“Bayar Pengadil Bertahun-Tahun”- Real Madrid TV Troll Keluhan Xavi Pengadil Tak Adil

Real Madrid TV tidak dapat menahan diri daripada mempersendakan keluhan pengurus Barcelona, Xavi mengenai mutu pengadilan di La Liga.

Media rasmi milik Real Madrid itu mengkritik Xavi selepas komen pengurus itu mengenai mutu pengadilan di La Liga menjadi topik utama perbualan selepas perlawanan pada hujung minggu lalu.

Komen oleh Xavi itu tiba selepas beberapa siri keputusan meragukan oleh pengadil yang memihak kepada Real Madrid ketika menewaskan Almeria 3-2 pada Ahad.

Komen tersebut jelas tidak disenangi oleh media rasmi milik Los Blancos yang mengungkit kes Negreira di mana Barcelona didakwa telah merasuah pengadil selama beberapa musim lamanya.

“Ia agak menghairankan bagaimana Xavi tertarik dengan mutu pengadilan untuk perlawanan di Bernabeu, apabila FC Barcelona sendiri selama ini membayar pengadil selama bertahun lamanya. Xavi sendiri beraksi lebih dalam 600 perlawanan untuk pada ketika itu. Dan semua 600 perlawanan itu kini begitu meragukan,” kata Real Madrid TV.

Komen daripada Real Madrid TV itu jelas merujuk kepada kes Negreira di mana Barcelona kini masih di dalam siasatan pendakwaraya kerana membayar beberapa pengadil sebanyak €1.6 juta di antara 2016 sehingga 2018.

Barcelona menafikan semua dakwaan tersebut, dan berkata bayaran tersebut adalah untuk khidmat nasihan secara dalaman badan pengadilan itu.

Penafian tersebut tidak cukup untuk menghalang siasatan diteruskan terhadap Barcelona. Di dalam padang, kelab Catalan itu turut terus bergelut dengan prestasi selepas berhadapan masalah kewangan sejak beberapa musim lalu.

BACA:  Gary Neville Suruh De Jong Saman Barcelona