“Dia Tak Pernah Menang Premier League Pun” – Carragher Tembak Balik Monolog Guardiola Yang Menghina

Jamie Carragher membalas komen Pep Guardiola yang meroyan di sidang media dan menyindir dirinya yang tidak pernah memenangi Premier League

Guardiola seperti bermonolog selama enam minit setengah pada Selasa lalul, mempertahankan barisan pemainnya yang dipercayainya akan mencipta sejarah pada musim ini di sebalik dakwaan salah laku kewangan yang dihadapi kelab itu.

Dan jurulatih dari Sepanyol itu mensasarkan Carragher, Micah Richards dan Gary Neville– 3 pundit SkySports — yang didakwanya menyimpan rasa tidak puas hati dan cemburu selepas kejayaan treble yang diraih City pada musim lalu.

“Gary Neville sepatutnya tahu betapa sukarnya untuk memenangi empat kejuaraan Premier League secara berturut-turut. Jika tidak dia sudah melakukannya ketika Man Utd berada di tahap terbaik mereka sebelum ini,” kata Guardiola.

“Tetapi dia gagal melakukannya. Mungkin kerana mereka mendakwa kami terlalu leka dengan kejayaan kerana mereka rasa tidak selamat (di united).

“Mereka merasakannya kerana pasukan United pada hari ini langsung tidak mempunyai peluang.

“Jamie Carragher pula tidak pernah memenangi satu kejuaraan pun. Micah Richards juga tidak menang kejuaraan Premier League empat kali berturut-turut. Perkara ini tidak pernah berlaku.

Komen tersebut pantas dibalas oleh Carragher melalui media sosial dan berkata dia dan Liverpool pasti sudah lama bergelar juara dan tidak kemarau 30 tahun sekiranya berada di posisi seperti City.

Melalui X, Carragher berkata: “Saya berpendapat saya mungkin sudah menang kejuaraan [Premier League] jika Liverpool juga dimiliki oleh sebuah negara, dan melanggar peraturan sehingga Premier League memberikan 115 dakwaan kepada kami!

“Saya sebenarnya memuji skuad Pep selepas perlawanan pada Ahad lalu.” Carragher mengakhiri hantaran itu dengan emoji ketawa.

Pihak Premier League mendakwa City dengan 115 pendakwaan kerana melanggar peraturan kewangan pertandingan pada Februari lalu selepas siasatan dilakukan sejak 2018.

Sebutan kes tersebut telah dipersetujui akan dilakukan pada pertengahan 2024, dan perbicaraan akan dijalankan oleh sebuah panel bebas. Ini menjadikan kes tersebut sebagai yang terbesar di dalam sejarah bola sepak.

Mereka yang mahir dalam kes seperti ini percaya keputusan akhir kes ini akan berpanjangan pada musim hadapan – pada ketika kontrak Pep Guardiola di Etihad akan berakhir.

BACA:  Eddie Howe Cuba belajar Dari Pep Guardiola Tetapi Dia Masih Belum Mampu Menewaskannya