Neymar Hantar Peguam Dan Dana Bantu Dani Alves Keluar Penjara

Neymar dilaporkan telah menghulurkan bantuan guaman dan sumbangan berbentuk tunai untuk membantu Dani Alves yang kini sedang meringkuk di dalam penjara atas dakwaan melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita di kelab malam.

Dani Alves telah dipenjara sejak 20 Januari 2023 yang lalu, dan kini berada di penjara Brians 2 di Barcelona selepas didakwa menyerang seorang wanita secara seksual di tandas sebuah kelab malam.

Mangsa dilaporkan menuntut bayaran 150,000 euro sebagai pampasan akibat kecederaan fizikal dan trauma yang dialaminya selepas serangan tersebut.

Pada masa yang sama pihak pendakwaraya dilaporkan telah memohon kepada mahkamah agar Alves dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun untuk kesalahan yang dilakukannya.

Tempoh tahanan reman terhadap Alves kini berada di penghujung dan kes tersebut akan dibicarakan pada 5 Februari hadapan selama tiga hari berturut-turut.

Menurut laporan media di Brazil, Alves telah menghubungi Neymar untuk mendapatkan bantuan. Kedua-dua pemain itu adalah rakan sepasukan ketika bersama Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG) selain daripada skuad kebangsaan Brazil.

Terdesak untuk disabitkan kesalahan atas dakwaan yang diterimanya, Alves meminta bantuan Neymar daripada segi khidmat guaman untuk perbicaraan yang akan dihadapinya pada bulan hadapan.

Media Brazil UOL berkata ayah kepada Neymar telah menghantar wang untuk tujuan membantu Dani Alves mempertahankan kesnya. Wang tersebut dipercayai akan digunakan untuk membayar pampasan (150,000 euros) seperti yang diarahkan oleh mahkamah di Sepanyol.

Bayaran tersebut diharapkan mampu mengurangkan hukuman yang bakal dijatuhkan terhadap Alves. Pada masa yang sama pemain pertahanan itu turut melantik Gustavo Xisto sebagai peguam baharunya dan memecat peguam sebelum ini yang mewakilinya untuk kes tersebut.

Xisto adalah antara peguam berpengalaman yang mewakili syarikat milik ayah Neymar. Pada masa yang sama Alves turut mengarahkan Xisto untuk menyingkirkan bekas isterinya daripada hak mengurus segala aset miliknya.

BACA:  Harga Neymar + Mbappe Lebih Mahal Berbanding Satu Skuad Bayern Munich