Bukan Dengki, Presiden Barcelona Percaya Real Madrid Buat Silap Besar Beli Mbappe

Presiden Barcelona Joan Laporta dirinya tidak cemburu melihat Real Madrid berjaya mendapatkan penyerang sensasi Perancis, Kylian Mbappe dari Paris Saint-Germain (PSG).

Sebaliknya Laporta percaya Real Madrid melakukan kesilapan besar mendatangkan pemain bintang itu kerana pemain itu berkemungkinan akan mendatangkan masalah besar kepada Los Blancos.

Mbappe dijangka akan melengkapkan perpindahan ke Santiago Bernabeu pada musim panas ini selepas berbulan lamanya spekulasi mengenai pemain itu menjadi sebutan di media.

Dalam satu temubual bersama Mundo Deportivo, Laporta ditanya sama ada dia cemburu dengan seteru La Liga itu dan inilah respon yang diberikannya.

“Tidak sama sekali, tidak. Saya tak pasti sama ada mereka berjaya [menandatangani Mbappe] atau tidak. Kita tunggu sajalah,” katanya.

“Tidak, saya ada perasaan. Mereka akan menghadapi masalah. Anda sudah pasti perlu menjual pemain lain [jika datangkan Mbappe], betulkan?

“Ini kerana mereka tidak boleh memulakan dua pemain [penyerang] di posisi sama. Dan bercakap mengenai nombor, situasi ini sudah pasti akan membuatkan bilik persalinan menjadi porak peranda. Dia [Mbappe] bukan pemberian atau anugerah.”

Sebelum ini Deco turut mengeluarkan komen yang hampir serupa ketika ditanya kedatangan Mbappe ke Real Madrid.

Pengarah Sukan Barcelona itu tidak meragui Mbappe sudah pasti akan membuatkan pasukan yang disertainya lebih kuat. Tetapi pada masa yang sama Real Madrid terpaksa merombak dan mengubahsuai pendekatan taktikal untuk menyesuaikan pemain itu.

“Mereka sudah pasti perlu menyelesaikan masalah taktikal. Di dalam bola sepak keseimbangan adalah perkara terpenting,” jelas Deco.

BACA:  Pemain Cedera Sampai Masuk Hospital, Barca Mahu FIFA Bayar Pampasan €20,500 Sehari