, Guardiola berkata keputusannya untuk menurunkan skuad yang lebih lemah menentang Manchester United hujung minggu ini tidak bermakna mereka akan tewas.

Sorry JM. Liverpool lebih penting

“Sudah tentu saya mahukan kemenangan menentang Manchester United di gelanggang sendiri tetapi 3 hari sebelum itu kami bertemu Liverpool. Dan 3 hari selepas bertemu United, kami akan bertemu Liverpool sekali lagi. Jadi kami hanya mempunyai beberapa hari sahaja untuk sesi pemulihan sebelum perlawanan timbal balik.”

“Anda harus menggunakan keseluruhan pemain yang ada dalam skuad, tetapi itu tidak bermakna pemain yang diturunkan tidak mahu mencatatkan kemenangan.”

“Kedudukan semasa kami dalam Liga Perdana Inggeris ketika ini adalah disebabkan semua pemain telah memberikan sumbangan masing-masing. Perkara ini sudah dijangka akan berlaku.”

“Tetapi, saya mahu meminta maaf lebih awal kerana dalam kepala saya ketika ini hanya ada Liverpool sahaja.”

BACA:  Emre Can Sertai Juventus Dengan Kontrak 4 Tahun