Bekas Juara Dunia UFC Dan Drew McIntyre Bengang Dengan Tindakan Kurt Zouma

Bekas Juara Dunia light heavyweight UFC, Jan Blachowicz cabar Kurt Zouma untuk tendang beliau seperti mana bintang West Ham itu menendang kucing peliharaannya.

Jan Blachowicz rasa panas dan bengang melihat video tak bermoral Kurt Zouma menzalimi kucing peliharaannya.

Video yang dirakam oleh abang Zouma sendiri, Yoan telah tular di media sosial sejak beberapa hari yang lalu, dan hal itu menyebabkan bekas bintang Chelsea itu teruk dihentam oleh pelbagai pihak.

Terbaru, Blachowicz yang tewas sabuk kejuaraan dunia UFC miliknya kepada Glover Teixeira itu tampil mencabar Kurt Zouma untuk berdepan dengannya.

“Jika kamu seorang yang kuat (mencarut), @KurtZouma, cubalah tendang saya.”

Jelas petarung dari Poland itu menerusi satu muat naik di laman twitter miliknya.

“Memang benar-benar sampah, tiada toleransi untuk kekejaman terhadap binatang.”

Selain Blachowicz, bekas Juara Dunia WWE, Drew McIntyre turut sama mengeluarkan kenyataan di laman media sosial untuk menghentam tindakan Kurt Zouma itu.

“Saya sukar untuk jelaskan dengan kata-kata tentang bagaimana perasaan saya terhadap video menyedihkan ini. Tindakan yang benar-benar menyedihkan dari Kurt Zouma yang sepatutnya menjadi seorang role model.”

“Binatang yang tak berdaya tak sepatutnya menjadi mangsa kekejaman seperti ini. Saya berminat untuk tahu bagaimana West Ham merancang untuk menghukum tindakan seperti ini?”

Adidas sah tamatkan perjanjian tajaan bersama Kurt Zouma

Adidas telah mengumumkan yang mereka telah menamatkan perjanjian tajaan bersama Kurt Zouma selepas tular video bintang West Ham itu bersikap kejam terhadap kucingnya.

Tular dia media sosial baru-baru ini sebuah video yang memperlihatkan bagaimana Kurt Zouma menyepak serta menampar kucingnya di rumah beliau.

Zouma sendiri telah membuat permohonan maaf secara terbuka kemarin, namun Adidas mengesahkan yang mereka telah membatalkan perjanjian tajaan dengan bintang Perancis itu.

Jurucakap Adidas dalam kenyataannya telah menyatakan bahawa:

“Kami telah menyimpulkan hasil siasatan kami dan kami boleh mengesahkan yang Kurt Zouma bulan lagi atlet di bawah kontrak Adidas.”

Penaja West Ham, Vitality turut menggantung perjanjian tajaan mereka dengan The Hammers kerana tidak selesa dengan cara bagaimana kelab mengendalikan kes ini.

Zouma turut didenda pemotongan gaji selama dua minggu oleh kelab, namun beliau tetap diturunkan ketika aksi bertemu Watford dalam saingan Premier League kemarin.

“Kami jelas sangat kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh kelab sebagai tindak balas mereka terhadap insiden itu.”

Jelas jurucakap Vitality.

“Oleh yang demikian, kami akan menggantung tajaan kami kepada West Ham United dengan serta merta.”

“Kami kini akan terus memantau kelab untuk mengetahui apa tindakan lanjut yang akan mereka ambil, untuk menyelesaikan masalah ini.”

Mempertahankan keputusan beliau untuk tetap menurunkan Kurt Zouma ketika aksi bertemu Watford, pengurus West Ham, David Moyes menyatakan bahawa:

“Saya tahu bagaimana orang rasa, tapi saya juga merupakan pengurus bola sepak di sini.”

“Perasaan saya adalah Kurt sudah meminta maaf dan saya faham masih ramai orang tidak terima permohonan maaf dari dia.”

“Tapi bagi saya dia sudah tampil dan meminta maaf dan saya perlu lakukan tugas saya.”

Badan kebajikan binatang, RSPCA telah mengesahkan yang kedua-dua ekor kucing milik Kurt Zouma kini sedang berada di bawah jagaan mereka.

Dalam satu kenyataan yang mereka baru keluarkan, mereka menyatakan bahawa:

“Kami mahu memberi jaminan kepada semua orang yang kami sedang menyiasat dan kucing-kucing selamat di bawah jagaan saya.”

“Kami sudah berurusan dengan hal seperti ini sejak sebelum tular video di atas talian dan kami perlu ikut saluran yang betul dan tidak mahu berunding kerana mematuhi peraturan UK GDPR.”

Sementara itu, lebih dari 200,000 orang kini sudah menandatangani petition untuk meminta Kurt Zouma didakwa.

Tular video Kurt Zouma menzalimi kucing peliharaannya

Video kejam dan zalim Kurt Zouma menendang serta menampar kucing peliharaannya tular di media sosial pada ketika ini, dengan bintang West Ham itu teruk dihentam peminat.

Video tersebut mungkin akan menimbulkan kemarahan bagi pencinta kucing dengan pemain pertahanan West Ham itu dilihat mengejar kucing baka Bengal itu disekitar rumahnya.

Selepas mengejar, beliau dilihat mengangkat kucing tersebut lalu menyepaknya seperti sebiji bola di dapur rumahnya.

Rakaman sama kemudian menunjukkan ada individu lain yang mengangkat kucing malang itu, sebelum Zouma sekali lagi menyiksanya dengan menampar kucing itu sekuat hatinya.

Menurut laporan dari pelbagai sumber, individu yang merakam insiden tersebut merupakan abang kandung kepada Kurt Zouma sendiri.

Laporan sama turut mendedahkan yang bintang Premier League itu bengang dengan kucingnya itu kerana menyepahkan rumahnya.

Bukan hanya video itu memualkan untuk ditonton, namun ia juga sebenarnya boleh membawa bencana kepada bintang Perancis itu sendiri.

Pihak polis dan pihak berkuasa tempatan sebenarnya ada kuasa penuh untuk menangkap, menyiasat dan menghukum beliau atas perbuatan tidak bermoralnya itu.

Video itu sendiri kini sedang tular di media sosial dan sudah ditonton oleh jutaan manusia dan tidak mustahil video tersebut berada di tangan pihak polis.

Ia juga tidak memerlukan masa yang lama untuk West Ham sendiri mengeluarkan satu kenyataan yang menghentam tindakan dan perbuatan keji Kurt Zouma itu.

“West Ham United secara terbuka menghentam perbuatan pemain kami, Kurt Zouma, dalam sebuah video yang sedang tular pada ketika ini.”

Kenyataan yang dikeluarkan oleh West Ham.

“Kami sudah bercakap dengan Kurt dan akan berunding dengan dia tentang hal ini secara peribadi, tapi kami mahu jelaskan yang kami langsung tidak menyokong kekejaman terhadap binatang.”

Memandangkan nama beliau sudah menjadi sebut-sebutan dan dikecam teruk oleh para peminat, Kurt Zouma tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Saya mahu meminta maaf atas tindakan saya. Tidak ada alasan untuk tingkah laku saya, dan saya sejujurnya sangat menyesal dengan hal itu.”

Jelas Kurt Zouma.

“Saya juga mahu mengatakan bagaimana saya benar-benar meminta maaf kepada mereka yang terasa dengan video tersebut. Saya mahu beri jaminan kepada semua semua yang dua ekor kucing kami berada dalam keadaan sangat sempurna dan sihat.”

“Mereka memang disayangi dan dimanjakan oleh kami sekeluarga, dan hal ini merupakan hal janggal dan tidak akan pernah berlaku lagi.”

Pemain berusia 27 tahun itu teruk dihentam oleh peminat di media sosial dengan aktivis pencinta kucing mula membanjiri ruang komen di akaun media sosial miliknya.

Laporan awal dari media UK telah melaporkan yang insiden tersebut kini sudah dilaporkan kepada RSPCA.

“Siapa saja yang dilihat atau disyaki melayan binatang dengan teruk, sama ada keganasan secara fizikal, mengabaikan atau apa saja jenis kekejaman yang dilaporkan kepada RSPCA.”

Jelas Dr Maggie Roberts dari badan amal yang memberikan perlindungan kepada kucing.

“Pihak Polis bekerjasama dengan RSPCA untuk menyiasat kekejaman terhadap binatang. Kucing merupakan haiwan jinak yang boleh merasa sakit serta takut. Menyiksa kucing hanya akan menyebabkan mereka menderita kesakitan fizikal serta mental.”

“Kami sedar mungkin ada segelintir orang anggap video itu lucu, kami boleh jamin yang hal itu bukan sesuatu untuk diketawakan.”

Sehingga kini, masih belum jelas hukuman apa yang akan dikenakan ke atas Kurt Zouma, namun satu hal yang pasti beliau sudah tentu akan berdepan hukuman berat.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Kurt Zouma Dihentam Teruk Kerana Menyiksa Kucing