Al-Ittihad Teruskan Perbincangan, Yakin Salah Mahu Tinggalkan Liverpool

Al Ittihad masih enggan menyerah kalah untuk memancing Mohamed Salah daripada Liverpool menjelang tutupnya jendela perpindahan Saudi Pro League pada hari ini.

Malah gergasi dari Arab Saudi itu yakin Salah turut tertarik dengan tawaran yang diberikan sekali gus meninggalkan Liverpool.

Salah sememangnya adalah sasaran utama Al Ittihad sejak sekian lama dan sudah merancang untuk mendapatkan pemain itu pada 2024.

Usaha itu bagaimanapun mulai dipercepatkan dan Al Ittihad yakin mampu membawa masuk pemain itu pada tahun ini.

Pemain antarabangsa Mesir berusia 31 tahun itu sebelum ini dinafikan lilitan kapten di Liverpool setelah Jordan Henderson menyertai Al Ettifa1 pada Julai lalu.

Laporan 90 min turut melaporkan bagaimana sumber terdekat dengan Salah mengkritik layanan yang diperolehi pemain itu oleh Jurgen Klopp.

Klopp bagaimanapun sangat jelas dengan pendiriannya sejak beberapa minggu lalu – enggan kehilangan khidmat Salah.

Al Ittihad dimiliki oleh Public Investment Fund (PIF) – turut memiliki 3 kelab lain di Saudi Pro League – telah menawarkan bidaan untuk mendesak Liverpool menjual pemain itu sebelum ini.

Walaupun tawaran £150 juta pada bulan lalu ditolak, Al Ittihad kini kembali dengan tawaran £215 juta, angka yang memecah rekod dunia perpindahan Neymar dari Barcelona ke PSG.

Malah delegasi daripada Arab Saudi kini turut berada di London pada Isnin dalam usaha terakhir mempercepatkan proses melengkapkan perpindahan tersebut sebelum jendela perpindahan di Arab Saudi ditutup.

Laporan turut mendedahkan Al Ittihad sanggup membayar £2.45 juta seminggu – tidak termasuk insentif lain – kepada Salah yang akan menjadikan pemain itu sebagai penerima gaji paling mewah di dunia.

Antara insentif lain yang turut berada di dalam senarai bakal diterima Salah sekiranya menyertai Al Ittihad adalah seperti sebahagian peratusan hasil keuntungan penjualan jersi, £55,000 bonus kemenangan di setiap perlawanan, selain menjadi duta kepada tiga syarikat berkaitan kerajaan utama di Arab Saudi.

Peranan menjadi duta akan membenarkan Salah menerima £18 juta bayaran tambahan – ketiga-tiga syarikat bersetuju membayar £6 juta.

BACA:  Penjelasan Disebalik Kenapa Liverpool Tidak Diberikan Sepakan Penalti