Takefuso Kubo Reject Tawaran RM822.86 Juta Untuk Sertai Al Nassr

Bekas pemain sayap Real Madrid Takefuso Kubo dilaporkan telah menolak tawaran kontrak selama empat tahun sebanyak €160 juta (bersamaan RM822.86 juta) untuk menyertai Cristiano Ronaldo di Al Nassr.

Laporan daripada media Sepanyol Relevo mendedahkan Al Nassr berminat untuk membayar yuran dalam klausa pelepasan pemain itu di Real Sociedad pada musim panas akan datang.

Kubo dilaporkan mempunyai klausa pelepasan bernilai €60 juta, dan kelab berpengkalan di Riyadh itu mahu bertindak segera memancing pemain itu ke Saudi Pro League setelah Kubo turut menarik perhatian Manchester United.

Cristiano Ronaldo dan rakan sepasukan di Al Nassr bagaimanapun kempunan untuk beraksi bersama Kubo setelah pemain itu menolak tawaran yang diberikannya untuk meninggalkan bola sepak Eropah.

Ini bukan kali pertama Kubo menolak tawaran untuk beraksi di Arab Saudi. Pemain itu turut menolak tawaran hampir sama daripada Al Hilal pada musim panas yang lalu.

Pemain berusia 22 tahun itu berada di prestasi terbaiknya pada musim ini setelah menghasilkan enam gol dan empat assist daripada 25 penampilan di semua pertandingan pada musim ini.

Kubo dianggap sebagai pemain versatile dan mampu beraksi di mana-mana posisi serangan walaupun pada asalnya adalah seorang pemain sayap.

Kubo menyertai Real Madrid pada musim panas 2019 namun gagal melakukan satu penampilan pun bersama skuad utama sepanjang tempoh tiga tahun di Santiago Bernabeu.

Pemain antarabangsa Jepun itu kemudian dipinjamkan ke kelab lain di La Liga termasuk Mallorca, Villareal, dan Getafe.

Kubo kemudiannya berhijrah secara tetap ke Real Sociedad pada 2022 dan terus membuktikan kemampuan sebenarnya selepas itu.

Sejak menyertai Sociedad, Kubo telah mencetak 15 gol dan 13 assist daripada 69 penampilan setakat ini.

BACA:  Real Madrid Siapkan Dana RM997.61 Juta Untuk Dapatkan Mbappe