Kylian Mbappe Tangani Kontrak 5 Tahun Bersama Real Madrid

Kylian Mbappe dikhabarkan sudah menandatangani kontrak untuk menyertai Real Madrid pada musim panas ini.

Mbappe dikhabarkan akan menyertai kelab baharunya itu sebaik sahaja kontrak bersama PSG tamat pada penghujung musim ini.

Marca mendedahkan Mvappe dan Real Madrid telah melengkapkan semua butiran perpindahan termasuk menandatangani kontrak kira-kira dua minggu lalu.

Ia adalah percubaan keempat oleh Florentino Perez untuk meyakinkan Mbappe sebelum mengesahkan pemain itu ke Bernabeu. Kali pertama perbincangan di antara kedua-duanya berlaku pada hari pertama Januari lalu.

Dan selepas mendapat lampu hijau daripada kem Mbappe, Pengarah Pengurusan Real Madrid Jose Angel Sanchez tidak berlengah untuk melakukan rundingan dengan ibu pemain itu, yang juga wakil dan ejen kepada Mbappe.

Menurut laporan tersebut Los Blancos bersetuju bertolak ansur dengan bayaran hak imej pemain, namun terpaksa mengurangkan gaji sepertimana yang diterima pemain itu pada ketika ini bersama PSG. Ia juga pengurangan berbanding tawaran asal pada 2022.

Pengurangan tersebut termasuklah pengurangan ‘signing-on-fee’ sebanyak €50 juta. Butiran bayaran yang diterima Mbappe bagaimanapun tidak didedahkan.

Mbappe dijangka akan diperkenalkan kepada penyokong Real Madrid sekitar Julai tahun ini, selepas penampilannya di Euro 2024 dan sebelum Olimpik musim panas di Perancis.

Membawa masuk Mbappe dilihat sebagai kejayaan besar Real Madrid di bawah Florentino Perez. Mbappe dianggap sebagai salah seorang penyerang terbaik dunia pada hari ini.

Berbeza dengan pemain berprofil tinggi untuk membentuk pasukan Galaticos di Bernabeu, Mbappe pula didatangkan secara percuma.

BACA:  Champions League 2019/20: Paris Saint-Germain 2-0 Borussia Dortmund (Agg. 3-2)