Carragher: Salah Adalah Jelmaan Ronaldo, Bukan Messi

Bekas pemain Liverpool, Jamie Carragher menganggap permainan Mohamed Salah lebih mirip kepada Cristiano Ronaldo, walaupun Salah sebelum ini kerap dibandingkan dengan Lionel Messi.

Prestasi menakjubkan ditampilkan Salah bersama The Reds musim ini telah meletakkan beliau dalam kedudukan yang hampir sama dengan dua ikon bolasepak hari ini iaitu Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Rupa parasmu mengingatkan aku kepada Ronaldo, ujar Carragher

Liverpool memecahkan rekod pembelian pemain mereka ketika itu untuk membawa pulang bekas pemain Chelsea ini ke England dari AS Roma pada musim panas lalu, dan ternyata ia adalah satu tindakan yang amat berbaloi.

Jurgen Klopp bersetuju untuk membayar £36.9 juta kepada Roma dan ia merupakan nilai perpindahan tertinggi yang pernah dibayar Liverpool ketika itu.

Walaubagaimanapun, nilai tersebut telah dipintas oleh Virgil van Dijk yang menyertai Liverpool pada Januari lalu dengan yuran perpindahan sekitar £75 juta menjadikan bekas pemain Southampton ini pemain pertahanan termahal dunia.

Kepercayaan Klopp terhadap Salah jelas membuahkan hasil apabila pemain antarabangsa Egypt ini telah menjaringkan 31 gol dalam semua pertandingan setakat musim ini.

Kedua-dua pemain ini laparkan gol

Pergerakan Salah yang licik dan keupayaan beliau menjaringkan gol di dalam kotak penalti telah mewujudkan perbandingan di antara beliau dan Lionel Messi.

Walaupun demikian, Carragher mempunyai pendapat yang lain dalam perkara ini dimana beliau mendakwa corak permainan Salah lebih menyerupai Cristiano Ronaldo berbanding Messi.

“Cristiano Ronaldo merupakan contoh terbaik bagaimana peranan penyerang tepi telah berubah. Apabila Ronaldo mula-mula menyertai Manchester United, beliau bermain dekat dengan bahagian sayap padang dan sering melakukan tipu helah untuk mengelirukan pemain pertahanan pihak lawan.”

“Sekarang Ronaldo adalah pemain yang berbeza – beliau adalah penjaring gol dan bukan lagi yang memberikan gol. Ronaldo akan berasa kecewa jika beliau meninggalkan padang tanpa menjaringkan gol.”

“Ronaldo tidak mahu lagi melakukan tipu helah dibahagian sayap kerana beliau tidak boleh melakukan rembatan ke arah gol pada kedudukan tersebut. Ronaldo lebih suka untuk masuk ke dalam dan berada dalam kotak penalti untuk menambahkan jumlah jaringan beliau.”

“Sebab itulah walaupun terdapat perbandingan di antara corak permainan Salah dan Messi, penyerang Liverpool ini lebih mirip kepada Ronaldo. Sudah tentu Salah belum lagi berada di tahap Messi dan Ronaldo.”

Ini hanya khayalan peminat Liverpool, sama seperti mereka berkhayal memenangi Liga Perdana Inggeris

“Messi suka turun ke bawah untuk mendapatkan bola dan terlibat dalam proses untuk menjaringkan gol. Itu bukan cara Salah. Salah mempunyai mindset seorang penyerang yang prolifik dan ia terbukti apabila beliau kecewa dikeluarkan pada lewat permainan kerana mahu lebih banyak gol.”

Prestasi Salah musim ini juga telah meletakkan beliau dalam kedudukan terbaik untuk merangkul anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA dan Carragher percaya Salah dan Kevin De Bruyne mempunyai peluang sama rata untuk merangkul anugerah berprestij tersebut.

“Jika kamu bertanya kepada saya beberapa bulan lalu siapa yang akan menang anugerah tersebut, saya akan kata Kevin De Bruyne. Ditambah pula jurang yang sangat jauh di antara Manchester City dan pasukan-pasukan yang lain.”

“Akan tetapi, semakin saya menilai sumbangan Salah kepada pasukan Liverpool, semakin kuat saya rasa beliau berhak untuk bersaing dengan De Bruyne untuk anugerah tersebut.”

BACA:  Hamann Hentam Mo Salah Kerana Memuat Naik Status Tentang Real Madrid