Bagaimana Ancelotti Membawa Real Madrid Menjuarai La Liga Walaupun Bermain Tanpa Penyerang?

Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti, sekali lagi membawa kelab gergasi Sepanyol tersebut muncul juara La Liga selepas pasukannya menewaskan Cadiz 3-0 di tempat sendiri. Gol daripada Brahim Diaz, Jude Bellingham dan Joselu mengesahkan bahawa bunga api pada musim ini adalah hak milik Los Blancos.

Jika dikaji semula (sebab tak ada kerja sangat) kejuaraan Real Madrid ini, pasti ramai yang akan mengatakan bawah kejayaan ini ditunjangi bakal pemenang Ballon d’Or – Jude Bellingham.

Evolusi dan sensasi pemain Inggeris ini tidaklah mengejutkan kerana sudah menjadi kebiasaan di mana seorang pemain yang bagus menyertai kelab yang bagus lantas membawa kepada kemenangan demi kemenangan.

Bellingham adalah pemain tengah menyerang ketika dia hadir di ibu negara Sepanyol itu akan tetapi bagi Ancelotti, dia nampak satu sudut yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Oleh sebab itulah jurulatih dari Itali tersebut menukar posisi Bellingham kepada sembilan palsu atau false nine.

Tugas false nine ini mudah sahaja – rencana serangan sambil melakuan larian pintar ke dalam kotak penalti lawan untuk mendapatkan gol.

Sejak tamatnya musim lalu, mungkin ramai yang tertanya bagaimana Real Madrid boleh hidup pada musim ini memandangkan pasukan tersebut tiada penyerang tengah yang tulin selepas pemergian Karim Benzema.

Menggunakan pengalaman dan pengetahuan yang luasnya dalam menstruktur pasukan, Ancelotti telah meletakkan Bellingham sebagai titik fulkrum pasukan. Federico Valverde pula dianjak ke bahagian yang lebih ke bawah dan ditugaskan untuk mengawalselia ruang-ruang di bahagian tersebut.

Kerajinan pemain Uruguay ini telah memberikan ruang yang cukup selesa kepada Toni Kroos untuk menjadi penentu rentak permainan. Kehadiran Aurelien Tchoaumeni dan Eduardo Camavinga pula memastikan bahagian tengah Real Madrid menjadi cukup kukuh dan sukar ditembusi.

Berada di hadapan mereka pastinya si sembilan palsu Bellingham. Untuk memastikan terdapat mobiliti atau pergerakan di bahagian paling atas, Ancelotti sering menggunakan Vinicius Jr dan Rodrygo yang menjadi penyerang serampang dua mata.

Kedua-dua pemain Brazil ini melakukan tugas dengan baik di mana mereka melakukan pecutan dan berkeliaran di dalam kawasan lawan, di dalam ruang yang lebih ke dalam berbanding musim-musim lalu.

Kesemua pemain ini melakukan tugas dengan baik terutamanya ketika menyerang di mana mereka telah menjaringkan lebih 100 gol. Dari segi bertahan pula mereka juga membuktikan bahawa mereka boleh menjadi tembok tinggi dan kuat misalnya ketika menyingkirkan pasukan Manchester City dalam pusingan suku akhir Liga Juara-Juara UEFA.

Kalau nak cerita pasal kecederaan pemain, Ancelotti juga berhadapan dengan masalah tersebut. Kurang tiga hari sebelum La Liga bermula, penjaga gol utama Thibaut Cuortois telah terkoyak ACL sekaligus menamatkan kempennya untuk musim ini.

Seminggu kemudian, pemain pertahanan utama – Eder Militao pula mengalami kecederaan yang sama. Lebih parah lagi, Tchoaumeni pula patah kakinya beberapa minggu selepas itu, ditambah lagi dengan buku lali Bellingham yang terseliuh teruk.

Vinicius dan Dani Carvajal juga tidak ketinggalan untuk merasa nikmat katil rawatan dan David Alaba turut serta di mana dia mengalami kecederaan lutut yang menamatkan musimnya lebih awal.

Pada suatu masa, Madrid hanya mempunyai dua pemain pertahanan tengah senior yang sihat walafiat dan terpaksa memanggil penyerang pasukan simpanan Joselu untuk mengepalai pasukan di bahagian hadapan.

Adakah Ancelotti merintih seperti mana yang sering Jurgen Klopp lakukan? Tidak.

Ancelotti dengan tenang mengemudi pasukan sehingga muncul juara La Liga, dan berpeluang untuk mempertahankan kejuaraan UCL. Power kan, Ancelotti?

Sumber : Goal

BACA:  El Clasico 2020/21: Barcelona 1-3 Real Madrid