Klopp Berang Salah Layan Tawaran Lumayan Al Ittihad

Usaha kelab-kelab Arab Saudi memperkasakan bola sepak di negara itu dengan mengubah tradisi dunia perpindahan melalui tawaran lumayan kini berada di tahap berbeza.

Ini setelah Al Ittihad mengejutkan ramai dengan tawaran mega untuk memancing bintang Mesir, Mohamed Salah dari Liverpool.

Al Ittihad adalah salah sebuah daripada 4 kelab yang dimiliki oleh Public Investment Fund (PIF, dan sudah pun mendatangkan beberapa bintang utama Eropah seperti Karim Benzema dan N’Golo Kante.

Namun kini kelab itu meletakkan Salah sebagai sasaran utama walaupun percubaan awal untuk mendapatkan pemain itu telah ditolak Liverpool pada peringkat awal jendela perpindahan musim panas ini.

Ejen kepada Salah, Remy Abas sebelum ini menegaskan melalui media sosial mengenai masa depan pemain itu di Liverpool.

“Jika kami [Salah] merancang untuk meninggalkan LFC pada tahun ini, maka kami tidak akan memperbaharui kontrak pada musim panas lalu. Mohamed [Salah] kekal komited bersama LFC.”

Kenyataan tersebut tiba sebelum tawaran kedua yang jauh lebih lumayan berbanding jumlah £350,000 (pemain dengan gaji tertinggi di Anfield) seminggu yang diterima pemain sayap menyerang itu bersama Liverpool pada masa ini.

Salah masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun (termasuk tahun ini) untuk kekal di Anfield.

Wartawan bola sepak terkenal Fabrizio Romano turut mendedahkan Salah tidak mempunyai niat meninggalkan Liverpool, atau melakukan rundingan bersama mana-mana kelab sebelum ini.

Namun tawaran daripada Al Ittihad secara drastik telah meningkat.

“[Al Ittihad] telah meningkatkan nilai bidaan untuk pemain tersebut… pakej kewangan daripada Al Ittihad untuk Mo Salah juga jauh lebih tinggi, hampir dua kali ganda apa yang ditawarkan pada Ogos lalu.

“Daripada maklumat yang saya perolehi, terdapat komunikasi daripada Salah dengan Liverpool mengenai perkara ini,” tambah Romano.

Romano bagaimanapun berkata Liverpool tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan pemain itu pergi pada peringkat ini di jendela perpindahan yang berbaki lebih kurang seminggu sahaja lagi.

Pengurus Liverpool Jurgen Klopp turut tidak senang bagaimana kelab Arab Saudi menarik perhatian pemain-pemain utama dari Eropah.

“Pengaruh dari Arab Saudi [terhadap pemain] amat memberi kesan,” kata Klopp.

“Paling menyukarkan adalah kerana jendela perpindahan di Arab Saudi dibuka tiga minggu lebih lama [berbanding Premier League].

“Jika tidak silap saya, itulah yang saya dengar dan kerana kita berada di Eropah perkara itu tidak membantu.

“UEFA atau FIFA perlu mencari jalan penyelesaian untuk ini. Ia sudah memberikan kesan kepada kami dan buat masa ini kami perlu mencari cara terbaik untuk berhadapan dengan situasi ini.”

Di Arab Saudi berita perpindahan Salah ke Saudi Pro League dengan menyertai Al Ittihad sudah bertiup kencang.

Sport Mediaset melaporkan perpindahan itu semakin hampir menjadi realiti dan menyifatkan Salah hanya selangkah sahaja lagi untuk meninggalkan kelab Merseyside itu untuk ke Arab Saudi.

Malah laporan itu turut mendakwa Salah bersedia untuk bergandingan dengan Karim Benzema di Al Ittihad dan tindak tanduk pemain itu melayan tawaran tersebut membuatkan Klopp berang.

Al Ittihad juga dilaporkan bersedia untuk membayar €100 juta untuk mendapatkan pemain berusia 31 tahun itu yang bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal kepada The Reds.

Gazzetta dello Sport di Itali pula mendakwa Salah akan menerima €200 juta untuk kontrak selama tiga tahun sekiranya memilih untuk ke Al Ittihad. Ini bermakna kelab itu sedia untuk membelanjakan pakej kewangan bernilai €300 juta hanya untuk pemain itu.

Sumber: Football 365, Fox Sport

BACA:  Henderson Percaya Nunez Bakal Bawa Dimensi Baru Dan Akan Isi Kekosongan Yang Ditinggalkan Oleh Mane