Reaksi Angel Gomes Ketika Messi Meminta Jersinya Sungguh Priceless

Pemain penyerang Lille, Angel Gomes melalui hari yang sungguh indah sepanjang kariernya dengan beliau benar-benar teruja selepas Lionel Messi mengajaknya bertukar jersi.

Ia jelas sekali sesuatu yang sangat menggembirakan apabila pemenang tujuh kali gelaran Ballon D’or mencari seseorang pemain itu dan mengajaknya bertukar jersi.

Selepas tamat aksi perlawanan yang menemukan antara Lille dan Paris Saint Germain, Messi telah mencari Gomes untuk mengajaknya bertukar jersi dan reaksi yang ditunjukkan oleh Angel Gomes itu sungguh luar biasa menakjubkan.

Paris Saint Germain berjaya membelasah Lille 5-1 dalam perlawanan yang dilangsungkan di Stade Pierre Mauroy itu, seterusnya menjarakkan lagi kedudukan mereka di puncak saingan Ligue 1.

PSG kini 13 mata mendahului Marseille untuk mendahului carta saingan Ligue 1, dan mereka sepertinya terlalu sukar untuk dikejar.

Danilo Pereira membuka tirai jaringan untuk Paris Saint Germain seawal minit ke-10 permainan, sebelum pertahanan Lille, Sven Botman menyamakan kedudukan pada minit ke-28 permainan.

Namun begitu, nasib jelas tidak memihak kepada pasukan tuan rumah, dengan gawang mereka kemudiannya dibolosi empat kali lagi untuk PSG mencatatkan kemenangan 5-1.

Presnel Kimpembe, Lionel Messi, Kylian Mbappe dan satu lagi gol dari Danilo membantu Les Parisiens untuk mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan ini.

Ia merupakan kekalahan yang agak teruk untuk Lille yang berdepan dengan kesukaran sepanjang musim ini selepas mereka muncul Juara pada musim 2020/21.

Walau para pemain Lille melalui malam yang sukar, namun ia sepertinya tidak untuk bekas bintang Manchester United, Angel Gomes yang sepertinya telah melalui malam yang tidak akan pernah beliau lupakan.

Selepas wisel penamat dibunyikan, Gomes bertemu Lionel Messi di dalam terowong untuk kembali ke bilik persalinan.

Pada awalnya, Gomes mungkin berfikir yang bintang berusia 34 tahun itu akan sekadar menyerahkan jersinya lalu pergi kembali ke bilik persalinan.

Namun alangkah terkejutnya beliau, apabila bekas bintang Barcelona itu menunjukkan isyarat yang beliau juga mahukan jersi Gomes sebagai tanda pertukaran jersi.

Reaksi Gomes sememangnya sungguh priceless dengan beliau seolah-olah tak percaya Messi akan mahu mendapatkan jersinya.

Hebat bukan? Reaksi yang terlalu teruja dan gembira.

Gomes sebelum ini pernah menghabiskan tempoh selama 14 tahun bersama Manchester United selepas beliau menyertai skuad setan merah itu di usia 6 tahun.

Beliau kemudiannya menyertai pasukan dari Ligue 1, Lille pada Ogos 2020 dan telah dipinjamkan ke kelab Portugal, Boavista dalam usahanya untuk mencari pengalaman beraksi bersama skuad utama.

Beliau berjaya bersinar dalam aksi saingan di Primeira liga dan pada musim ini beliau membuat 16 penampilan untuk skuad Les Dogues selepas kembali dari Portugal.

Bintang berusia 21 tahun itu turut dipanggil untuk sertai skuad bawah-21 tahun England pada Oktober lalu.

Menjelaskan tentang mengapa beliau memutuskan untuk meninggalkan Old Trafford pada tahun 2020, Gomes menerusi Le Petit Lillois menjelaskan bahawa:

“Saya tak fikir peluang saya akan sampai dengan cepat bersama Manchester United.”

“Perkara baik akan hadir jika kamu berhak untuk dapatkan. Saya capai pelbagai kejayaan hebat ketika bersama Manchester United, yang mana ia akan saya kenang sepanjang hayat saya.”

“Saya tak fikir ini terlalu terburu-buru, tapi kadang kala memang ada keputusan yang perlu dilakukan dan kamu perlu tahu bagaimana untuk keluar dari zon selesa kamu.”

Lionel Messi sememangnya sangat jarang berminat untuk dapatkan jersi seseorang, jadi agak wajar untuk Angel Gomes rasa bahagia dan gembira ketika bintang Argentina itu sudi meminta jersinya.

Sumber: SPORTbible

BACA:  PSG Boleh Hasilkan Dua Kesebelasan Utama Berkelas Dunia Dengan Skuad Sedia Ada Sekarang