Kerana Perbuatan Kejinya, Kurt Zouma Kena Boo Setiap Kali Sentuh Bola Ketika Bertemu Watford

Kurt Zouma berdepan kesukaran sepanjang aksinya ketika bertemu Watford di London Stadium awal pagi tadi, selepas beliau dicemuh oleh peminat setiap kali menyentuh bola.

David Moyes memilih untuk menurunkan Kurt Zouma dalam kesebelasan utamanya ketika aksi bertemu Watford, dan sepertinya ia bukan keputusan yang baik untuk bekas bintang Chelsea itu.

Baru-baru ini tular di media sosial video rakaman Kurt Zouma menzalimi kucing peliharaannya dengan beliau dilihat menyepak serta menampar muka kucingnya itu.

Lebih teruk lagi, ketika Zouma melakukan aksi keji dan terkutuk itu, abang beliau, Yoan merakam semua aksi tersebut sambil ketawa seolah-olah menyiksa kucing itu satu hiburan.

Pemain pertahanan West Ham itu kemudiannya dihukum oleh para penyokong di London Stadium awal pagi tadi, dengan beliau dicemuh setiap kali beliau menyentuh bola.

Para penyokong tidak henti-henti mencemuh Zouma sepanjang perlawanan tersebut, dan sepertinya bunyi boo itu bukan hanya datang dari penyokong Watford sahaja.

Dari kuatnya bunyi boo itu, sepertinya ia datang dari seluruh stadium dan ia secara tidak langsung membuktikan bahawa Kurt Zouma sebenarnya telah menyakiti banyak hati kerana tindakan keji dan tidak bermoralnya itu.

Aksi keji Kurt Zouma menzalimi kucing peliharaannya

Video kejam dan zalim Kurt Zouma menendang serta menampar kucing peliharaannya tular di media sosial pada ketika ini, dengan bintang West Ham itu teruk dihentam peminat.

Video tersebut mungkin akan menimbulkan kemarahan bagi pencinta kucing dengan pemain pertahanan West Ham itu dilihat mengejar kucing baka Bengal itu disekitar rumahnya.

Selepas mengejar, beliau dilihat mengangkat kucing tersebut lalu menyepaknya seperti sebiji bola di dapur rumahnya.

Rakaman sama kemudian menunjukkan ada individu lain yang mengangkat kucing malang itu, sebelum Zouma sekali lagi menyiksanya dengan menampar kucing itu sekuat hatinya.

Menurut laporan dari pelbagai sumber, individu yang merakam insiden tersebut merupakan abang kandung kepada Kurt Zouma sendiri.

Laporan sama turut mendedahkan yang bintang Premier League itu bengang dengan kucingnya itu kerana menyepahkan rumahnya.

Bukan hanya video itu memualkan untuk ditonton, namun ia juga sebenarnya boleh membawa bencana kepada bintang Perancis itu sendiri.

Pihak polis dan pihak berkuasa tempatan sebenarnya ada kuasa penuh untuk menangkap, menyiasat dan menghukum beliau atas perbuatan tidak bermoralnya itu.

Video itu sendiri kini sedang tular di media sosial dan sudah ditonton oleh jutaan manusia dan tidak mustahil video tersebut berada di tangan pihak polis.

Ia juga tidak memerlukan masa yang lama untuk West Ham sendiri mengeluarkan satu kenyataan yang menghentam tindakan dan perbuatan keji Kurt Zouma itu.

“West Ham United secara terbuka menghentam perbuatan pemain kami, Kurt Zouma, dalam sebuah video yang sedang tular pada ketika ini.”

Kenyataan yang dikeluarkan oleh West Ham.

“Kami sudah bercakap dengan Kurt dan akan berunding dengan dia tentang hal ini secara peribadi, tapi kami mahu jelaskan yang kami langsung tidak menyokong kekejaman terhadap binatang.”

Memandangkan nama beliau sudah menjadi sebut-sebutan dan dikecam teruk oleh para peminat, Kurt Zouma tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Saya mahu meminta maaf atas tindakan saya. Tidak ada alasan untuk tingkah laku saya, dan saya sejujurnya sangat menyesal dengan hal itu.”

Jelas Kurt Zouma.

“Saya juga mahu mengatakan bagaimana saya benar-benar meminta maaf kepada mereka yang terasa dengan video tersebut. Saya mahu beri jaminan kepada semua semua yang dua ekor kucing kami berada dalam keadaan sangat sempurna dan sihat.”

“Mereka memang disayangi dan dimanjakan oleh kami sekeluarga, dan hal ini merupakan hal janggal dan tidak akan pernah berlaku lagi.”

Pemain berusia 27 tahun itu teruk dihentam oleh peminat di media sosial dengan aktivis pencinta kucing mula membanjiri ruang komen di akaun media sosial miliknya.

Laporan awal dari media UK telah melaporkan yang insiden tersebut kini sudah dilaporkan kepada RSPCA.

“Siapa saja yang dilihat atau disyaki melayan binatang dengan teruk, sama ada keganasan secara fizikal, mengabaikan atau apa saja jenis kekejaman yang dilaporkan kepada RSPCA.”

Jelas Dr Maggie Roberts dari badan amal yang memberikan perlindungan kepada kucing.

“Pihak Polis bekerjasama dengan RSPCA untuk menyiasat kekejaman terhadap binatang. Kucing merupakan haiwan jinak yang boleh merasa sakit serta takut. Menyiksa kucing hanya akan menyebabkan mereka menderita kesakitan fizikal serta mental.”

“Kami sedar mungkin ada segelintir orang anggap video itu lucu, kami boleh jamin yang hal itu bukan sesuatu untuk diketawakan.”

Sehingga kini, masih belum jelas hukuman apa yang akan dikenakan ke atas Kurt Zouma, namun satu hal yang pasti beliau sudah tentu akan berdepan hukuman berat.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Pemain West Ham Minta Naik Gaji Selepas Sedar Berapa Gaji Sebenar Kurt Zouma