Mikel Arteta Sedih Berita Palsu Kaitkannya Dengan Barcelona

Mikel Arteta menafikan dakwaan ingin meninggalkan Arsenal untuk menyertai Barcelona pada akhir musim ini dan melabel spekulasi tersebut sebagai berita palsu.

Laporan dari Sepanyol sebelum ini mengatakan jurulatih berusia 41 tahun itu bersedia menggantikan Xavi di Nou Camp.

Arteta sendiri adalah produk Akademi La Masia milik Barcelona dan kelab itu memainkan peranan besar membentuk karier profesionalnya suatu ketika dahulu.

“Itu jelas berita palsu,” kata Arteta dalam sidang media pada Isnin lalu.

“Apa yang anda baca itu…. saya tidak pasti daripada mana ia datang, dan ia tidak benar. Saya sedih dengan spekulasi tersebut.

“Sukar untuk saya mempercayainya. Saya tidak pasti daripada mana ia datang dan berita itu tidak ada sumber. Ia tidak mempunyai sumber [kredibiliti], dan saya berpendapat kita semua perlu berhati-hati apabila bercakap mengenai perkara berbentuk peribadi.

“Saya berpendapat saya berada di tempat [kelab] yang betul. Saya berada bersama orang yang betul. Saya selesa dengan apa yang ada. Dan seperti yang saya selalu katakan, saya menikmati perjalanan karier saya di sini, dengan barisan pemain sedia ada, dengan kakitangan dan penyokong di sini. Ada banyak lagi perkara mahu saya lakukan di sini [Arsenal].

“Saya sentiasa berhati-hati apabila bercakap mengenai perkara peribadi, dan apabila ada pihak lain membuat kenyataan yang saya tidak pernah lakukan, ia amat menyedihkan.

“Saya faham kita semua dalam industri, tetapi tidak ada sesiapa patut diberikan perkhabaran sebegini. Saya sentiasa berterus terang dan sering menegaskan perkara sebaliknya seperti yang dilaporkan.

“Saya gembira di sini dan amat menikmati kehidupan di sini. Mengapa ada laporan mengatakan saya tidak senang?”

ESPN turut melaporkan Arsenal tetap tenang dengan perkara berkaitan masa depan dan komitmen Arteta kepada kelab walaupun belum memulakan perbincangan untuk memperbaharui kontrak pengurus itu yang akan berakhir pada musim panas 2025.

“Perbincangan itu akan berlaku secara natural, dan apabila tiba masanya, ia akan berlaku,” tegas Arteta yang turut dikaitkan sebagai pengganti Pep Guardiola di Manchester City.

BACA:  Bacelona Siap Melepaskan Sesiapa Saja Kecuali Messi Dan Ter Stegen