EPL: Villa Pintas Kedudukan Man City Dan Lanjutkan Derita Guardiola

Percubaan Leon Bailey yang terbias sebelum menerjah jaring cukup untuk memberikan kemenangan 1-0 untuk Aston Villa menewaskan Manchester City di dalam saingan Premier League pada awal pagi tadi.

Keputusan tersebut juga bermakna skuad kendalian Guardiola kini masih ternanti-nantikan kemenangan pertama mereka sejak membelasah Bournemouth 6-1 pada 4 November lalu.

Sejak daripada itu, City merekodkan tiga keputusan seri dan kekalahan kepada Villa adalah yang ketiga buat juara treble musim lalu itu.

Ini adalah kali pertama dalam tempoh tujuh tahun gagal merekodkan kemenangan dalam empat perlawanan berturut-turut.

City jelas pincang tanpa khidmat Rodri yang menjalani pergantungan, tetapi tiada siapa dapat menafikan mengenai kualiti Villa di bawah kendalian Unai Emery pada musim ini.

Villa jelas tidak gentar ketika melakukan gerakan untuk menyerang, dan memaksa Ederson melakukan dua aksi menyelamat pada babak awal permainan daripada percubaan Pau Torres dan Bailey.

Di hadapan gawang Villa, Emi Martinez turut bertindak hebat menafikan dua percubaan Erling Haaland secara berturut-turut.

Ada ketikanya City seperti hilang punca, dan Villa akhirnya berjaya membocori gawang pasukan pelawat 16 minit sebelum perlawanan tamat apabila percubaan Bailey terbias daripada Ruben Dias sebelum bola melambung menewaskan Ederson.

Villa kini merekodkan 14 kemenangan beturut-turut di tempat sendiri di Premier League, memintas Sang Juara untuk berada di kedudukan ketiga.

Malang buat City, mereka kini ketinggalan enam mata di belakang pendahulu Arsenal dan terpaksa menduduki tempat keempat – senario yang jarang kita lihat sejak beberapa tahun lalu.

BACA:  Premier League 2020/21: Liverpool 2-1 Aston Villa