Salah Berang Dan Terpaksa Dileraikan Selepas Dikasari Pemain Djibouti

Mohamed Salah terpaksa dileraikan daripada Maussa Hamadou selepas insiden panas dalam kemenangan 6-0 Mesir ke atas Djibouti.

Penyerang sayap berusia 31 tahun itu menjaringkan 16 gol untuk kelab dan negaranya di semua pertandingan musim ini, dan menjaringkan 4 gol untuk skuad kendalian Rui Vitoria untuk Mesir mengumpul tiga mata penuh di perlawanan pembukaan kelayakan Piala Dunia.

Perlawanan tersebut turut menjadikan Salah sebagai penjaring terbanyak Mesir di pusingan kelayakan Piala Dunia.

Namun di sebalik ketajamannya di hadapan gawang, Salah yang biasanya adalah pemain yang sangat tenang hilang kesabarannya dengan pemain pertahanan lawan.

Berdasarkan rakaman video, Salah cuba untuk merampas bola daripada kaki Moussa Hamadou yang cuba menghalang pemain Liverpool itu dengan badannya.

Bola akhirnya keluar dan sepakan gol diberikan kepada Djibouti. Namun sebelum itu kedua-dua pemain kelihatan bergelut secara fizikal antara satu sama lain sehingga di luar garisan gol dan situasi tersebut kemudiannya melarat menjadi panas di antara kedua-duanya.

Kedua-dua pemain kelihatan bersemuka antara satu sama lain sebelum pengadil perlawanan Jelly Chavani masuk campur untuk meleraikannya.

Salah amat jarang memberikan reaksi sedemikian menyebabkan ramai tertanya-tanya apakah yang diperkatakan oleh Hamadou sehingga mencetuskan kemarahan Salah.

“Tidak pernah melihat Salah marah kepada pemain lain sebegitu. Lawannya pasti berkata sesuatu yang gila,” kata seorang pengguna X.

“Anda harus melakukan sesuatu perkara yang aneh untuk mencetuskan reaksi sedemikian daripada Salah,” kata seorang lagi.

Untuk rekod, Salah tidak pernah dilayangkan sebarang kad merah sepanjang kariernya dan setakat ini hanya pernah menerima lapan layangan kad kuning.

BACA:  Alasan Mengapa Mane Memilih Untuk Sertai Bayern Munich