Ben Arfa Digugurkan Dari Skuad Lille Kerana Bergaduh Dengan Pengurus Kelab

Hatem Ben Arfa dijangka bakal dipecat oleh Lille selepas beliau dikatakan terlibat dengan masalah perselisihan faham dengan pengurus kelab, Jocelyn Gourvennec.

Bekas bintang Newcastle dan Hull City itu telah digugurkan dari skuad utama Lille pada awal minggu ini selepas berlakunya salah faham antara beliau dengan Gourvennec.

Ben Arfa dikatakan bergaduh dengan pengurus Lille selepas tamat aksi terikat tanpa jaringan bertemu Bordeaux pada hujung minggu lalu.

Ben Arfa dikatakan telah memberitahu Gourvennec bahawa:

“Kita bermain terlalu deep di sini. Kita tak bermain macam pasukan yang nak mencabar gelaran Eropah. Ini bukan Guingamp!”

Guingamp merupakan sebuah kelab yang beraksi dalam saingan Ligue 2 dan pengurus yang kini berusia 50 tahun itu pula pernah dua kali mengendalikan kelab tersebut sebelum ini.

Secara tak langsung, Ben Arfa menganggap yang Gourvennec tak layak untuk mengendalikan kelab dari saingan Ligue 1 kerana pendekatan yang beliau gunakan hanya berada di taraf liga bawahan sahaja.

Media Perancis, RMC Sport mendakwa yang Ben Arfa telah dipanggil untuk temu duga pra-pemecetan di Lille.

Pemain yang bakal dipecat sememangnya akan dipanggil untuk temu duga oleh pimpinan kelab sambil mereka turut akan disoal siasat.

Pemain berusia 35 tahun itu baru sahaja menyertai Lille pada jendela perpindahan Januari baru-baru ini menerusi rundingan perpindahan percuma.

Beliau kini berkemungkinan akan digugurkan dari kelab dan kontraknya juga akan dibatalkan terus oleh pihak kelab.

Bercakap dalam satu sidang media semalam, Gourvennec telah mendedahkan satu insiden yang mana seorang pemain telah menunjukkan sikap tidak sopan dalam bilik persalinan selepas tamat perlawanan.

“Kami sudah lakukan yang terbaik, ada juga yang kurang baik, kami menang perlawanan atau tidak, kami bermain satu cara atau banyak cara, itu hal lain, tapi sikap itu adalah hal terpenting untuk saya.”

Jelas Gourvennec.

“Sudah 34 tahun saya berada dalam dunia bola sepak dan saya tak pernah melihat hal seperti itu.”

Ben Arfa kemudiannya membalas komen dari Gourvennec itu dengan memuat naik status di laman instagram miliknya dengan menyatakan:

“Masalah kamu adalah kamu tak cukup cekap. #allezlelosc kita bukan bermain untuk tersingkir.”

Tulis Hatem Ben Arfa di laman instagram miliknya.

Bekas pemain kebangsaan Perancis itu bakal dipecat oleh pihak kelab kerana beliau dianggap tidak berdisiplin dan melakukan hal yang tak sopan.

Beliau kini dijangka akan meninggalkan Lille selepas sekadar membuat sembilan penampilan sahaja untuk kelab tanpa menjaringkan sebarang gol.

Di usia 35 tahun, jelas sekali agak sukar sebenarnya untuk Hatem Ben Arfa mencari kelab lain pada musim baharu nanti apa lagi selepas beliau terlibat dengan masalah seperti ini.

Pengurus-pengurus kelab lain sudah tentu akan berfikir berkali-kali sebelum berhasrat untuk mendapatkan khidmat bekas bintang Perancis itu.

Menghentam taktikal dan sistem pengurusan pengurus kelab secara terbuka bukankah satu hal yang patut dilakukan oleh Ben Arfa.

Memandangkan beliau sudah boleh dianggap sebagai pemain veteran, agak mengejutkan juga untuk melihat beliau boleh melakukan hal yang sangat tidak matang seperti itu.

Beliau mungkin patut terus bersara dari dunia bola sepak, atau mungkin andai beliau masih berminat mahu teruskan kariernya, Ben Arfa patut beraksi bersama kelab-kelab kecil sahaja.

Lebih menarik lagi, Ben Arfa sepatutnya masuk ke dunia pengurusan dan gunakan ilmu yang beliau ada untuk membuktikan kepada Gourvennec yang beliau sememangnya tahu dengan apa yang beliau kritik.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Reaksi Angel Gomes Ketika Messi Meminta Jersinya Sungguh Priceless