Pep Sedia Buka Pintu Andai Sterling Mahu Meninggalkan City

Pep Guardiola telah membuka pintu yang luas untuk Raheem Sterling pergi meninggalkan kelab dengan beliau mengakui hal tersebut secara terang-terangan baru-baru ini.

Bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu menegaskan yang beliau tidak boleh menjanjikan minit permainan untuk pemain kebangsaan England itu.

Sterling pada musim ini hanya dua kali sahaja berada dalam kesebelasan utama Manchester City, dengan Phil Foden dan Jack Grealish lebih menjadi pilihan utama Pep Guardiola.

Pemain kebangsaan England itu sendiri turut menyatakan yang beliau berminat untuk berhijrah menyertai pasukan lain, dalam usahanya untuk mendapat minit permainan yang mencukupi.

Guardiola telah ditanya tentang komen Sterling dalam sidang medianya dengan pengurus City itu turut menjelaskan tentang situasi yang berlaku pada ketika ini.

Pengurus Manchester City itu menyatakan bahawa:

“Raheem merupakan pemain kami dan sangat diharapkan untuk dia menjadi pemain paling penting untuk kami semua.”

“Segelintir pemain mahu terus bermain sepanjang masa, tapi saya tak boleh jamin hal itu untuk mereka. Mereka semua selalu bercakap tentang hal itu di padang latihan. Bukan hanya Raheem, semua mereka.”

“Apa yang saya mahu dari Raheem dan semua orang adalah kebahagiaan dan kegembiraan mereka.”

“Jika ia menjadi masalah, mereka bebas untuk buat keputusan terbaik untuk mereka dan keluarga mereka. Ini merupakan hal yang terpenting.”

Ketika ditanya tentang meletakkan dirinya sendiri dibangku simpanan andai beliau seorang pemain, Guardiola menjawab sambil bergurau:

“Saya seorang pemain yang sangat menakjubkan. Saya tak pernah diletakkan di bangku simpanan ketika saya seorang pemain.”

“Saya minta maaf, saya tak boleh jawab soalan ini.”

Guardiola turut mendedahkan yang pemain penyerang, Ferran Torres akan terpaksa diketepikan selama hampir tiga bulan.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu mengalami kecederaan agak serious ketika sedang menjalani tugasan bersama skuad kebangsaannya pada minggu lalu.

Guardiola menyatakan bahawa:

“Torres akan terpaksa diketepikan selama dua bulan setengah hingga ke tiga bulan.”

Terdapat dakwaan yang menyatakan bahawa Ferran Torres mengalami kecederaan ketika aksi peringkat separuh akhir saingan Nations League bertemu Itali.

Walau bagaimanapun, beliau masih tetap diturunkan ketika aksi bertemu Perancis dalam perlawanan akhir, maka andaian yang mengatakan beliau mengalami kecederaan itu ketika aksi bertemu Itali adalah tidak benar.

Guardiola sementara itu langsung tiada masalah atau pertikaian tentang bagaimana skuad kebangsaan Sepanyol menguruskan pemainnya itu.

“Kecederaan boleh berlaku di sini, di rumah, bersama skuad kebangsaan. Ia berlaku. Saya kenal pengurus pasukan Sepanyol, dia melayan Ferran sebaik yang beliau mampu.”

“Dia sendiri tidak mahu Ferran dibelenggu masalah kecederaan. Dia cuba untuk jaga namun kadang kala ia berlaku.”

Manchester City selepas ini bakal beraksi bertemu Club Brugge dalam aksi saingan Champions League, sebelum bertemu Brighton and Hove Albion dalam saingan Premier League.

Sumber: talkSPORT

BACA:  CEO Arsenal Mahu Mikel Arteta Ganti Tempat Arsene Wenger