Al Ittihad Sedia Pecah Rekod Dunia Desak Liverpool Jual Salah

Al-Ittihad dilaporkan bersedia untuk menawarkan £200 juta kepada Liverpool dalam usaha kelab Saudi Pro League itu untuk mendapatkan Mohamed Salah.

Kelab Merseyside itu sebelum ini telah menolak bidaan bernilai £150 juta dari Al Ittihad untuk pemain bintang mereka itu.

Namun demikian ia tidak memadam hasrat Al Ittihad untuk membawa Salah dari Anfield sehingga jendela perpindahan pemain di Arab Saudi ditutup pada 7 September hadapan.

Mail Sport sebelum ini melaporkan walaupun Liverpool dan Jurgen Klopp bertegas untuk mengekalkan pemain bintang mereka itu, Al Ittihad sebaliknya melihat Salah sebagai simbol kepada projek baharu mereka.

Ini juga bermakna Al Ittihad bersedia untuk memecahkan rekod £198 juta yang dibayar Paris Saint-Germain kepada Barcelona untuk mendapatkan Neymar pada 2017.

Salah menjaringkan 30 gol dalam semua pertandingan untuk Liverpool pada musim lalu dan merupakan antara pemain senior di dalam skuad sedia ada Klopp.

Pemain itu memperbaharui kontrak untuk kekal di Anfield selama tiga tahun pada musim panas tahun lalu, dan kini merupakan pemain dengan bayaran termahal di dalam sejarah Liverpool.

Klopp sebelum ini mengakui sedikit terganggu dengan tawaran lumayan dan bidaan daripada kelab Arab Saudi, selain tempoh jendela perpindahan yang lebih panjang di negara itu berbanding Premier League.

Ini kerana perkara itu akan menganggu fokus pemain seperti yang berlaku kepada Salah.

Mail Sport baru-baru ini turut melaporkan Liverpool sudah mulai menghubungi beberapa ejen bola sepak untuk mendapatkan pengganti yang memiliki kaliber yang sama dengan Salah.

Namun pada peringkat ini, ia tida mudah untuk mencari pengganti. Lagi pun tidak ramai pemain yang boleh dibandingkan dengan kehebatan seperti pemain antarabangsa Mesir itu.

Walaupun demikian Liverpool tidak mempunyai keperluan untuk rasa tergugat kehilangan Salah kerana pemain itu masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun bersama mereka.

Sebelum ini Liverpool sudah pun hilang khidmat Jordan Henderson yang sanggup meninggalkan legasi sebagai kapten di Anfield untuk menyertai Steven Gerrard di Al Ettifaq.

Fabinho dan Roberto Firmino turut memilih untuk melanjutkan karier masing-masing ke negara Timur Tengah itu selepas meninggalkan Liverpool.

Penjaga gol, Alisson dan pemain pertahanan tengah Ibrahima Konate turut menjadi sasaran kelab-kelab Arab Saudi.

Berbeza dengan Salah, Alisson dan Konate secara jelas menyatakan pendirian mahu kekal bersama Liverpool dan beraksi di Premier League.

BACA:  Pemain Sasaran Liverpool Setuju Sertai Bayern Munich Musim Hadapan