Media Indonesia Lapor Pemain Naturalisasi Garuda Bakal Jadi Rakan Sepasukan Messi Di Inter Miami

Khabar mengejutkan daripada seberang apabila pemain pertahanan antarabangsa Indonesia, Justin Hubner secara tiba-tiba dikaitkan bakal bergandingan bersama Lionel Messi di Inter Miami.

Malah khabar angin itu kini turut telah dikongsi oleh portal-portal bola sepak di negara kita seolah-olah ia hampir pasti akan menjadi realiti.

Khabar angin mengenai Justin Hubner bermula pada bulan lalu apabila pemain itu berkongsi akan ada berita besar berlaku melalui akaun Instagram peribadinya.

Spekulasi tersebut bagaimanapun menjadi dingin setelah nama pemain itu berada di dalam senarai skuad utama Watford dan dijangka akan berada di dalam skuad hari perlawanan menentang Fulham pada 9 Mac lalu.

Bagaimanapun perkara itu tidak menjadi kenyataan. Khabar angin perpindahan pemain itu kembali bertiup kencang apabila Hubner mendedahkan bakal menyarung jersi warna merah jambu di akaun Instagram perbadinya.

Ini menyebabkan ramai penyokong Indonesia percaya Hubner bakal menyertai Inter Miami yang turut dibarisi Lionel Messi, Jordi Alba dan Luis Suarez.

Malah Hubner turut berkata segala persoalan bakal terjawab pada hari ini.

Perkara ini sebenarnya tidak mustahil berlaku kerana jendela perpindahan Major League Soccer masih dibuka sehingga 13 April 2024.

Hubner turut didapati telah mengikuti akaun rasmi Instagram Inter Miami.

Selain Inter Miami, pasukan lain menggunakan jersi warna merah jambu adalah kelab J League Cerezo Osaka. Jendela perpindahan di Jepun juga masih terbuka sehingga 27 Mac ini.

Kelab lain turut dikaitkan dengan Hubner adalah Palermo yang beraksi di Serie B Itali. Perpindahan ke Itali bagaimanapun tampak hampir mustahil kerana jendela perpindahan di Eropah hanya akan dibuka semula pada musim panas ini.

Di Liga 1 Indonesia, Persik Kediri turut menggunakan jersi warna merah jambu.

BACA:  Keputusan Undian Ballon D'or 2021: Messi Sebenarnya Menang Tipis