Yakin Salah Mampu Berikan Impak, Henderson Sudah Kongsi Pengalaman Beraksi Di Arab Saudi

Mohamed Salah menjadi tumpuan utama berita perpindahan walaupun jendela perpindahan pemain di Eropah sudah tertutup rapat.

Ini kerana Al Ittihad dikatakan masih berusaha mendapatkan pemain itu, dan jendela perpindahan di Arab Saudi hanya akan ditutup secara rasmi esok.

Delegasi Al Ittihad juga dilaporkan sudah berada di London untuk meyakinkan Liverpool menjual pemain bintang mereka itu dengan bidaan rekod dunia mencecah £215 juta, angka yang memecah rekod dunia perpindahan Neymar dari Barcelona ke PSG.

Kelab Saudi Pro League itu turut dilaporkan bersedia menawarkan tawaran lumayan £2.45 juta seminggu – tidak termasuk insentif lain – kepada Salah yang akan menjadikan pemain itu sebagai penerima gaji paling mewah di dunia.

Antara insentif lain yang turut berada di dalam senarai bakal diterima Salah sekiranya menyertai Al Ittihad adalah seperti sebahagian peratusan hasil keuntungan penjualan jersi, £55,000 bonus kemenangan di setiap perlawanan, selain menjadi duta kepada tiga syarikat berkaitan kerajaan utama di Arab Saudi.

Peranan menjadi duta akan membenarkan Salah menerima £18 juta bayaran tambahan – ketiga-tiga syarikat bersetuju membayar £6 juta.

Terbaru, Jordan Henderson yang merupakan mantan kapten Liverpool mendedahkan turut berkongsi dengan Salah mengenai pengalaman beraksi di negara Timur Tengah itu.

Bercakap kepada The Athletic, Henderson yang menyertai Al Ettifaq pada jendela perpindahan yang lalu berkata: “Saya belum bercakap kepadanya [Salah] secara terperinci mengenai situasi tersebut [kehidupan di Arab Saudi].

“Tetapi seminggu dua yang lalu saya berkongsi maklumat secara umum [mengenai Saudi Pro League], dan dia bertanya sama ada saya ok di sini dan bagaimana saya menyesuaikan diri. Kami berbicara perkara-perkara normal.

“Ramai yang hantar mesej dan bertanya kepada dia dan saya hanya berkongsi kepadanya. Saya sendiri tidak pasti sejauh mana perkara yang berlaku. Saya hanya membaca perkara yang dilaporkan media mengenai bidaan mendapatkan Salah.

“Ia pasti menarik untuk melihat apa kejadian seterusnya kerana dia adalah pemain yang hebat, seirang individu luar biasa.

“Dan apa pun yang akan berlaku, dia akan mendatangkan impak besar – sama ada di Liverpool atau di Arab Saudi.

“Sama ada ia akan berlaku sekarang atau kemudian hari atau bila-bila sahaja dia akan menjadi kekuatan kepada mana-mana pasukan.”

Henderson bagaimanapun menekankan dirinya tidak akan masuk campur atau mendesak Salah untuk

Di perkembangan lain, Jurgen Klopp sebagai pengendali Liverpool memang sudah menepis jauh-jauh perkhabaran perpindahan pemain bintangnya itu ke Arab Saudi.

“Dia memang belum berkata apa-apa kepada saya, tapi sepertinya itu tidak perlu. Dia sudah menyatakan pendiriannya melalui komitmen ketika latihan dan perlawanan, dan cara dia mengendalikan dirinya,” ujar Jurgen Klopp, dikutip dari The Guardian.

BACA:  Penyokong Liverpool Merajuk, Benitez Bukan Lagi Lagenda Kelab