Hamann Hentam Mo Salah Kerana Memuat Naik Status Tentang Real Madrid

Bekas pemain midfield Liverpool, Didi Hamann tampil menghentam Mohamed Salah kerana memuat naik status tentang Real Madrid selepas Juara saingan La Liga itu layak ke perlawanan akhir saingan Champions League.

Hamann tidak gembira sama sekali dengan tindakan Salah yang memuat naik status tersebut sebaik tamat aksi kekalahan Man City di tangan Real Madrid.

The Reds akan turun berdepan Real Madrid pada 28 Mei nanti dalam aksi perlawanan akhir saingan Champions League.

Ia jelas sekali bakal menjadi misi balas dendam Liverpool selepas kekalahan memalukan mereka di tangan Real Madrid ketika aksi perlawanan akhir saingan Champions League pada tahun 2018 yang lalu.

Liverpool berjaya layak ke perlawanan akhir selepas menewaskan Villarreal dengan keputusan aggregate 5-3 sementara Los Blancos pula mara menerusi keputusan aggregate 6-5 menewaskan The Citizens.

Salah mengakui pada awal minggu ini yang beliau mahu bertemu Real Madrid di pentas perlawanan akhir selepas beliau sebelum ini menderita kecederaan bahu kerana dikasari oleh Ramos pada tahun 2018 yang lalu.

Salah menangis ketika berjalan meninggalkan padang dan beliau tidak mampu untuk menghabiskan aksi dalam perlawanan tersebut.

Pemain kebangsaan Mesir itu jelas sekali sangat kecewa kerana tak mampu membantu skuadnya dan hanya mampu menyaksikan bagaimana The Reds tewas 3-1 dalam perlawanan tersebut.

Sebaik sahaja Real Madrid sah layak ke perlawanan akhir, Salah dengan segera memuat naik status di laman twitter miliknya untuk memberi amaran kepada gergasi La Liga itu.

Tindakan Mo Salah jelas sekali tidak digemari oleh Hamann yang merasakan hal seperti itu patut dibincangkan selepas tamat aksi perlawanan akhir nanti.

Bercakap kepada Sky Sports, beliau mendedahkan bahawa:

“Saya nampak tweet itu dan saya langsung tak suka, saya boleh katakan, apa yang berlaku adalah nasib malang, saya tak pasti sama ada Ramos berniat atau tidak mahu mencederakan dia.”

“Jelas sekali dia (Ramos) menarik Salah dan menjatuhkan dia (Salah), ia agak malang untuk dia keluar meninggalkan padang.”

“Tapi apa yang kita tahu ada satu ke dua kesilapan dari penjaga gol (Loris Karius) yang membantu Real Madrid untuk menang.”

“Saya lebih suka bila pemain kekal diam, mereka boleh bercakap lepas perlawanan. Tapi saya faham dari mana dia datang. Dia cakap sebelum perlawanan yang dia mahu bermain bertemu Madrid, dia dah dapat sekarang jadi mari berharap dia boleh lebih bertenang.”

Salah merupakan salah seorang nadi utama Liverpool dan beliau pada musim ini jelas sekali sedang berada di tahap persembahan terbaiknya.

Mereka pada ketika ini masih lagi berpotensi untuk memenangi gelaran quadruple dan jelas sekali Liverpool mengharapkan agar para pemain mereka terus pamer aksi terbaik.

Mereka bakal menghadapi dua aksi perlawanan akhir dengan The Reds akan turun dalam perlawanan akhir FA Cup dan perlawanan akhir Champions League.

Mereka juga kini hanya satu mata di belakang Manchester City untuk mencabar gelaran liga dengan baki empat perlawanan sahaja lagi.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp sementara itu baru sahaja menandatangani kontrak baru selama dua tahun bersama kelab dengan beliau akan terus mengendalikan The Reds sehingga 2026 nanti.

Liverpool akan kembali beraksi dalam saingan Premier League hujung minggu ini bertemu Tottenham Hotspur dan jelas sekali mereka sangat berharap mahu mengutip tiga mata penuh.

Manchester City sementara itu akan turun berdepan Newcastle United di Etihad dan skuad kendalian Pep Guardiola itu juga jelas sekali mahu memburu tiga mata penuh untuk kekal memimpin carta saingan Premier League.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Mohamed Salah Dedah Tentang Situasi Kontraknya Di Anfield