Bekas Kapten Celta Vigo Didakwa Di Mahkamah Kerana Cabul Kehormatan Maskot Kelab Pasukan Lawan

Seorang pemain bola sepak Sepanyol berhadapan perbicaraan di mahkamah negara itu atas dakwaan mencabul kehormatan maskot pasukan lawan sebelum perlawanan.

Hugo Mallo adalah pemain pertahanan berusia 32 tahun dan merupakan kapten Celta vigo ketika kejadian. Dia didakwa meramas buah dada maskot burung Espanyol dalam perlawanan La Liga beberapa minit sebelum sepak mula.

Insiden memalukan itu berlaku ketika pemain kedua-dua pasukan sedang berjabat tangan sebelum sepak mula perlawanan pada 2019.

Mallo menafikan dirinya berbuat demikian dan dakwaan tersebut juga pada mulanya dinafikan untuk dibicarakan sebelum rayuan pihak pendakwa mengubah kedudukan kes tersebut.

Media sukan terkenal Sepanyol, As melaporkan Mallo memberi kenyataan di mahkamah bahawa rakaman televisyen menunjukkan insiden tersebut membuktikan dirinya tidak bersalah seperti didakwa.

Mahkamah bagaimanapun mendapati imej tersebut sudah mencukupi untuk pemain itu didakwa, dan perbicaraan dijangka akan bermula pada Julai.

Radio COPE dalam laporannya mendedahkan Mallo yang bercakap kepada seorang wartawan mengenai insiden tersebut berkata dirinya hanya fokus kepada perlawanan pada ketika itu kerana pasukannya bergelut di zon penyingkiran La Liga.

Pemain bek kanan itu kini beraksi di Brazil bersama Internacional.

Pihak pendakwa mahu pemain itu membayar denda sekiranya didapati bersalah.

BACA:  Jersi Barcelona Milik Siapa Paling Laku Keras Musim Ini?