Aguero Dedah Messi Akan Berpindah Kelab Sekali Lagi

Sergio Aguero adalah sahabat baik Lionel Messi. Dan apabila Aguero berkata sesuatu mengenai Messi, maka ia dianggap sebagai satu sumber yang kukuh.

Terbaru, Aguero mendedahkan Messi berkemungkinan besar akan meninggalkan Inter Miami kurang setahun selepas menyertai kelab MLS itu.

Pemenang Ballon d’Or sebanyak lapan kali itu berhijrah ke Miami pada musim panas lalu selepas dua tahun bersama kelab Perancis PSG. Sepanjang beraksi di Ligue 1, Messi menjaringkan 22 gol.

Messi turut dilaporkan telah menolak tawaran yang cukup lumayan daripada kelab Saudi Pro League sebelum mengumumkan menyertai kelab milik David Beckham.

Dan setakat ini Messi menampilkan aksi cemerlang untuk Inter Miami di pertandingan Piala Liga, menjaringkan 10 gol daripada enam perlawanan.

Kapten Argentina itu bagaimanapun bergelut untuk melakukan perkara yang sama di pertandingan MLS – menjaringkan hanya satu gol daripada enam perlawanan.

Pemenang Piala Dunia 2022 itu sebelum ini menegaskan dirinya gembira di Inter Miami. Namun demikian bekas rakan sepasukan dan sahabat baiknya Aguero memberikan bayangan bahawa Messi akan kembali menyertai Barcelona selepas ini.

Ini bukan kali pertama Messi dikaitkan untuk kembali ke Nou Camp. Messi berpeluang berbuat demikian secara pinjaman ketika musim rehat MLS.

Pemain itu menafikan perancangan tersebut. Namun Aguero yang pernah membintang Manchester City suatu ketika dahulu mendedahkan hanya soal masa untuk Messi kem bali ke Nou Camp.

“Leo sentiasa berkata dia masih sayangkan Barcelona, dan dia masih merasakan diri sebagai sebahagian daripada kelab dan bandar itu,” kata Aguero kepada AS baru-baru ini.

“Saya belum berbincang secara terperinci mengenai perpindahan [kembali ke Barcelona]. Tetapi ia hanya soal masa.”

Messi bersama Barcelona selama 21 tahun dan ketika meninggalkan kelab itu, pemain itu pernah berkata: “Saya selalu berkata, anda tidak akan tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Tetapi jika segalanya terpulang kepada saya, saya tidak akan meninggalkan Barcelona.”

BACA:  Zidane Kekal Dengan Keputusan Tiada 'Guard of Honour' Untuk Barcelona