Barcelona Terpaksa Menunggu Lebih Lama Untuk Melihat Aksi Coutinho

Barcelona mengesahkan pemain termahal dalam sejarah kelab, Philippe Coutinho mengalami kecederaan paha dan terpaksa berehat sekurang-kurangnya 3 minggu.

Ini bermakna peminat Barcelona terpaksa menunggu lebih lama untuk melihat pemain baru mereka itu melakukan debut dan mempamerkan aksi di atas padang bersama barisan pemain bintang yang lain.

Kenangan silam

Coutinho menyertai Barcelona dari Liverpool dengan yuran perpindahan ke-3 termahal dalam sejarah bolasepak bernilai €160 juta, di belakang Neymar dan Kylian Mbappe yang masing-masing dibeli oleh Paris Saint-Germain musim panas lalu.

Berita kecederaan Coutinho diumumkan kepada pemberita ketika pemain antarabangsa Brazil ini dipersembahkan kepada peminat di Nou Camp awal pagi tadi.

Coutinho menjalani pemeriksaan perubatan kelmarin bersama pasukan perubatan Barcelona dan mereka mengesahkan pemain Coutinho terpaksa berehat 3 minggu sebelum boleh menjalani latihan bersama pasukan. Beliau terlepas perlawanan terakhirnya dengan Liverpool ketika menentang Everton hujung minggu lalu kerana kecederaan ini.

Jangan menitiskan airmata wahai peminat The Kop

Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Barcelona berkenaan tempoh kecederaan Coutinho, pemain ini bakal terlepas pertembungan Copa Del Rey menentang Celta Vigo Khamis ini, termasuk dua perlawanan timbal balik selepas itu jika mereka mara ke peringkat seterusnya. Coutinho juga mungkin terlepas dua perlawanan La Liga di tempat lawan menentang Real Sociedad dan Real Betis.

Perlawanan menentang Alaves di Nou Camp selepas itu mungkin datang terlalu awal buat Coutinho, jadi peminat mungkin terpaksa menunggu sehingga 4 Februari ini dimana Barcelona bakal menentang Espanyol untuk melihat pemain ini melakukan debut rasminya.

Musim ini menyaksikan Coutinho berjaya 7 gol dalam 14 perlawanan Liga Perdana Inggeris yang disertainya. Beliau juga meraih 7 bantuan gol tetapi angka tersebut mungkin lebih tinggi andainya beliau tidak mengalami kecederaan pada awal musim ini.

Coutinho mengalami 3 kecederaan yang berasingan dalam 6 bulan pertama musim ini, dimana kecederaan di bahagian belakang memaksa beliau terlepas semua perlawanan pada bulan Ogos. Pada masa yang sama, Barcelona turut menunjukkan minat yang serius untuk mendapatkan Coutinho bagi menggantikan tempat Neymar yang baru sahaja berpindah.

Walaupun peminat kecewa dengan berita kecederaan Coutinho ini, kekecewaan mereka mungkin sedikit terubat dengan berita bekas pemain Dortmund yang dibawa masuk musim panas lalu, Ousmane Dembele sudah mula menjalani latihan berikutan kecederaan hamstring yang dialaminya beberapa bulan yang lalu.

BACA:  Premier League 2020/21: Arsenal 0-3 Liverpool