Bek Kiri Terbaik Dunia Sasaran Utama Marcos Alonso

Marcos Alonso mendedahkan sebab utama beliau menyertai Chelsea adalah untuk menjadi bek kiri terbaik dunia.

Chelsea berjaya memenangi kesemua 5 perlawanan Liga Perdana Inggeris yang telah mereka harungi setakat ini dan Alonso telah bermain dalam setiap minit perlawanan dimana beliau berjaya menyumbang 1 gol dan 5 bantuan gol.

Alonso menerima pujian setinggi langit daripada Sarri

Permulaan cemerlang Alonso telah membuatkan Maurizio Sarri menggelarnya sebagai bek kiri terbaik Eropah ketika ini dan Alonso mengakui beliau tidak gentar untuk menekan dirinya ke arah gelaran tersebut.

“Ia merupakan faktor utama saya datang ke Chelsea. Apabila anda menyertai salah sebuah pasukan terbaik dunia yang mempunyai ramai pemain hebat, anda perlu berjuang untuk meraih tempat anda dalam pasukan dan itu adalah perkara yang saya cuba lakukan.”

“Saya mahu menjadi pemain yang lebih baik dan bekerja lebih keras untuk menjadi salah seorang pemain terbaik dunia.” Ujar Alonso dalam satu temu ramah eksklusif bersama Soccer Saturday.

“Saya mahu menjaringkan lebih banyak gol dan mencipta lebih banyak bantuan gol. Saya juga mahu melakukan lebih banyak tackles. Apa sahaja yang saya lakukan untuk membantu pasukan akan memberi kebaikan kepada Chelsea dan saya sendiri.”

Dikenali sebagai pemain pertahanan yang suka naik ke atas untuk menjaringkan gol. Juga menjadi kegemaran pengurus-pengurus Fantasy Premier League

Kemenangan ke atas Huddersfield, Arsenal, Newcastle, Bournemouth dan Cardiff telah melonjakkan Chelsea ke kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris buat seketika. Liverpool berjaya merampas kedudukan teratas selepas meraih 3 mata semalam namun Chelsea berpeluang merampas kembali kedudukan teratas sekiranya mereka berjaya mencatatkan kemenangan ke atas West Ham malam ini.

Alonso juga percaya beliau sedang melalui fasa terbaik dalam kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

“Saya berasa bagus. Saya suka bermain di bawah pengurus baru dan rakan sepasukan yang lain. Saya sangat gembira berada di Chelsea sekarang.”

“Sudah tentu saya dahagakan kejayaan. Musim ini bakal menjadi satu lagi musim yang sukar kerana terdapat banyak pasukan yang berjuang untuk memenangi semua piala yang ada. Justeru itu, saya mahu membantu Chelsea memenangi semua pertandingan yang kami sertai.”

“Bagi mencapai misi tersebut, kami perlu bekerja keras dan saya sendiri sudah bersedia untuk menghadapi masa yang sukar dihadapan.”

Pernah bermain dengan Bolton dan Sunderland suatu ketika dahulu sebelum berhijrah ke Fiorentinao

Antonio Conte merupakan pengurus yang bertanggungjawab membawa masuk Alonso dari Fiorentina dua tahun yang lalu. Tetapi menurut Alonso, pengalaman bergelut di kelompok bawahan Liga Perdana Inggeris ketika bermain bersama Bolton Wanderers banyak membantu beliau dalam menjadi pemain yang lebih baik.

“Semuanya adalah fasa yang penting dalam karier saya. Sebelum Bolton, saya bermain untuk Real Madrid dan saya telah terlibat dalam sesi latihan pasukan utama sejak berumur 16 tahun lagi. Selepas itu, saya beraksi buat kali pertama pada usia 18 tahun.”

“Bolton merupakan satu lagi fasa yang penting dalam karier saya. Saya banyak belajar di sana walaupun kami tidak bersaing untuk sebarang piala. Kami sangat jauh untuk memenangi piala, paling dekat pon adalah separuh akhir Piala FA dan selepas itu saya menyertai Sunderland. Selama 4 hingga 5 bulan bersama Sunderland, saya berjuang untuk mengelakkan relegasi.”

BACA:  Jim Beglin Terlepas Gelar Stadium City, 'The Emptyhad' Ketika Sedang Bersiaran Langsung