Frenkie de Jong Bengang Kerana Barca Mahu Menjualnya Tanpa Kerelaan Hatinya

Pemain midfield Barcelona, Frenkie de Jong bengang dengan pimpinan kelab selepas beliau disahkan akan dijual kepada Manchester United pada musim panas ini.

Selepas selesai bercakap dengan Xavi, De Jong segera naik angin dan merasa menyampah dengan pimpinan kelab kerana memilih untuk menjualnya.

Pemain kebangsaan Belanda itu telah kembali menyertai sesi latihan skuad Barcelona pada awal minggu lalu.

Pegawai dari Manchester United, Richard Arnold dan John Murtough juga telah terbang ke Sepanyol itu menamatkan rundingan antara kedua-dua belah pihak.

Kedua-dua mereka telah bertemu dengan Joan Laporta dan pegawai perpindahan pemain Barca, Mateu Alemany.

Menurut sumber laporan dari Mundo Deportivo, pertemuan kedua antara kedua-dua belah pihak telah dilangsungkan pada Khamis lalu.

Laporan sama turut mendedahkan yang Man United bersedia untuk membayar yuran perpindahan bernilai £56 juta kepada Barcelona berkait urusan perpindahan De Jong.

Walau bagaimanapun, laporan terbaru dari station TV Catalan telah mendedahkan yang nilai sebenar De Jong ke Old Trafford adalah bernilai £72 juta.

Malam Isnin baru-baru ini, Xavi dilaporkan telah menghubungi De Jong untuk menjelaskan tentang situasi terkini berkait masa depannya.

Pemain berusia 25 tahun itu dikatakan sedar dengan keadaan ekonomi Barcelona dan mereka sememangnya terdesak mahu menjual pemain pada musim panas ini.

Walau bagaimanapun, hal itu tidak menghalang untuk beliau merasa kecewa dengan cara bagaimana Barcelona menguruskan hal berkait perpindahan beliau.

Frenkie de Jong dikatakan merasa terpinggir dan seolah-olah diabaikan sepanjang rundingan tersebut berlangsung.

De Jong dikatakan sangat bersyukur kerana Manchester United, terutama Erik ten Hag kerana telah menunjukkan minat yang mendalam untuk mendapatkan khidmatnya.

Beliau terharu kerana Ten Hag sanggup menghubungi beliau dan memujuk beliau ke Old Trafford dengan menjelaskan kepadanya tentang kepentingan beliau dalam sistem terbarunya bersama Manchester United.

Frenkie de Jong dilaporkan telah diberitahu yang beliau bakal menjadi titik terpenting dalam sistem terbaru United dan nama beliau akan menjadi nama pertama yang bakal disenaraikan dalam senarai kesebelasan utama skuad.

Beliau walau bagaimanapun masih belum bersetuju untuk ke Old Trafford dan kerana itulah beliau bengang kelab membuat keputusan tanpa berunding dengannya terlebih dahulu.

Pada minggu lalu, Presiden Barcelona, Joan Laporta telah menyatakan yang De Jong bukan untuk dijual, namun seandainya keadaan mendesak mereka akan terpaksa juga melepaskan pemain sayap itu.

Manchester United percaya yang Laporta sebenarnya sengaja mengeluarkan kenyataan tersebut dan ia hanya helah mereka untuk mendapatkan tawaran yang lebih tinggi.

Saga perpindahan melibatkan De Jong dan United sudah berlanjutan agak lama, namun sepertinya Manchester United bakal berjaya mendapatkan pemain sasaran mereka itu.

De Jong bakal menjadi pembelian mega pertama Manchester United di bawah kendalian Erik Ten Hag.

Tidak pasti sama ada Man Utd akan mampu atau tidak meyakinkan De Jong untuk ke Old Trafford, kerana Barca sepertinya tiada masalah untuk melepaskan bintang Belanda itu.

Sementara itu, Manchester United pada ketika ini sedang dalam perjalanan mereka untuk ke Melbourne, selepas mereka selesai beraksi bertemu Liverpool di Thailand semalam.

Kejayaan Manchester United membelasah Liverpool 4-0 sudah cukup untuk membuktikan yang mereka pada ketika ini sedang berada di landasan tepat untuk kembali menjadi pasukan yang digeruni.

Aksi dan persembahan yang dipersembahkan oleh anak-anak buah Erik Ten Hag itu juga dianggap sangat dasyat dan menakjubkan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Gundogan Terkejut Reaksi 'Buat Dek' Pemain Barcelona Selepas Tewas El Klasiko